IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-104: HADITH SAHIH

 Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan hadith Sahih?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berdasarkan soalan yang diajukan, soalan tersebut berkaitan dengan ilmu mustholah hadith atau dinamakan sebagai ulum al-Hadith. Hadith Sahih adalah salah satu daripada jenis-jenis hadith yang melibatkan sanad dan juga matan dalam sesebuah hadith.

 

Definisi Hadith Sahih

Imam al-Baiquniy di dalam manzhumahnya telah memberi definisi berkaitan hadith Sahih adalah seperti berikut:

أَوَّلُهَا الصَّحِيْحُ وَهْوَ مَا اتَّصَلْ * إِسْنَادُهُ وَلَمْ يَشُذَّ أَوْ يُعَلّْ   

يَرْوِيْهِ عَدْلٌ ضَابِطٌ عَنْ مِثْلِهِ * مُعْتَمَدٌ فِي ضَبْطِهِ وَنَقْلِهِ

Maksudnya:  “Pertamanya [Hadith Sahih] iaitu apa yang bersambung, Sanadnya dan tiada syaz atau ‘illah (kecacatan) padanya, Diriwayatkan oleh perawi yang adil lagi dhabit yang seumpama dengannya, Yang diakui akan kedhabitan dan perawiannya”.

Hadith sahih ialah hadith yang mempunyai sanad yang bersambung, diriwayatkan oleh perawi yang adil dan dhabit dan selamat daripada syaz dan juga kecacatan.

Di dalam kitab Aqidah Islamiah menyebut Sahih (الصحيح), iaitu berita yang diriwayatkan oleh seseorang yang bersifat adil dan kuat ingatan daripada orang yang bersifat sama sepertinya, hingga kepada sumber yang pertama berita tersebut tanpa sebarang kejanggalan (الشذوذ) dan kecacatan (العلة).

Yang dimaksudkan dengan kejanggalan adalah, apabila seseorang yang berwibawa (الثقة) itu meriwayatkan berita yang berlawan dengan berita yang lebih berwibawa daripadanya. Sementara maksud kecacatan pula ialah kelemahan dan keburukan yang tersembunyi bagi diri seseorang perawi  yang dapat dikesan oleh mereka yang pakar dalam ilmu hadith.

 

Syarat-Syarat Hadith Sahih

Secara ringkasnya syarat hadith sahih adalah:

 

1) Sanad yang bersambung

Sanad sesebuah hadith itu perlulah bersambung dari awal sehingga ke akhir serta wujudnya pertemuan atau sezaman di antara perawi-perawi di dalam rangkaian sanad. Tambahan pula, tidak wujud penghalang di antara perawi daripada bertemu sama ada dari segi masa atau tempat.

2) Adil

Sifat adil yang dimaksudkan adalah perawi-perawi yang bertaqwa serta menjauhi perkara-perkara yang fasiq dan bid’ah. Antara ciri–ciri berikut seorang yang adil adalah seorang muslim, baligh, berakal, tidak fasiq iaitu tidak melakukan dosa besar atau berterusan dalam melakukan dosa kecil serta menjaga maruahnya.

3) Dhabit

Dhabit pula bermaksud orang yang kuat dan sempurna hafazhannya, selamat daripada melakukan kesalahan dan berkemampuan untuk menghadirkan apa yang dihafalnya pada bila–bila masa yang dikehendaki. Dhabit terbahagi kepada dua iaitu Dhabit Shodri (hafalan) dan Dhabit Kitabi (tulisan):

4) Tidak Syaz

Hadith atau riwayat tersebut tidak bertentangan dengan riwayat lain yang diriwayatkan oleh perawi yang lebih thiqah daripadanya. Hadith syaz ialah hadith yang diriwayatkan oleh perawi yang thiqah tetapi bertentangan dengan hadith atau riwayat lain yang lebih thiqah daripadanya.

5) Tidak ada ‘Illah

Riwayat atau hadith selamat daripada kecacatan iaitu sebarang kecacatan yang boleh menghalang sesebuah hadith itu daripada mencapai darjat sahih seperti hadith yang terkandung di dalam sanadnya perawi yang fasiq atau pemalsu dan pendusta hadith.

Apabila cukup syarat-syarat di atas, maka jadilah sesebuah hadith itu sahih. Adapun berita yang sahih menjadi hujah dalam bidang aqidah. Walau bagaimanapun, tidak semua berita jenis ini pada tahap yang sama. Berita yang sahih pada tahap permulaannya membawa kepada maklumat zhan sahaja. Ia juga tidak boleh dijadikan hujah dalam hal ehwal aqidah, tetapi boleh diambil kira dan digunakan sebagai dalil dalam perkara-perkara amalan sebagaimana hadith hasan.

Sementara tahap berita sahih yang tertinggi ialah berita yang membawa kepada maklumat yang yakin. Para ulama’’ menamakannya dengan khabar mutawatir (الخبر المتواتر).

 

Persoalan

Apakah maksud khabar mutawatir dan syarat-syarat penerimaannya?

Jawapan: Khabar mutawatir adalah satu daripada jenis sahih tahap yang tertinggi. Para ulama’ telah mentakrifkannya sebagai berita yang diriwayatkan oleh sekumpulan orang daripada sekumpulan yang lain dan sehinggalah kepada punca beritanya. Setiap ahli kumpulan tersebut mustahil berlaku pembohongan dalam kalangan mereka. Malah pengambilan berita di kalangan setiap kumpulan tersebut berlaku secara nyata, iaitu mendengar sendiri atau secara bersemuka.

 

Berita jenis ini pasti memberikan maklumat yang diyakini. Dalam kitab al-Mustasfa oleh Imam Ghazali telah menyebut 4 syarat bagi khabar mutawatir iaitu:

 

Berdasarkan syarat-syarat ini, Imam al-Ghazali seterusnya menyatakan bahawa apabila ulama’ mengambil berita daripada ulama’ yang terdahulu daripada mereka dan berterusan sedemikian dari zaman ke zaman, sedangkan syarat-syarat tersebut tidak wujud pada setiap zaman berkenaan, maka keyakinan terhadap berita tersebut tetap tidak wujud walaupun mereka cuba meyakinkan, kerana berita bagi generasi setiap zaman merupakan berita yang tersendiri dan mestilah mempunyai syarat-syarat yang tersebut.

 

Hukum Hadith Sahih

Kita wajib menerima dan beramal dengannya serta ia adalah hujjah di dalam agama berdasarkan ijma’ ahli ilmu.

Contoh Hadith Sahih

Hadith sahih boleh dilihat di dalam dua buah kitab atau karya yang agung iaitu Sahih al-Bukhari dan juga Sahih Muslim yang telah menjadi ijma’ umat ini akan kesahihan hadith-hadith yang terdapat di dalam kedua kitab tersebut. Ini kerana, kedua kitab ini hanya menghimpunkan hadith-hadith yang sahih daripada Rasulullah SAW.

Penutup

Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini dapat memberi sedikit manfaat dan menambah kefahaman kita dalam ilmu Hadith, seterusnya dapat kita memelihara hadith-hadith Nabi SAW daripada sebarang pendustaan ke atas nama Baginda SAW yang mulia. Amin.