IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-143: HADITH BERKAITAN MENYAPU LEHER

 

 

Soalan: Apakah status hadith ini?

 

Matan Hadith

Matan hadith yang dimaksudkan adalah:

 

 

مَسْحُ الرَّقَبَةِ أَمَانٌ مِنَ الْغِلِّ يَوْمَ القِيَامَةِ

Maksudnya: “Menyapu sebahagian leher itu aman daripada belenggu pada hari Akhirat”. [Lihat: Ihya’ Ulum al-Din, 134/1]

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan hadith di atas, kami akan mendatangkan beberapa pendapat ulama’ dalam menilai hadith ini. Ini kerana, hadith ini dinyatakan di dalam kitab Ihya’ bahawa ia adalah daripada Nabi SAW dan hadith ini juga masyhur dalam kalangan fuqaha’ terkemudian yang bermazhab al-Syafie.

 

Pendapat-Pendapat Ulama’ Berkaitan Hadith Ini

Antara ulama’ yang menilai dan memberi komentar terhadap hadith ini adalah:

 

 

 

قَوْلُ الْغَزَالِيِّ إنَّ مَسْحَ الرَّقَبَةِ سُنَّةٌ لِقَوْلِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَسْحُ الرَّقَبَةِ أَمَانٌ مِنْ الْغُلِّ فَغَلَطٌ لِأَنَّ هَذَا مَوْضُوعٌ لَيْسَ مِنْ كَلَامِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

 

Maksudnya: “Kata-kata al-Ghazali bahawa menyapu tengkuk adalah sunnah berdasarkan hadith Nabi SAW: “Menyapu sebahagian tengkuk itu aman daripada belenggu pada hari Akhirat”. Ini merupakan kesalahan yang telah dilakukan oleh Imam al-Ghazali kerana ini (hadith) adalah palsu dan bukan daripada perkataan Nabi SAW ”. [Lihat: al-Majmu’, 465/1]

 

 

 

مَنْ مَسَحَ قَفَاهُ مَعَ رَأْسِهِ وُقِيَ مِنَ الْغُلِّ

Maksudnya: “Menyapu hujung tengkuk bersama kepalanya akan dijauhkan daripada belenggu”.

 

وَالْحَدِيثُ مَوْقُوفٌ إِلَّا أَنَّهُ فِي الْحُكْمِ مَرْفُوعٌ لِأَنَّ مِثْلَهُ لَا يُقَالُ بِالرَّأْيِ وَيُقَوِّيهِ مَا رُوِيَ مَرْفُوعًا مِنْ مُسْنَدِ الْفُرْدَوْسِ مِنْ حَدِيثِ ابْنِ عُمَرَ لَكِنَّ بِسَنَدٍ ضَعِيفٍ وَالضَّعِيفُ يُعْمَلُ بِهِ فِي فَضَائِلِ الْأَعْمَالِ اتِّفَاقًا وَلَذَا قَالَ أَئِمَّتُنَا إِنَّ مَسْحَ الرَّقَبَةِ مُسْتَحَبٌّ أَوْ سُنَّةٌ

Hadith ini adalah mawquf tetapi hukumnya adalah marfu’. Ini kerana, kata-kata seumpama ini bukan merupakan pendapat (seseorang) semata-mata. Bahkan, ia dikuatkan lagi dengan apa yang diriwayatkan secara marfu’ di dalam musnad al-Firdaus daripada Ibn Umar RA tetapi dengan sanad yang dhaif. Hadith dhaif boleh diamalkan dalam fadhail al-A’mal (fadhilat amalan) secara sepakat. Dengan itu, berkata imam-imam kami bahawa menyapu tengkuk adalah digalakkan atau sunnah”. [Lihat: al-Asrar al-Marfu’ah, 315/1]

 

Setelah melihat pendapat di atas, kami cenderung untuk mengatakan bahawa hadith tersebut bukanlah daripada Nabi SAW sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dan beberapa imam-imam yang lain seperti Imam Ibn al-Qayyim di dalam Zad al-Ma’ad. Walaubagaimanapun, amalan ini menjadi amalan oleh sebahagian para fuqaha yang bermazhab al-Syafie dan al-Hanafi kerana mereka berpendapat bahawa hal ini adalah sunat. Di dalam kitab Fiqh al-Islamiy yang dikarang oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili bahawa menyapu tengkuk adalah termasuk di dalam adab-adab ketika berwudhuk. Akan tetapi, jumhur fuqaha’ tidak mengatakan bahawa perbuatan tersebut adalah sunnah, bahkan ia adalah makruh kerana ia termasuk ghuluw (melampau) di dalam agama. [Lihat: Fiqh al-Islamiy wa Adillatuhu, 405,406/1]

 

Penutup

Kesimpulannya, para ulama’ yang mengamalkan amalan tersebut berdasarkan ijtihad dan pendapat mereka. Sebagaimana yang kita ketahui, di dalam sebuah hadith yang menceritakan kelebihan ijtihad.

 

 

إِذَا حَكَمَ الحَاكِمُ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَصَابَ فَلَهُ أَجْرَانِ، وَإِذَا حَكَمَ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَخْطَأَ فَلَهُ أَجْرٌ

Maksudnya: “Apabila seorang hakim itu mengadili dan berijtihad, kemudian ijtihadnya itu benar maka baginya dua pahala. Adapun jika hakim itu mengadili dan berijtihad, kemudian ijtihadnya itu tidak tepat baginya satu pahala”. [Riwayat al-Bukhari (7352)]

 

Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama serta memelihara lidah kita daripada berdusta di atas nama Nabi SAW.  Amin.

 

Wallahua'lam