IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-132: MERUNGKAI PERSOALAN BERKAITAN DAJJAL

 

 

 

Antara Persoalan Yang Akan Dijawab Dalam Irsyad al-Hadith Pada Kali ini adalah:

 

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Irsyad al-Hadith pada kali ini akan menerangkan secara ringkas berkaitan Dajjal menurut perspektif sebenar mengikut al-Qur’an dan al-Hadith. Sebagaimana yang kita ketahui, Dajjal merupakan fitnah yang paling dahsyat dan ia akan berlaku di akhir zaman. Untuk itu, Nabi SAW sentiasa memberi pesanan kepada umatnya agar berjaga-jaga dengan fitnah ini. Bagi menjawab persoalan di atas, sudi bagi kami untuk menyatakan terlebih dahulu berkaitan definisi Dajjal.

 

Definisi Dajjal

Dajjal dari sudut bahasa bermaksud menutup akan sesuatu. Ini kerana, Dajjal antara sifatnya adalah al-Kazib (pendusta) dan pendustaan adalah menyembunyikan atau menutupi akan sesuatu. Selain itu, Dajjal juga bermaksud menyembunyikan kebenaran dan membuat tipudaya terhadap manusia serta menampakkan kecantikan pada perkara yang bathil. Dajjal juga datang dalam sighah (acuan) mubalaghah (melampau) iaitu “فَعَّال” kerana Dajjal ini banyak melakukan pendustaan dan tipudaya.

 

Manakala dari sudut istilah pula, Dajjal boleh dikenali dengan beberapa sifat yang dikhabarkan oleh Baginda SAW melalui hadith-hadithnya. Antaranya ialah:

 

Persoalan-Persoalan Berkaitan Dajjal

Antara persoalan-persoalan berkaitan Dajjal adalah:

 

Soalan: Mengapakah tidak disebut lafaz Dajjal di dalam al-Qur’an?

 

Jawapan: Bagi menjawab persoalan ini, kami ingin memetik jawapan daripada sebuah kitab yang membincang berkaitan tanda-tanda Kiamat. Para ulama’ telah menjawab persoalan ini dengan beberapa jawapan. Antaranya:

 

 

Firman Allah SWT:

 

يَوْمَ يَأْتِي بَعْضُ آيَاتِ رَبِّكَ لَا يَنفَعُ نَفْسًا إِيمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آمَنَتْ مِن قَبْلُ أَوْ كَسَبَتْ فِي إِيمَانِهَا خَيْرًا

Maksudnya: “Kedatangan sebahagian daripada tanda-tanda Tuhanmu (yang menjadi tanda-tanda Hari Kiamat). Pada hari datangnya sebahagian daripada tanda-tanda Tuhanmu itu, tidak berfaedah atau bermanfaat lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelum itu atau yang tidak berusaha mengerjakan kebaikan mengenai imannya”. [al-An’am:158]

 

Di dalam ayat ini, tidak disebut lafaz Dajjal secara jelas tetapi tanda-tanda (آيات) yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah Dajjal, terbit matahari dari barat dan juga al-Dabah (الدابة). Ini disebut di dalam kitab-kitab tafsir.

 

Selain itu di dalam riwayat Muslim terdapat sebuah hadith yang menjelaskan berkaitan makna ayat di atas dan ini adalah antara tafsiran yang terbaik iaitu menafsirkan ayat al-Qur’an dengn hadith Nabi SAW. Hadith tersebut adalah:

 

ثَلَاثٌ إِذَا خَرَجْنَ لَا يَنْفَعُ نَفْسًا إِيمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آمَنَتْ مِنْ قَبْلُ، أَوْ كَسَبَتْ فِي إِيمَانِهَا خَيْرًا: طُلُوعُ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، وَالدَّجَّالُ، وَدَابَّةُ الْأَرْضِ

Maksudnya: “Tiga perkara apabila ia keluar tidak akan memberi manfaat akan iman seseorang itu yang sebelumnya mereka itu tidak beriman atau sebelumnya mereka tidak berusaha untuk melakukan kebaikan pada imannya. (Tiga perkara tersebut adalah) terbitnya matahari dari barat, keluarnya Dajjal dan juga al-Dabah yang melata di bumi”. [Riwayat Muslim (158)]

 

 

 

Setelah melihat beberapa pendapat di atas, pendapat yang pertama adalah lebih tepat dan betul berbanding pendapat-pendapat yang lain. Walaupun lafaz Dajjal tidak disebut secara jelas di dalam al-Qur’an tetapi Allah SWT telah mengutuskan Nabi Muhammad SAW untuk menjelaskan berkaitan hal tersebut.

 

 

Soalan: Dimanakah Dajjal akan keluar?

 

Jawapan: Dajjal akan keluar dari arah timur iaitu dari Khurasan (Khurasan adalah satu tempat yang  luas, terletak di sebelah timur dan ia terdiri daripada beberapa daerah, antaranya Naisabur). Kemudian Dajjal akan mula berjalan di bumi dan tidak akan ditinggalkan satu tempat pun melainkan dia akan memasukinya kecuali Makkah dan Madinah. Dajjal tidak dapat memasuki Makkah dan Madinah kerana terdapat malaikat yang menjaga kedua tanah suci itu. Selain itu juga, Imam Ibn Hajar mengatakan bahawa Dajjal ini pasti akan muncul dari arah timur. [Lihat: Fath al-Bari, ] Kenyataan ini disandarkan atau dikuatkan lagi dengan beberapa buah hadith yang sahih, antaranya:

 

 

الدَّجَّالُ يَخْرُجُ مِنْ أَرْضٍ بِالمَشْرِقِ يُقَالُ لَهَا: خُرَاسَانُ

Maksudnya: “Dajjal akan keluar ke bumi dari arah timur, dikatakan tempat tersebut adalah Khurasan”. [Riwayat al-Tirmizi (2237)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai Hasan Gharib dan Syeikh Ahmad Syakir mengatakan sanad hadith ini adalah sahih]

 

Soalan: Bilakah muncul atau keluarnya Dajjal?

 

Jawapan: Muncul atau keluarnya Dajjal adalah satu kepastian dan kita tidak boleh sama sekali mengingkarinya. Akan tetapi waktu yang sebenar atau tepat keluarnya Dajjal ini tidak diketahui tetapi apa yang pasti keluarnya Dajjal adalah salah satu tanda besar Kiamat. Tambahan pula, ini termasuk dalam perkara-perkara ghaib yang tidak diketahui melainkan Allah SWT. Allah SWT juga menyembunyikan kepada kita bila akan berlakunya Kiamat berdasarkan firman-Nya:

 

 

يَسْأَلُونَكَ عَنِ السَّاعَةِ أَيَّانَ مُرْسَاهَا ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ رَبِّي ۖ لَا يُجَلِّيهَا لِوَقْتِهَا إِلَّا هُوَ

Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan akan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia (Allah SWT)”. [al-A’raf:186]

 

Soalan: Apakah terdapat golongan yang mengingkari akan kewujudan Dajjal ini?

 

Jawapan: Terdapat sebahagian individu mendakwa bahawa Dajjal ini hanyalah simbol kejahatan sahaja dan ia akan hilang dengan terdiri syariat di atas muka bumi ini. Dalam masa yang sama, mereka ini menafikan bahawa Dajjal adalah seorang manusia sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith. Antara dalil yang menguatkan hujah mereka adalah, hadith-hadith berkaitan Dajjal diriwayatkan dengan berbeza-beza seperti tempat keluarnya Dajjal, peribadi Dajjal itu sendiri dan lain-lain lagi. Ini menunjukkan bahawa Dajjal adalah simbol kepada kejahatan semata-mata dan dia bukanlah seorang manusia seperti yang kita fahami.

 

Bagi menjawab persoalan ini, hakikatnya tidak ada pertentangan dalam riwayat-riwayat berkaitan Dajjal ini dan ia telah dijelaskan oleh ulama’ sebelum ini apabila mereka cuba menghimpunkan riwayat-riwayat ini dan menjelaskan setiap riwayat tersebut. Hakikatnya, Dajjal adalah seorang manusia dan dia bukanlah simbol sebagai yang didakwa oleh golongan tersebut. Selain itu juga, kita dapat mengetahui akan sifat-sifat Dajjal sebagaimana yang diceritakan di dalam hadith-hadith yang sahih.

 

Soalan: Siapakah Ibn Shayyad (ابن صياد) itu Dajjal?

 

Jawapan: Dalam masalah ini, para ulama’ telah berbeza pendapat dalam menentukan samada Ibn Shayyad itu Dajjal ataupun tidak. Ini kerana, terdapat hadith yang menunjukkan bahawa dia adalah Dajjal. Namun begitu, terdapat juga hadith lain yang menunjukkan sebaliknya. Berikut adalah beberapa pendapat dalam masalah ini:

 

Pertama: Imam al-Qurthubi berkata: “Pendapat yang sahih bahawa Ibn Shayyad adalah Dajjal, berdasarkan dalil-dalil yang telah lalu (yang ada) dan tidak mustahil bahawa dia telah ada di pulau tersebut pada waktu itu dan dia juga berada di hadapan para Sahabat pada waktu yang lain”.

 

Kedua: Imam al-Nawawi pula berkata: “Para ulama telah berkata bahawa Kisahnya sukar difahami dan perkaranya juga tidak jelas. Apakah dia adalah al-Masih al-Dajjal yang dikenali atau selain daripadanya?. Akan tetapi tidak diragukan bahawa diajuga adalah Dajjal di antara para Dajjal”.

 

Kami berpendapat bahawa Ibn Shayyad bukanlah Dajjal yang dimaksudkan iaitu yang akan keluar di akhir zaman. Selain itu juga, Ibn Shayyad hanyalah seorang Dajjal daripada para Dajjal iaitu dengan memiliki sifat-sifat seorang Dajjal tetapi dia bukanlah Dajjal yang akan keluar di akhir zaman nanti. Pendapat kami ini adalah selaras dengan hadith Tamim al-Dari atau dikenali dengan hadith al-Jassasah (الجساسة) yang diriwayatkan oleh Fatimah bin Qais. Ini juga merupakan pendapat Imam Ibn Hajar al-Asqalani apabila beliau cuba untuk menggabungkan antara dua riwayat yang zahirnya dilihat bercanggah. Beliau berkata: 

 

وَأَقْرَبُ مَا يُجْمَعُ بِهِ بَيْنَ مَا تَضَمَنَّهُ حَدِيثُ تَمِيم وَكَون بن صَيَّادٍ هُوَ الدَّجَّالُ أَنَّ الدَّجَّالَ بِعَيْنِهِ هُوَ الَّذِي شَاهده تَمِيم موثقًا وَأَن بن صَيَّادٍ شَيْطَانٌ تَبَدَّى فِي صُورَةِ الدَّجَّالِ فِي تِلْكَ الْمُدَّةِ إِلَى أَنْ تَوَجَّهَ إِلَى أَصْبَهَانَ فَاسْتَتَرَ مَعَ قَرِينِهِ إِلَى أَنْ تَجِيءَ الْمُدَّةُ الَّتِي قَدَّرَ اللَّهُ تَعَالَى خُرُوجَهُ فِيهَا وَلِشِدَّةِ الْتِبَاسِ الْأَمْرِ فِي ذَلِكَ سَلَكَ الْبُخَارِيُّ مَسْلَكَ التَّرْجِيحِ فَاقْتَصَرَ عَلَى حَدِيثِ جَابِرٍ عَنْ عُمَرَ فِي بن صَيَّادٍ وَلَمْ يُخْرِجْ حَدِيثِ فَاطِمَةَ بِنْتِ قَيْسٍ فِي قِصَّةِ تَمِيمٍ وَقَدْ تَوَهَّمَ بَعْضُهُمْ أَنَّهُ غَرِيبٌ فَرُدَّ وَلَيْسَ كَذَلِكَ فَقَدْ رَوَاهُ مَعَ فَاطِمَةَ بِنْتِ قَيْسٍ أَبُو هُرَيْرَةَ وَعَائِشَةُ وَجَابِرٌ

Maksudnya: “Cara yang paling dekat adalah dengan menggabungkan makna yang terkandung di dalam hadith Tamim dan keberadaan Ibn Shayyad sebagai Dajjal. Sesungguhnya Dajjal yang sebenarnya adalah yang disaksikan oleh Tamim dalam keadaan terikat. Sedangkan Ibn Shayyad adalah syaitan yang menampakkan dirinya dalam bentuk Dajjal pada ketika itu, sehingga dia pergi ke Ashbahan, lalu bersembunyi bersama qarinnya (temannya) sehingga sampai masa yang ditakdirkan oleh Allah SWT untuk keluar padanya. Disebabkan kesamaran dalam masalah ini, maka Imam al-Bukhari memilih jalan tarjih (iaitu menentukan riwayat yang paling kuat di antara dua riwayat), maka beliau hanya memilih hadith Jabir daripada Umar berkaitan Ibn Shayyad dan beliau tidak meriwayatkan hadith daripada Fatimah binti Qais berkenaan kisah Tamim. Selain itu juga, sebahagian orang menyangka bahawa hadith tersebut adalah gharib (ganjil) maka sangkaan mereka ini ditolak dan ia bukanlah seperti yang disangka itu. Telah meriwayatkan hadith ini bersama Fatimah binti Qais RA adalah Abu Hurairah RA, Aisyah RA dan Jabir RA”. [Lihat: Fath al-Bari, 328/13]

 

Soalan: Apakah kesudahan daripada fitnah Dajjal ini?

 

Jawapan: Setelah Dajjal melata di seluruh muka bumi melainkan Makkah dan Madinah dengan menyebarkan fitnah-fitnah kepada manusia pada waktu itu. Di samping itu juga, ramai daripada kalangan manusia telah terpedaya dengan fitnah Dajjal ini, lalu mereka telah bersama dengan Dajjal dan menjadi pengikutnya. Tambahan pula, tidak ramai daripada umat manusia yang berjaya daripada fitnah itu. Pada waktu itulah, Allah SWT menurunkan Nabi Isa AS ke dunia bagi membunuh Dajjal. Ketika Nabi Isa AS turun ke dunia, Dajjal sedang menuju ke Bait al-Maqdis (palestin). Kemudian, mereka bertemu di sebuah pintu yang dinamakan pintu Lud (لد). Apabila Nabi Isa AS melihat Dajjal, beliau terus membunuhnya dengan menggunakan pedang sambil berkata:

 

إِنَّ لِي فِيكَ ضَرْبَةً، لَنْ تَسْبِقَنِي بِهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya bagiku kepada engkau satu pukulan yang mana dengan pukulan ini kamu tidak akan dapat melepaskan diri daripadaku”. [Riwayat Ibn Majah (4077)][Syeikh al-Arnaouth mengatakan sanadnya dhaif dan al-Albani menilai hadith ini sebagai dhaif]

 

Dengan kematian Dajjal itu, berakhirlah fitnah yang besar itu dan berjayalah orang-orang yang beriman daripada kejahatan Dajjal dan daripada kejahatan pengikutnya disebabkan oleh Nabi Isa AS.

 

 Petunjuk Nabi SAW dalam menghadapi fitnah Dajjal

Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Darda’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْف عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan terselamat daripada fitnah Dajjal”. [Riwayat Muslim, kitab solat bagi orang musafir dan mengqasarkannya, bab kelebihan surah al-Kahfi dan ayat al-Kursi, no. Hadith 1342]

 

Ini kerana, Imam al-Suyuthi mengatakan pada awal surah tersebut menceritakan akan keajaiban-keajaiban dan tanda-tanda maka sesiapa yang mengtadabburnya (membaca serta memahami maknanya) tidak akan terkena fitnah Dajjal dan begitu juga di akhirnya (akhir surah al-Kahfi). [Lihat: Al-Dibaj ala Muslim, 2:403]

 

Cara Menghadapi Fitnah Dajjal

Antara cara lain untuk berdepan dengan fitnah Dajjal adalah:

 

 

 Penutup

Kesimpulannya, kita telah berada di akhir zaman di mana manusia sudah mula jauh daripada ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Untuk itu, menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa mempersiapkan diri kita agar kita tidak terjerumus ke dalam fitnah yang boleh meruntuhkan tahap keimanan kita. Kami menutup perbincangan ini dengan sebuah doa:

 

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada azab kubur, daripada azab neraka Jahannam, daripada fitnah kehidupan dan setelah mati serta daripada kejahatan fitnah al-masih al-Dajjal”. [Riwayat Muslim (588)]

 

Doa ini disunatkan kepada kita untuk membacanya ketika selesai membaca tahiyyat akhir sebelum daripada salam sepertimana yang disebut di dalam hadith. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara iman kita dan menyelamatkan kita daripada segala fitnah terutamanya fitnah Dajjal. Amin.

 

Wallahua’lam