Irsyad al-Hadith Siri ke-23 : Status Hadis Menuntut Ilmu dari Buaian ke Liang Lahad

Matan Hadis

اطْلُبُوا العِلمَ مِنَ المَهدِ إِلى اللّحْدِ

Maksudnya : “Carilah (tuntutlah) ilmu daripada buaian hingga ke liang lahad”.

Keterangan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Kita sering mendengar orang menggunakan hadis ini dan menyandarkan kepada Nabi SAW. Untuk itu, kami datangkan pendapat salah seorang pakar hadis kontemporari :

 

Pendapat Syeikh ‘Abdul Fattah Abu Ghuddah berkaitan hadis ini

Telah berkata al-Syeikh ‘Abdul Fattah Abu Ghuddah: Perkataan “Menuntut ilmu daripada buaian hingga ke liang lahad” dan dikatakan juga dengan lafaz “Carilah (tuntutlah) ilmu daripada buaian hingga ke liang lahad” bukan hadis Nabi SAW. Bahkan ia adalah perkataan yang direka oleh manusia dan tidak boleh menyandarkannya kepada Nabi SAW sebagaimana dilakukan oleh sebahagian orang. Ini adalah hadis palsu yang masyhur di lidah-lidah manusia, yang menghairankan adalah apabila karya-karya yang disusun berkaitan hadis-hadis yang masyhur tidak menukilkan hadis ini.” [Qimah al-Zaman , 30]

 

Kesimpulan

Setelah kami meneliti tentang status hadis ini, maka kami tidak menjumpainya di dalam kitab-kitab hadis. Untuk itu, kami sependapat dengan syeikh ‘Abdul Fattah Abu Ghuddah yang mengatakan bahawa ia bukanlah hadis Nabi SAW dan kita tidak boleh sesekali menyandarkannya kepada Nabi SAW, tetapi ia adalah kalam ulama’ atau mutiara kata yang indah daripada ahli hikmah. Antara makna hadis ini ialah, kita mengambil berat dalam menuntut ilmu sejak kecil lagi hingga nyawa dikandung badan.

 

Akhirnya, semoga Allah SWT menjaga lidah kita daripada menutur dan menyandarkan sesuatu yang tidak disabdakan oleh Nabi SAW. Amin.