IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-219: PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN WUDHUK DAN PUASA

Soalan: Apakah status hadith ini?

 

 

خَمْسُ خِصالٍ يُفَطِّرْنَ الصائمَ ، ويَنْقُضْنَ الوُضوءَ: الكَذِبُ ، والغِيبةُ ، والنميمةُ ، والنظرُ بشهوةٍ ، واليمينُ الكاذبةُ

Maksudnya: “Lima perkara yang membuat orang berpuasa itu berbuka dan juga membatalkan wudhuk iaitu menipu, mengumpat, mengadu domba, melihat dengan syahwat dan bersumpah tipu.”

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Sebelum sesorang itu menyampaikan atau meriwayatkan sesebuah hadith adalah menjadi satu kemestian iaitu mengenalpasti akan darjat atau kesahihan hadith tersebut. Ini kerana, ancaman terhadap orang yang berdusta di atas nama Nabi SAW adalah amat dahsyat. Berdasarkan soalan di atas, di sini kami sertakan berkaitan hukum hadith di atas:

 

 

Setelah melihat beberapa pendapat ulama’ di atas, maka kami cenderung untuk mengatakan bahawa hadith tersebut adalah palsu. Untuk itu, kita tidak boleh sama sekali menyandarkannya kepada Nabi SAW ataupun menyebarkannya kepada orang lain. Akan tetapi, kata al-Mawardi dan al-Mutawalli serta selain daripada mereka berdua yang dimaksudkan dengan puasa terbatal adalah hilangnya pahala puasa tersebut dan bukannya puasa itu yang batal. [Lihat: al-Majmu’, 356/6]

 

Walaupun hadith ini adalah palsu, tetapi perkara menipu, mengumpat, mengadu domba, melihat dengan syahwat dan bersumpah tipu adalah dilarang sama sekali di dalam Islam. Adapun dalil-dalil larangan terhadap perkara tersebut, antaranya adalah:

 

 

وَإِيَّاكُمْ وَالْكَذِبَ، فَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ

Maksudnya: “Dan jauhilah akan kamu pendustaan (penipuan), kerana pendustaan itu membawa kepada kejahatan.” [Riwayat Muslim (2607)]

 

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

Al-Hujurat:12

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah kamu mengumpat sesama kamu dengan yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha penerima taubat lagi Maha mengasihani.”

 

 

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ

Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga orang yang pengadu domba.” [Riwayat Muslim (105)]

 

 

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ

Al-Nur:30

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menunduk pandangan mereka (daripada memandang yang haram) serta memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan.”

 

 

مَنْ حَلَفَ يَمِينَ صَبْرٍ لِيَقْتَطِعَ بِهَا مَالَ امْرِئٍ مُسْلِمٍ، لَقِيَ اللَّهَ وَهْوَ عَلَيْهِ غَضْبَانُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang melakukan sumpah palsu atas sesuatu dengan tujuan merampas harta seseorang muslim maka dia akan bertemu Allah SWT dalam keadaan Allah murka kepadanya.” [Riwayat al-Bukhari (4549)]

 

Penutup

Kesimpulannya, hadith di atas adalah tidak sahih dan kita sama sekali tidak dibenarkan menyebarkannya kepada orang lain. Apatah lagi, menyandarkannya kepada Nabi SAW. Ini kerana, hukuman bagi orang yang berdusta di atas nama Rasulullah SAW adalah neraka kerana dia adalah seorang pendusta, sebagaimana sabda Baginda SAW di dalam sebuah hadith sahih yang masyhur iaitu:

 

 

مَنْ حَدَّثَ عَنِّي بِحَدِيْثٍ يُرَىْ أَنَّهُ كَذِبٌ فَهُوَ أَحَدُ الْكَاذِبِيْنَ

Maksudnya: “Sesiapa yang menyampaikan daripadaku hadith yang pada sangkaannya adalah dusta maka dia adalah termasuk dalam kalangan pendusta”. [Lihat: Muqaddimah Sahih Muslim]

 

Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita orang yang cintakan ilmu serta memberi kita kefahaman di dalam agama ini serta memelihara lidah kita daripada melakukan kesalahan dalam menyampaikan hadith Nabi SAW. Amin.

 

Wallahua’lam