IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-256: TALAK MENGGEGARKAN ‘ARASH DAN DIMURKAI ALLAH

 

 

Soalan: Apakah status hadith di bawah ini?

 

 

تَزَوَّجُوْا وَلَا تُطَلِّقُوْا، فَإِنَّ الطَّلَاقَ يَهْتَزُّ مِنْهُ العَرْشُ

Maksudnya: “Berkahwinlah dan janganlah kamu bercerai. Maka sesungguhnya talak (bercerai) itu akan menggegarkan ‘arash.”

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Tujuan perkahwinan adalah untuk mengekalkan kehidupan berumahtangga di antara pasangan suami dan isteri. Selain itu, Allah SWT telah mensyariatkan pelbagai hukum dan adab-adab perkahwinan bagi menjamin perkahwinan tersebut berkekalan. Walau bagaimanapun, telah menjadi lumrah di dalam kehidupan yang mana terdapat sebahagian suami isteri atau salah seorang daripada mereka tidak mematuhinya yang menyebabkan perkahwinan itu tidak kekal lama atas sebab-sebab yang tertentu dan daripada situ muncullah penceraian yang ia juga merupakan syariat daripada Allah SWT. Antara dalil yang menunjukkan pensyariatan penceraian atau talak ini adalah:

 

 

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ

al-Baqarah:229

Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah dia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskannya (menceraikannya) dengan cara yang baik.”

 

Berdasarkan soalan di atas, di sini kami nukilkan beberapa pendapat para ulama’ berkaitan status hadith di atas:

 

 

Setelah melihat beberapa pandangan para ulama’ dalam menentukan status hadith ini, maka kami cenderung untuk menyatakan bahawa hadith di atas adalah tidak sahih dan kita tidak boleh sesekali menyandarkannya kepada Nabi SAW serta meriwayatkannya kepada orang lain melainkan bagi menyatakan kepalsuannya.

 

Di samping itu juga, terdapat sebuah lagi hadith yang masyhur dalam kalangan kita iaitu:

 

 

أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقِ

Maksudnya: “Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak.” [Riwayat Abu Daud (2178) dan Ibn Majah (2018)]

 

Hadith ini telah menjadi perselisihan dalam kalangan ulama’ dalam menentukan hukumnya. Ada sebahagian ulama’ mengsahihkan hadith ini dengan mengatakan bahawa sanadnya bersambung dan ada sebahagian lain yang mengdhaifkan hadith ini disebabkan gugurnya nama sahabat di dalam hadith ini dengan mengatakan bahawa hadith ini adalah mursal. Maka, di sini kami nukilkan perkataan Imam al-San’ani (1182 H) di dalam kitabnya ketika menerangkan berkaitan status hadith ini  dengan berkata:

 

“Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ibn Majah. Ia disahihkan oleh al-Hakim. Akan tetapi, Imam Abu Hatim merajihkan bahawa ia adalah mursal. Begitu juga, al-Daraquthni dan al-Baihaqi merajihkan hadith ini adalah mursal.” [Lihat: Subul al-Salam, 247/2]

 

Tambahan pula, Syeikh Syu’aib al-Arna’outh ketika menghukum hadith ini di dalam Sunan Abu Daud dengan mengatakan bahawa perawi-perawinya adalah thiqah (dipercayai). Akan tetapi, pendapat yang sahih dalam kalangan para imam bahawa hadith ini adalah mursal dan ini juga merupakan pilihan kami dalam menentukan status hadith di atas.

 

Makna Hadith

Hadith ini menunjukkan bahawa terdapat pada perkara yang halal itu, perkara-perkara yang dimurkai oleh Allah SWT dan perkara yang paling dimurkai oleh Allah SWT adalah talak. Ia menjadikannya sebagai kiasan bahawa perkara tersebut tidak mendapat pahala serta perbuatannya itu tidak mendekatkan pelakunya kepada Allah SWT. Sebahagian ulama’ membuat contoh lain bagi perkara halal yang dimurkai oleh Allah SWT adalah solat fardhu yang dilakukan selain daripada masjid (iaitu tidak berjemaah di masjid bagi lelaki) tanpa keuzuran. Hadith ini juga menjadi dalil bahawa sebaiknya jauhilah diri daripada terjatuh dalam perbuatan talak ini selagimana terdapat padanya keluasan (ruang-ruang untuk tidak menceraikan). [Lihat: Subul al-Salam, 247-248/2]

 

Penutup

Kesimpulannya, walaupun syarak membenarkan seorang suami itu untuk melafazkan talak atau menceraikan isterinya di atas sebab-sebab tertentu. Akan tetapi, yang terbaik adalah mencari dahulu jalan penyelesaian bagi masalah tersebut dan menjadikan talak ini sebagai jalan yang terakhir. Semoga Allah SWT mengurniakan kita semua suami dan isteri yang soleh dan solehah agar rumahtangga yang dibina akan terus berkekalan hingga ke akhir hayat. Amin.

 

Wallahua'lam