IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-282: HADITH BERKAITAN HARI RABU

 

 

Soalan: Adakah terdapat hadith yang membicarakan tentang Hari Rabu?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Allah SWT maha berkuasa untuk menciptakan apa yang dikehendaki-Nya. Ini kerana, setiap yang ada itu merupakan makhluk Allah SWT. Ia termasuklah masa, tahun, bulan, hari dan sebagainya. Hal ini jelas berdasarkan sebuah hadith bahawa Allah merupakan pencipta kepada langit dan bumi serta tahun dan bulan:

 

 

الزَّمَانُ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا

Maksudnya: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan.” [Riwayat al-Bukhari (4054)]

 

Berdasarkan soalan di atas, di sini kami nukilkan beberapa riwayat yang tersebar berkaitan hari Rabu merupakan hari kecelakaan:

 

 

يَوْم نَحس قَالُوا وَكَيْفَ ذَاكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ أغرق الله فِرْعَوْن وَقَومه وَأهْلك عادًا وثمودًا

Maksudnya: “(Hari Rabu) adalah hari celaka.” Lalu para sahabat bertanya lagi: Mengapa begitu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: “(Pada hari tersebut) Allah telah menenggelamkan Firaun dan kaumnya serta telah membinasakan (kaum) 'Ad dan Thamud.”

 

Imam al-Suyuthi telah mengkritik seorang perawi bernama Abu al-Akhyal dengan menyatakan bahawa dia adalah seorang perawi yang dituduh berdusta (متهم). [Lihat: al-La’aliy al-Masnu’ah, 442/1]

 

Tambahan pula, terdapat satu lagi riwayat yang membawa maksud yang sama iaitu hari Rabu adalah hari kecelakaan. Antara yang meriwayatkan hadith tersebut adalah Jabir bin Abdillah RA, dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

 

يَوْمُ الأَرْبِعَاءِ يَوْمُ نَحْسٍ مُسْتَمِرٍّ

Maksudnya: “Hari Rabu adalah hari kecelakaan yang berterusan.” [Riwayat al-Thabarani di dalam al-Awsath (797)]

 

Imam Ibn al-Jauzi menyatakan bahawa riwayat ini tidak sahih daripada Nabi SAW. [Lihat: al-Mawdhu’at, 74/2] Selain itu, Imam al-Sakhawi menyatakan hadith ini tiada asal baginya sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam Mulla Ali al-Qari. [Lihat: al-Asrar al-Marfu’ah, 396/1] Tambahan pula, Imam al-San’ani menilai riwayat ini sebagai mawdhu’. [Lihat: al-Fawaid al-Majmu’ah, 438/1]

 

Setelah melihat beberapa kenyataan dan pandangan para ulama’ hadith di atas, maka kami cenderung untuk mengatakan bahawa hadith atau riwayat tersebut adalah tidak sahih walaupun di sana terdapat lagi beberapa riwayat yang hampir sama tetapi kesemua riwayat tersebut tidak lari daripada kritikan oleh para ulama’. Ini kerana, jika dilihat di dalam salah sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim bahawa Allah SWT telah menciptakan cahaya pada hari Rabu.

 

 

وَخَلَقَ النُّورَ يَوْمَ الْأَرْبِعَاءِ

Maksudnya: “Dan (Allah) menciptakan cahaya matahari pada hari Rabu.” [Riwayat Muslim (2789)]

 

Selain itu juga, beberapa peristiwa yang dikatakan berlaku pada hari Rabu seperti Allah SWT menenggelamkan Qarun bersama keluarga dan kekayaannya ke dalam perut bumi, Fir'aun dan kaumnya dibinasakan dengan ditenggelamkan di dalam Sungai Nil, Allah SWT menghancurkan kaum Nabi Soleh AS dan sebagainya bahawa tarikh serta hari yang tepat berlakunya peristiwa tersebut adalah tidak pasti secara sahih dan berkemungkinan ia datang daripada riwayat-riwayat Israiliyyat.

 

Penutup

Kesimpulannya, menentukan hari Rabu adalah hari malang merupakan satu perbuatan yang tidak tepat dan ia bercanggah dengan salah satu rukun Imam iaitu beriman kepada qada’ dan qadar. Ini kerana, setiap apa yang berlaku dan menimpa seseorang itu telah ditetapkan oleh Allah SWT dan perkara tersebut boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja dan tidak semestinya pada hari Rabu sahaja. Tambahan pula, Islam melarang umatnya terlibat dengan kepercayaan sial. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara kita dan iman kita daripada perkara-perkara yang boleh merosakkannya. Amin.

 

Wallahua’lam

 

Cetak