IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-284 : PERMUSAFIRAN ITU SEKELUMIT DARI AZAB

Soalan :

Assalamualaikum Ustaz. Adakah terdapat hadis yang menyatakan bahawa musafir itu adalah satu azab. Dan jika ada hadisnya apa yang dimaksudkan dengan azab tersebut?

Jawapan :

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Ya, memang hadis tersebut wujud. Ianya diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Muslim,Ibnu Majah dan al-Nasaie dengan melalui beberapa jalur sanad :

Maksudnya :”Abu Nua’im telah menceritakan kepada kami, Malik menceritakan kepada kami daripada Sumiy daripada Abu Salih daripada Abu Hurairah daripada Nabi saw. Baginda bersabda : Permusafiran itu adalah sekelumit daripada azab. Ianya menghalang kamu daripada tidur dan makan. Apabila telah selesai menunaikan hajat daripada permusafiran tersebut, maka segeralah kembali kepada ahli keluarganya.”

Riwayat al-Bukhari(5429)

 

Maksudnya :” Abdullah Bin Maslamah Bin Qa’nabi,Ismail Bin Abi Uwais, Abu Mus’ab al-Zuhri, Mansur Bin Abi Muzahim dan Qutaobah Bin Sa’id menceritakan kepada kami. Mereka semua berkata : Malik telah menceritakan kepada kami (ح) dengan maksud berlaku perpindahan sanad). Yahya Bin Yahya al-Tamimi menceritakan kepada kami. Beliau berkata : Aku berkata kepada Malik. Sumiy menceritakan kepada engkau daripada Abi Salih daripada Abu Hurairah sesungguhnya Rasulullah saw. Baginda bersabda : permusafiran itu adalah sekelumit daripada azab. Ia menghalang kalian draipada tidur, makan dan minum. Apabila salah seorang dari kalian telah selesai hajatnya maka segeralah kembali kepada ahli keluarganya.

Riwayat Muslim (5070)

 

حَدَّثَنَا هِشَامُ بْنُ عَمَّارٍ ، وَأَبُو مُصْعَبٍ الزُّهْرِيُّ ، وَسُوَيْدُ بْنُ سَعِيدٍ ، قَالُوا : حَدَّثَنَا مَالِكُ بْنُ أَنَسٍ ، عَنْ سُمَيٍّ ، مَوْلَى أَبِي بَكْرِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ ، عَنْ أَبِي صَالِحٍ السَّمَّانِ ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى الله عَليْهِ وسَلَّمَ قَالَ : السَّفَرُ قِطْعَةٌ مِنَ الْعَذَابِ ، يَمْنَعُ أَحَدَكُمْ نَوْمَهُ ، وَطَعَامَهُ ، وَشَرَابَهُ ، فَإِذَا قَضَى أَحَدُكُمْ نَهْمَتَهُ مِنْ سَفَرِهِ ، فَلْيُعَجِّلِ الرُّجُوعَ إِلَى أَهْلِهِ

Maksudnya :” Hisyam Bin ‘Ammar, Abu Mus’ab al-Zuhri, Suwaid Bin Sa’id menceritakan kepada kami. Mereka berkata : Malik Bin Anas menceritakan kepada kami daripada Sumiy Maula Abu Bakar Bin Abdurrahman daripada Abu Salih al-Tamimi al-Samman daripada Abu Hurairah r.anhu. Sesunggunya Rasulullah saw bersabda : Permusafiran itu adalah sekelumit daripada azab. Ia menghalang kalian dari tidur, makan dan minum. Jika kalian telah menyelesaikan hajat maka segeralah pulang kepada ahli keluarga.”

Riwayat Ibnu Majah(2882)

أَخْبَرَنَا عَمْرُو بْنُ عَلِيٍّ ، قَالَ : حَدَّثَنَا يَحْيَى ، قَالَ : حَدَّثَنَا مَالِكٌ ، وَأَخْبَرَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى ، قَالَ : حَدَّثَنَا يَحْيَى ، عَنْ مَالِكٍ قَالَ : حَدَّثَنِي سُمَيٌّ ، عَنْ أَبِي صَالِحٍ ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : السَّفَرُ قِطْعَةٌ مِنَ الْعَذَابِ يَمْنَعُ أَحَدَكُمْ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ قَالَ ابْنُ الْمُثَنَّى : وَشَرَابَهُ ، فَإِذَا قَضَى أَحَدُكُمْ نَهْمَتَهُ فَلْيَرْجِعْ إِلَى أَهْلِهِ قَالَ ابْنُ الْمُثَنَّى : فَلْيُعَجِّلْ إِلَى أَهْلِهِ

Maksudnya :” Amru Bin Ali mengkhabarkan kepada kami. Beliau berkata : Yahya menceritakan kepada kami. Beliau berkata : Malik menceritakan kepada kami. Muhammad Bin Muthanna juga mengkhabarkan kepada kami. Beliau berkata : Yahya menceritakan kepada kami daripada Malik. Beliau (Malik) berkata : Sumiy menceritakan kepada kami daripada Abi Salih daripada Abu Hurairah daripada Nabi saw. Baginda bersabda : permusafiran itu adalah sekelumit daripada  azab. Ia menghalang kalian dari melempiaskan syahwat dan makan. Ibnu al-Muthanna menambah : dan minum. Apabila kalian telah menyelesaikan hajat maka kembalilah kepada ahli keluarganya. Ibnu al-Munthanna menambah : maka segeralah ke pangkuan ahli keluarganya.”

Riwayat al-Nasaie (8733) di dalam Sunan al-Kubra

Jika diteliti dan diperhatikan jalur sanad akan tertumpu kepada Malik daripada Sumiy daripada Abu Salih daripada Abu Hurairah. Kesemua yang berada di dalam jalur sanad ini adalah perawi yang thiqah iaitu perawi yang terpercaya.

  1. Imam Malik tidak perlu diperkenalkan lagi.Beliau wafat pada tahun 179 H.Beliau digelar Imam Dar al-Hijrah.
  2. Sumiy adalah Maula Abu Bakar Bin Abdurrahman Bin Hisyam. Beliau terbunuh pada tahun 130 H di lembah qadid.Abu Hatim al-Razi meriwayatkan daripada Uthman Bin Sa’id. Beliau pernah bertanya kepada Yahya Bin Ma’in :

Jalur sanad yang mana lebih engkau sukai. Suhail Bin Abu Salih daripadanya ayahnya ataupun Sumiy daripada Abu Salih?. Beliau menjawab : Jalur Sumiy daripada Abu Salih lebih tepat.”

Rujuk al-Jarh wa al-Ta’dil ( 4/315)

Abdullah Bin Ahmad Bin Hanbal pernah bertanya kepada ayahnya tentang Sumiy. Imam Ahmad menjawab : Beliau adalah seorang yang terpercaya.

  1. Abu salih al-Samman nama sebenarnya adalah Zakwan Bin Abdullah. Beliau wafat pada tahun 101 H. Beliau adalah antara ulama besar Madinah. Abu Hatim al-Razi menyatakan beliau adalah seorang yang terpercaya (thiqah), kuat hafalan dan riwayatnya menjadi hujah.

Rujuk Siyar ‘Alam al-Nubala ( 5/36)

Beliau juga antara orang yang lama melazimi dan belajar daripada Abu Hurairah.

Secara ringkasnya, hadis tersebut adalah hadis yang sahih.

 

Maksud hadis

Para ulama memberikan penjelasan berkenaan hadis berikut. Kami nukilkan penjelasan dan tafsiran para ulama berkenaan maksud hadis tersebut.

  1. al-Munawi menyebut :

“ Ia adalah sebahagian dari azab kerana di dalam permusafiran tersebut terdapat keletihan, kepayahan, angin yang kuat, cuaca yang panas dan sejuk, ada ketakutan, bahaya, kurangnya air dan bekalan makanan.”               

                  Rujuk Faidh al-Qadir ( 14/351)

  1. Kata al-‘Aini :

Antara faedah yang boleh kita peroleh daripada hadis ialah makruh berada jauh daripada ahli keluarga. Faedah yang lain adalah harus bersegera untuk kembali ke ahli keluarga yang mana jika lambat pulang akan menyebabkan ahli keluarga menjadi tak tentu arah dengan ketiadaannya.”

Rujuk ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari ( 10/138)

  1. al-Qadhi ‘Iyad menyatakan :

Di dalam permusafiran terdapat kepenatan dan kesusahan. Apatah lagi terpaksa menempuh angina yang kuat, kepanasan dan cuaca yang sejuk. Ia juga menghalang dari makan dan minum kerana terkadang itu makanan dan minuman boleh jadi ada dan boleh juga tiada ketika permusafiran.”

Rujuk Ikmal al-Mu’lim Bi Fawaid Muslim (6/178)

  1. Mulla Ali al-Qari menyebut :

“ Permusafiran menyebabkan kita terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga dan sahabat, serta susahnya hidup (di permusafiran).”

Rujuk Mirqah al-Mafatih Syarh Mishkat al-Masabih ( 7/414)

 

Kesimpulannya, maksud hadis tersebut ialah di dalam permusafiran sememangnya terdapat kepenatan, kepayahan dan lain-lain. Oleh itu, Nabi saw menyatakan bahawa permusafiran adalah salah satu azab. Lihat sahaja diri kita ketika bermusafir ke tempat yang jauh. Rasa payah, letih, kurang makan dan minum pasti menjengah. Tambahan pula, yang dimaksudkan azab di dalam hadis tersebut juga boleh difahami

dari segi maknawi. Seperti contoh jauh dari ahli keluarga, rindu kepada orang yang tersayang yang disebabkan jarak yang jauh antara keduanya dan lain-lain. Inilah yang dimaksudkan oleh Nabi saw.

Wallahu’alam.