IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-287: MEMINUM DARAH RASULULLAH SAW

 

 

Soalan: Apakah hukum meminum darah Rasulullah SAW?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Sebelum kami menjawab persoalan di atas, umum mengetahui bahawa darah yang keluar adalah najis. Hal ini ada dibahaskan di dalam kitab-kitab fiqh pada bab membicarakan tentang najis. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

 

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّـهِ بِهِ

al-An’am: 3

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), darah (yang keluar mengalir), daging babi (termasuk semuanya) dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain daripada Allah.”

 

Di antara ayat al-Quran lain yang lebih jelas pada menceritakan tentang kenajisan darah ini adalah:

 

 

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ

al-An’am: 145

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak mendapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau perkara itu adalah bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi kerana sesungguhnya ia adalah kotor.”

 

Menurut Syeikh Wahbah al-Zuhaili di dalam tafsirnya, antara sebab diharamkan darah yang mengalir adalah disebabkan terhimpunnya pada darah tersebut bakteria-bakteria dan kuman-kuman kecil kerana darah merupakan tempat yang sesuai untuk perkara ini membiak dan tinggal. [Lihat: Tafsir al-Munir, 80/8] Dengan itu, jelaslah kepada kita bahawa darah merupakan najis dan perkara ini dikuatkan lagi dengan kenyataan daripada Imam al-Nawawi (676 H) bahawa:

 

أَنَّ الدَّمَ نَجِسٌ وَهُوَ بِإِجْمَاعِ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya darah adalah najis berdasarkan ijma’ umat Islam.” [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 200/3]

 

Berdasarakan soalan di atas, adakah darah Rasulullah SAW sama sahaja hukumnya dengan darah manusia yang lain. Sebelum kami menjawab persoalan ini, di sini kami serta beberapa riwayat berkaitan para sahabat yang dikatakan meminum darah Rasulullah SAW:

 

 

يَا عَبْدَ اللَّهِ، اذْهَبْ بِهَذَا الدَّمِ فَأَهْرِقْهُ حَيْثُ لَا يَرَاكَ أَحَدٌ ، فَلَمَّا بَرَزْتُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَمَدْتُ إِلَى الدَّمِ فَحَسَوْتُهُ، فَلَمَّا رَجَعْتُ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَا صَنَعْتَ يَا عَبْدَ اللَّهِ؟ قَالَ: جَعَلْتُهُ فِي مَكَانٍ ظَنَنْتُ أَنَّهُ خَافٍ عَلَى النَّاسِ، قَالَ: فَلَعَلَّكَ شَرِبْتَهُ؟ قُلْتُ: نَعَمْ، قَالَ: وَمَنْ أَمَرَكَ أَنْ تَشْرَبَ الدَّمَ؟ وَيْلٌ لَكَ مِنَ النَّاسِ، وَوَيْلٌ لِلنَّاسِ مِنْكَ

Maksudnya: “Pergilah dan sembunyikan (darah ini) daripada manusia. Maka aku pergi dan meminum darah tersebut. Selepas daripada itu, aku mandatangi Rasulullah SAW kembali. Lalu Baginda SAW bertanya: “Apa yang kamu lakukan?.” Beliau menjawab: “Aku sudah sembunyikan darah itu di tempat yang tidak boleh dilihat oleh manusia. Baginda SAW berkata lagi: “Jangan-jangan kamu telah meminumnya? Beliau menjawab: “Ya, aku telah meminumnya.” [Lihat: al-Mustadrak, 638/3]

 

 

وَامْتَصَّ مالِك بِنْ سِنَان والد أَبِي سَعِيْد الخُدْرِي الدَّمَ مِنْ وَجْنَتِهِ حَتَّى أَنْقَاه. فَقَالَ: مُجَّهُ. فَقَالَ: وَاللهِ لَا أَمُجُّهُ أَبَدًا. ثُمَّ أَدْبَرَ يُقَاتِل

Maksudnya: Malik bin Sinan iaitu ayah Abu Sa’id al-Khudri telah menyedut darah dari pipi Rasulullah SAW sehingga menelannya. Lalu Nabi SAW berkata: “Ludahkanlah ia!” Beliau menjawab: “Demi Allah, aku tidak akan meludahnya.” Kemudian beliau kembali berperang. [Lihat: al-Rahiq al-Makhtum, 247/1]

 

Terdapat beberapa lagi riwayat lain yang menceritakan tentang beberapa peristiwa para sahabat meminum darah Rasulullah SAW seperti kisah Safinah hamba kepada Rasulullah SAW, Salim Abu Hind al-Hijam, pemuda Quraish dan sebagainya. Akan tetapi riwayat-riwayat tersebut dhaif dan dipertikaikan oleh para ulama’ akan kesahihannya. Ini termasuklah kisah Malik bin Sinan RA kerana kisah ini adalah mursal sebagaimana dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani (852 H).  Walaupun begitu, kisah Abdullah bin Zubair adalah yang paling kuat (mempunyai asal) berbanding kisah-kisah yang lain apabila disertakan dengan syawahid (sokongan-sokongan) yang ada padanya bagi menguatkan kisah tersebut.

 

Setelah mengetahui beberapa kisah tentang perbuatan para sahabat yang meminum darah Rasulullah SAW. Maka bagi menjawab persoalan adakah darah Rasulullah SAW najis seperti darah manusia yang lain, di sini kami nyatakan beberapa pandangan ulama’ berkaitan hal ini:

 

 

 

Melihat kepada dua pendapat di atas, kami lebih cenderung kepada pendapat yang pertama iaitu darah Nabi SAW adalah suci dan tidak najis kerana ia termasuk di dalam bab Pengkhususan Nabi SAW. Tambahan pula, Nabi SAW tidak sama seperti manusia lain kerana Baginda SAW adalah insan yang terpilih dan merupakan makhluk Allah SWT yang paling mulia berbanding makhluk Allah SWT yang lain.

 

Penutup

Kesimpulannya, dalam memahami hukum kenajisan darah Nabi SAW boleh dibahagikan kepada dua pendapat sebagaimana yang dinyatakan di atas. Jika kita memilih untuk menyatakan darah Nabi SAW adalah suci maka ia termasuk di dalam bab Khasais Nabi SAW (pengkhususan Nabi SAW). Adapun, jika kita ingin mengatakan ianya adalah najis, maka tidak menjadi masalah kerana pendapat ini juga merupakan pandangan sebahagian ulama’. Akhirya, Rasulullah SAW merupakan seorang insan yang agung dan kita sebagai umatnya wajib untuk mencontohi Baginda SAW dalam setiap perkara yang kita lakukan kerana Rasulullah SAW adalah ikutan yang terbaik. Semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan umat Nabi Muhammad SAW yang berjaya mendapatkan syafaatnya di hari Akhirat kelak. Amin.

 

Wallahua’lam