IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-315: ISTERI KEPADA PEMBESAR MESIR DI DALAM SURAH YUSUF

 

 

 

ih315.png

 

Soalan: Siapakah “امْرَأَتُ الْعَزِيزِ” (isteri kepada pembesar Mesir) di dalam surah Yusuf dan benarkah Nabi Yusuf berkahwin dengannya?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Sebelum kami menjawab persoalan di atas, suka bagi kami untuk mendatangkan terlebih dahulu ayat-ayat al-Quran yang membicarakan tentang kisah nabi Yusuf AS dan isteri pembesar Mesir yang dikenali sebagai “امْرَأَتُ الْعَزِيزِ” (isteri kepada pembesar Mesir). Antaranya adalah:

وَقَالَ الَّذِي اشْتَرَاهُ مِن مِّصْرَ لِامْرَأَتِهِ أَكْرِمِي مَثْوَاهُ عَسَىٰ أَن يَنفَعَنَا أَوْ نَتَّخِذَهُ وَلَدًا

Yusuf:21

Maksudnya: “Dan (setelah Yusuf dijualkan di negeri Mesir), berkatalah orang yang membeli Yusuf kepada isterinya: "Berilah dia layanan yang sebaik-baiknya; semoga ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak.”

وَقَالَ نِسْوَةٌ فِي الْمَدِينَةِ امْرَأَتُ الْعَزِيزِ تُرَاوِدُ فَتَاهَا عَن نَّفْسِهِ ۖ قَدْ شَغَفَهَا حُبًّا

Yusuf:30

Maksudnya: “Dan (sesudah itu) perempuan-perempuan di bandar Mesir berkata: Isteri al-Aziz (isteri kepada pembesar Mesir) itu memujuk hambanya (Yusuf) kerana berkehendakkan akan dirinya dan sesungguhnya cintanya (kepada Yusuf) itu telah meresap ke dalam lipatan hatinya.”

 

قَالَتِ امْرَأَتُ الْعَزِيزِ الْآنَ حَصْحَصَ الْحَقُّ أَنَا رَاوَدتُّهُ عَن نَّفْسِهِ وَإِنَّهُ لَمِنَ الصَّادِقِينَ

Yusuf:51

Maksudnya: “(Isteri kepada pembesar Mesir) pun berkata: Sekarang ternyatalah kebenaran (yang selama ini tersembunyi), akulah yang memujuk Yusuf kerana berkehendakkan dirinya (tetapi dia telah menolak) dan sesungguhnya dia daripada kalangan orang yang benar.”

 

Antara ahli tafsir yang menyatakan bahawa nama “امْرَأَتُ الْعَزِيزِ” adalah Ra’il (راعيل) ialah Imam al-Baghawi di dalam tafsirnya. [Lihat: Tafsir al-Baghawi, 225/4] Selain itu, Imam al-Thabari menukilkan pendapat Ibn Ishak di dalam tafsirnya bahawa nama “امْرَأَتُ الْعَزِيزِ” adalah Ra’il (راعيل) [Lihat: Tafsir al-Thabari, 15/18] dan Imam al-Qurtubi juga menukilkan yang sama. [Lihat: Tafsir al-Qurthubi, 158/9] Adapun, Imam al-Baidhawi juga ada menyatakan di dalam tafsirnya bahawa nama “امْرَأَتُ الْعَزِيزِ” adalah Ra’il atau Zulaikha. [Lihat: Tafsir al-Baidhawi, 159/3]

Berdasarkan soalan di atas, nama “امْرَأَتُ الْعَزِيزِ” adalah Ra’il binti Ra’ail (راعيل بنت رعاييل). Antara pandangan lain mengatakan bahawa namanya ialah Zalikha atau Zulaikha. Akan tetapi, yang zahir adalah Zalikha dan Zulaikha itu merupakan gelaran baginya dan bukannya namanya. [Lihat: al-Bidayah wa al-Nihayah, 232/1]

Tambahan pula, Imam Ibn Kathir menyatakan kebanyakan pandangan atau pendapat ahli tafsir ini diambil daripada ahli kitab. Maka, menjauhkan diri kita daripadanya adalah lebih baik. [Lihat: al-Bidayah wa al-Nihayah, 234/1]

Selain itu, Nabi SAW pernah memberi panduan kepada kita dalam berinteraksi dengan riwayat ahli kitab ini yang mana tidak jelas akan kesahihan atau kepalsuan riwayatnya. Ini berdasarkan sabda Baginda SAW:

 

لا تُصَدِّقُوا أَهْلَ الكِتَابِ وَلا تُكَذِّبُوهُمْ وَقُولُوا: آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْكُمْ

Maksudnya: “Jangan kamu mempercayai ahli kitab dan jangan pula kamu mendustakan mereka (kata-kata mereka). Katakanlah: “Kami telah beriman kepada kitab-kitab yang diturunkan kepada kami dan apa yang telah diturunkan kepada kamu.” [Riwayat al-Bukhari (7362)]

 

Justeru itu, para ulama’ membahagikan hukum berinteraksi dengan riwayat ahli kitab ini kepada tiga, iaitu:

 

Penutup

Kesimpulannya, nama “امْرَأَتُ الْعَزِيزِ” (isteri kepada pembesar Mesir) yang dikatakan isteri kepada pembesar Mesir itu ialah Ra’il dan kisah perkahwinannya dengan Nabi Yusuf AS ini tidak terdapat di dalam al-Quran mahupun hadith Nabi SAW. Al-Quran dan Hadith Nabi SAW tidaklah mengisbatkan atau menafikannya. Adapun Zalikha dan Zulaikha itu merupakan gelaran baginya dan bukan namanya seperti yang dikatakan oleh Imam Ibn Kathir.

Umum mengetahui bahawa di antara uslub al-Quran (kaedah al-Quran) adalah tidak menceritakan melainkan perkara tersebut memberi faedah atau pengajaran kepada orang yang mengetahuinya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

 

لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ

Yusuf:111

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, kisah nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar (pengajaran) bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran.”

 

Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam mempelajari al-Quran dan sunnah Nabi SAW dalam mencontohi akhlak para nabi dan orang-orang soleh. Amin.

 

Wallahua'lam