IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-318 : ADAKAH MATI KERANA SAKIT PERUT TIDAK AKAN DI AZAB DI KUBUR?

ih 318 compressed

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Semoga dalam keadaan yang sihat. Saya mahu bertanya dan ingin clarify tentang satu perkara. Adakah orang yang mati kerana sakit perut itu dipelihara daripada azab kubur. Sebab saya pernah mendengar ada hadis yang mengatakan sesiapa yang mati sakit perut maka dia dipelihara daripada azab dan fitnah kubur. Yang saya tahu hadis siapa yang mati sakit perut dia dianggap syahid ada lah.Tapi hadis ni saya musykil. Mohon pencerahan ustaz.

Jawapan :

Waalaikumussalam WBT. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Sikap mereka yang bertanya tentang kesahihan satu berita khususnya yang berkaitan dengan Nabi SAW seharusnya dipuji. Ini adalah sikap yang baik kerana sikap ini menunjukkan bahawa si penyoal tidak ingin apa-apa dinisbahkan kepada Nabi SAW kecuali apa yang telah thabit dan sahih di sisi para ulama. Ini berdasarkan dan bersandar kepada firman Allah SWT di dalam al-Quran :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن جَآءَكُمْ فَاسِقٌۢ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوٓا۟ أَن تُصِيبُوا۟ قَوْمًۢا بِجَهَـٰلَةٍ فَتُصْبِحُوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَـٰدِمِينَ

Maksudnya :” Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

(Surah al-Hujurat : 6)

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan,hadis tersebut diriwayatkan di dalam beberapa kitab-kitab hadis. Antaranya: 

Imam al-Tirmizi meriwayatkan hadis ini dengan sanadnya. Kata beliau :

“Ubaid Bin Asbat Bin Muhammad al-Qurasyi al-Kufi menceritakan kepada kami. Ayahku (Asbat Bin Muhammad) menceritakan kepada kami. Abu Sinan al-Syaibani menceritakan kepada kami daripada Abu Ishak al-Sabi’ie. Beliau berkata: Sulaiman Bin Suradin berkata kepada Khalid Bin ‘Urfutah atau Khalid berkata kepada Sulaiman

أَمَا سَمِعْتَ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَقُولُ مَنْ قَتَلَهُ بَطْنُهُ لَمْ يُعَذَّبْ فِى قَبْرِهِ فَقَالَ أَحَدُهُمَا لِصَاحِبِهِ نَعَمْ

Maksudnya :”: Tidakkah engkau mendengar Rasulullah SAW bersabda :sesiapa yang dibunuh oleh perutnya (iaitu sakit perut) dia tidak akan di azab di dalam kuburnya. Salah satu dari kedua-duanya (iaitu Khalid dan Sulaiman) berkata kepada yang lain : Ya aku pernah mendengar hadis tersebut.

Riwayat al-Tirmizi (1085)

Imam al-Tirmizi memberi komentar berkenaan hadis ini bahawa ini adalah hadis hasan gharib di dalam bab ini dan hadis ini telah diriwayatkan di dalam bentuk yang lain.

Rujuk Jami’ al-Tirmizi (4/328)

Ibnu Hibban pula meriwayatkan dengan sanadnya berkata : :

”Al-Fadhl Bin Al-Hubab mengkhabarkan kepada kami. Beliau berkata: Abu Walid dan Al-Haudi menceritakan kepada kami. Kedua-duanya berkata : Syu’bah menceritakan kepada kami daripada Jami’ Bin Syaddad. Beliau berkata :

سَمِعْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ يَسَارٍ ، عَنْ سُلَيْمَانَ بْنِ صُرَدٍ ، وَخَالِدِ بْنِ عُرْفُطَةَ ، أَنَّهُمَا بَلَغَهُمَا أَنَّ رَجُلًا مَاتَ بِبَطْنٍ ، فَقَالَ أَحَدُهُمَا : أَلَمْ يَبْلُغْكُمْ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : مَنْ قَتَلَهُ بَطْنُهُ لَمْ يُعَذَّبْ فِي قَبْرِهِ. قَالَ الْآخَرُ : صَدَقْتَ وَقَالَ الْحَوْضِيُّ : بَلَى

Maksudnya: Aku mendengar daripada Abdullah Bin Yasar daripada Sulaiman Bin Suradin dan Khalid Bin ‘Urfutah, kedua-duanya dimaklumkan bahawa ada seorang lelaki yang mati kerana sakit perut. Salah satunya berkata : Tidakkah sampai kepada kalian bahawa Rasulullah SAW telah bersabda : Sesiapa yang dibunuh oleh perutnya (sakit perut) di tidak akan diazab di dalam kubur. Kata yang seorang lagi : Engkau benar. Al-Haudi berkata : Benar.”

Riwayat Ibnu Hibban (2933) di dalam sahihnya.

Sheikh Syu’aib Al-Arnaut di dalam kajiannya terhadap hadis ini beliau menyatakan sanad hadis ini adalah sanad sahih.

Al-Tabarani di dalam Al-Mu’jam Al-Kabir meriwayatkan hadis ini dengan sanadnya. Beliau berkata :

” Muhammad Bin Al-Fadhl Al-Saqati menceritakan kepada kami.Sa’id Bin Sulaiman menceritakan kepada kami. Ayub Bin Jabir menceritakan kepada kami. Jami’ Bin Syaddad daripada Abdullah Bin Yasar al-Juhani. Beliau berkata :

قَالَ سُلَيْمَانُ بن صُرَدٍ ، لِخَالِدِ بن عُرْفُطَةَ : أَمَا سَمِعْتَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ : مَنْ قَتَلَهُ بَطْنُهُ لَمْ يُعَذَّبْ فِي قَبْرِهِ ؟ قَالَ خَالِدٌ : نَعَمْ

Maksudnya : “Sulaiman Bin Suradin berkata kepada Khalid Bin Urfutah : Tidakkah engkau mendengar Rasulullah SAW bersabda : Sesiapa yang dibunuh oleh perutnya, dia tidak akan diazab di kuburnya. Khalid berkata : Ya.”

Riwayat al-Tabarani (3995) di dalam Al-Mu’jam Al-Kabir

Di dalam Musnad Ahmad, Imam Ahmad pernah meriwayatkan hadis ini dengan tiga jalan riwayat.

كُنْتُ جَالِسًا مَعَ سُلَيْمَانَ بْنِ صُرَدٍ ، وَخَالِدِ بْنِ عُرْفُطَةَ وَهُمَا يُرِيدَانِ أَنْ يَتْبَعَا جِنَازَةَ مَبْطُونٍ ، فَقَالَ : أَحَدُهُمَا لِصَاحِبِهِ ، أَلَمْ يَقُلْ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَنْ يَقْتُلُهُ بَطْنُهُ ، فَلَنْ يُعَذَّبَ فِي قَبْرِهِ ؟ فَقَالَ : بَلَى

Maksudnya,: “Aku duduk bersama Sulaiman Bin Suradin dan Khalid Bin ‘Urfutah. Kedua-duanya mahu mengiringi satu jenazah yang mati disebabkan sakit perut. Salah seorang daripada keduanya berkata kepada yang seorang lagi : Bukankah Rasulullah SAW bersabda : sesiapa yang dibunuh oleh perutnya, maka dia tidak akan diazab di kuburnya?. Seorang lagi berkata: Ya, betul.”

Riwayat Imam Ahmad (18500)

Dengan sanad yang lain juga beliau meriwayatkan hadis ini. Kata Imam Ahmad :

Bahzun menceritakan kepada kami. Syu’bah menceritakan kepada kami. Jami’ Bin Syaddad mengkhabarkan kepada aku. Beliau berkata : Aku mendengar Abdullah Bin Yasar menyebut :

كَانَ سُلَيْمَانُ بْنُ صُرَدٍ ، وَخَالِدُ بْنُ عُرْفُطَةَ قَاعِدَيْنِ قَالَ : فَذُكِرَ أَنَّ رَجُلاً مَاتَ بِالْبَطْنِ ، فَقَالَ أَحَدُهُمَا لِصَاحِبِهِ : أَمَا سَمِعْتَ ، أَوَمَا بَلَغَكَ ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ مَنْ قَتَلَهُ بَطْنُهُ ، فَلَنْ يُعَذَّبَ فِي قَبْرِهِ ؟ قَالَ الآخَرُ : بَلَى

Maksudnya :”Pernah terjadi di mana Sulaiman Bin Suradin dan Khalid Bin ‘Urfutah duduk bersama-sama. Kata Abdullah : Kemudian disebut tentang seorang lelaki yang mati kerana sakit perut. Salah seorang menyebut : tidakkah engkau mendengar atau tidakkah sampai kepada engkau bahawa Rasulullah SAW bersabda : Sesiapa yang mati kerana sakit perut dia tidak akan diazab di kuburnya. Seorang lagi berkata : Benar.”

Riwayat Imam Ahmad (18501)

مَاتَ رَجُلٌ صَالِحٌ ، فَأُخْرِجَ بِجِنَازَتِهِ ، فَلَمَّا رَجَعْنَا ، تَلَقَّانَا خَالِدُ بْنُ عُرْفُطَةَ ، وَسُلَيْمَانُ بْنُ صُرَدٍ وَكِلاَهُمَا قَدْ كَانَتْ لَهُ صُحْبَةٌ ، فَقَالاَ : سَبَقْتُمُونَا بِهَذَا الرَّجُلِ الصَّالِحِ ، فَذَكَرُوا أَنَّهُ كَانَ بِهِ بَطْنٌ ، وَأَنَّهُمْ خَشُوا عَلَيْهِ الْحَرَّ ، قَالَ : فَنَظَرَ أَحَدُهُمَا إِلَى صَاحِبِهِ ، فَقَالَ : أَمَا سَمِعْتَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، يَقُولُ : مَنْ قَتَلَهُ بَطْنُهُ لَمْ يُعَذَّبْ فِي قَبْرِهِ ؟

Maksudnya :”Seorang lelaki yang soleh telah meninggal dunia. Kemudian jenazahnya dikeluarkan. Apabila kami pulang, kami berjumpa dengan Khalid Bin ‘Urfutah dan Sulaiman Bin Suradin. Kedua-duanya merupakan sahabat Nabi. Kedua-duanya berkata : Kalian telah balik dari menziarahi lelaki soleh ini. Mereka menyebut bahawa lelaki tersebut mati kerana sakit perut dan mereka takut kalau-kalau lelaki ini diazab.Abu Ishak : maka salah seorang dari keduanya memandang kepada yang lain lalu berkata : tidakkah engkau mendengar Rasulullah SAW : sesiapa yang dibunuh oleh perutnya, dia tidak akan diazab di kuburnya.”

Riwayat Imam Ahmad (18502)

Bagi memudahkan lagi memahami sanad hadis ini, kami lakarkan syajarah sanad (pokok sanad) bagi hadis tersebut.

 

syajarah sanad hadis sakit perut tak de azab kubur.JPG

Sulaiman Bin Suradin merupakan seorang sahabat kecil (صغار الصحابة)[1]. Beliau seorang yang kuat beragama, seorang yang abid dan juga antara salah seorang yang menuntut agar kematian Saidina Husain dibela. Beliau wafat pada tahun 65 H akibat dibunuh dan kepala dipenggal.

Rujuk Siyar ‘Alam Al-Nubala (3/394), Tabaqat Ibnu Saad (5/196)

Khalid Bin ‘Urfutah Bin Abrahah atau abrah juga antara salah seorang sahabat kecil. Kata Abu Hatim : Khalid merupakan ketua Bani Zuhrah dan beliau merupakan sahabat Nabi SAW. Beliau wafat pada tahun 61 H.

Rujuk Tahzib al-Kamal (8/128)

Yang meriwayatkan hadis ini daripada Sulaiman Bin Suradin ada dua orang perawi .Iaitu Abdullah Bin Yasar dan Abu Ishak al-Sabi’ie.

  1. Riwayat Abdullah Bin Yasar.

Gelaran beliau ialah al-Juhani al-Kufi. Beliau meriwayatkan daripada beberapa orang sahabat Nabi antaranya Sulaiman Bin Suradin, Khalid Bin ‘Urfutah, Huzaifan Bin al-Yaman, Ali Bin Abi Talib dan lain-lain lagi. Ibnu Hibban menggolongkan beliau dan diletakkan di dalam kitabnya al-Thiqat.(Kitab al-Thiqat,5/51).

Jami’ Bin Syaddad Abu Sokhroh al-Muharibi. Beliau imam, al-Hujjah dan merupakan salah seorang ulama besar di Kufah (Rujuk Siyar ‘Alam al-Nubala,5/205). Abu Hatim mengatakan bahawa beliau seorang yang thiqah. Beliau wafat pada tahun 118 H.

Hadis ini diriwayatkan daripada Jami’ Bin Syaddad melalui dua orang perawi iaitu Ayub Bin Jabir dan Syu’bah. Ayub Bin Jabir al-Suhaimi al-Yamami. Seorang yang faqih dan seorang ahli hadis. Beliau banyak meriwayatkan hadis daripada tokoh-tokoh yang ada di Kufah. Antaranya Adam Bin Ali, Simak Bin Harb dan lain-lain lagi. Walaupun begitu beliau adalah seorang buruk hafalannya. Yahya Bin Ma’in menyebut beliau tidak mahir dalam hafalannya. Al-Nasaie pula mendhaifkan beliau. (Rujuk Siyar ‘Alam Al-Nubala,8/235). Ali Bin Al-Madini juga mendhaifkan Ayub.(Rujuk al-Jarh Wa al-Ta’dil oleh Abu Hatim al-Razi, 2/242)

Sa’id Bin Sulaiman al-Dhabbi merupakan seorang yang hafiz,imam dan gelaran yang diberikan kepada beliau ialah Sa’duwaih. Kata Abu Hatim beliau adalah seorang yang thiqah, yang dijaga hafalannya.(Rujuk al-Jarh wa al-Ta’dil,4/26). Imam Ahmad melarang untuk menulis atau meriwayatkan sebarang hadis daripada beliau kerana beliau bertaqiyah ketika zaman fitnah al-Quran. Muhammad Bin Sa’ad menyatakan beliau seorang yang thiqah,banyak meriwayatkan hadis.( Rujuk Tobaqat Ibn Sa’ad,7/340). Beliau wafat pada tahun 225 H.

Muhammad Bin al-Fadhl Bin Jabir al-Saqati berasal dari Baghdad. Beliau mendengar hadis daripada beberapa orang. Antaranya Sa’id Bin Sulaiman, Laith Bin Hammad dan lain-lain. Al-Daruqutni mengatakan beliau seorang yang saduq.Beliau wafat pada tahun 290 H.(Rujuk Tarikh al-Islam wa wafayat al-Masyahir al-‘Alam oleh Imam al-Zahabi,6/821).

Sanad hadis yang dibawa oleh al-Tabarani adalah sanad yang lemah kerana ada seorang perawi yang dhaif dan buruk hafalannya iaitu Ayub Bin Jabir.

Yang seorang lagi yang meriwayatkan daripada Jami’ Bin Syaddad ialah Syu’bah. Melalui Syu’bah hadis ini diriwayatkan oleh 4 orang perawi iaitu Bahzun, Muhammad Bin Jaafar, Abu Walid dan Al-Haudhi.

Syu’bah nama sebenarnya ialah Syu’bah Bin Hajjaj al-Ataki al-Azadi. Imam Ahmad menyebut bahawa Syu’bah adalah orang yang paling kuat hafalannya tentang hadis-hadis hukum daripada al-‘Amasy. Jika tidak kerana Syu’bah, hilanglah hadis-hadis hukum.(Rujuk al-Jarh wa al-Ta’dil,4/1609). Sufian Bin Uyainah mengatakan bahawa Syu’bah adalah amirul mukminin di dalam hadis.(Rujuk Tahzib al-Kamal, 12/491). Beliau wafat pada tahun 160 H di Basrah.

Bahzun yang disebutkan ialah Bahzun Bin Asad al-‘Ammi al-Basri[2]. Seorang yang hafiz, imam dan merupakan saudara lelaki kepada Mu’alla Bin Asad. Kebanyakan pakar menilainya sebagai thiqah. Beliau wafat pada tahun 197 H.(Rujuk Siyar ‘Alam al-Nubala,9/192). Kata Abdurrahman Bin Bisyr : Tidak aku lihat orang yang paling thabit daripada Bahzun.(Rujuk Tazkirah al-Huffaz,1/364)

Muhammad Bin Jaafar al-Huzali digelar sebagai Ghundar[3].Kuniah beliau ialah Abu Abdillah.Beliau seorang hafiz dan kuat hafalannya. Kata Yahya Bin Ma’in : Beliau adalah seorang yang pakar dalam hafalan kitab sehingga ada yang ingin mencari kesalahannya tetapi tidak mampu. Imam Ahmad menukilkan perkataan Ghundar. Beliau mengatakan : Aku melazimi Syu’bah selama 20 tahun.Kata Abu Hatim al-Razi : Ghundar (Muhammad Bin Jaafar) adalah seorang yang benar (saduq) dan meriwayatkan secara tepat. Beliau adalah orang yang paling thiqah yang meriwayatkan daripada Syu’bah. Adapun selain dari Syu’bah, hadisnya ditulis tetapi tidak boleh dijadikan sebagai hujah (Rujuk Siyar ‘Alam Al-Nubala,9/98-100).

Kami mengatakan bahawa sanad hadis yang dinukilkan oleh Imam Ahmad adalah sanad yang sahih lagi thabit.Begitu juga sanad hadis yang dibawa dan dinukilkan oleh Ibnu Hibban juga adalah sanad yang sahih sepertimana yang disebutkan oleh Sheikh Syu’aib di dalam tahqiqnya terhadap kitab tersebut.

 

       B.Riwayat Abu Ishak al-Sabi’i

Nama sebenar beliau ialah Abdullah Bin Amru Bin Zi Yahmad. Seorang hafiz dan ahli hadis dari Kufah.Imam al-Zahabi mengatakan bahawa beliau adalah seorang yang terpercaya tanpa perlu diperselisihkan lagi. Kata Abu Hatim : Beliau serupa dengan al-Zuhri dalam meriwayatkan hadis yang banyak.(Rujuk Siyar ‘Alam al-Nubala,5/392).Beliau wafat pada tahun 127 H.

Abu Sinan nama sebenarnya ialah Sa’id Bin Sinan al-Burjumi al-Syaibani. Antara ulama besar di Kufah. Beliau dikatakan menunaikan haji pada setiap tahun. Abu Hatim dan Abu Daud mengatakan beliau adalah seorang yang thiqah. Kata Imam Ahmad : seorang yang soleh akan tetapi tidak lurus kepakarannya dalam hadis.(Rujuk Siyar ‘Alam ‘Al-Nubala,6/406).

Ada dua perawi yang meriwayatkan daripada Abu Sinan iaitu Kuron dan Asbat Bin Muhammad.

Kuron Bin Tamam al-Asadi al-Wabili merupakan ulama Baghdad yang terkenal. Beliau meriwayatkan hadis daripada beberapa orang tokoh antaranya Sa’id Bin Ubaid al-Ta’i, Hisyam Bin Urwah, Hisyam Bin Hisan, Musa Bin Ubaidah al-Zabidi dan lain-lain lagi.Imam Ahmad antara yang meriwayatkan hadis dari beliau. Imam Ahmad menyatakan bahawa beliau seorang perawi yang thiqah.(Rujuk Tahzib al-Kamal, 23/560) Yahya Bin Ma’in pernah ditanya adakah Kuron antara ahli hadis. Yahya Bin Ma’in menjawab : tidak mengapa untuk meriwayatkan hadis dari beliau. Abu Hatim meriwayatkan dari Ibn Ma’in bahawa Kuron adalah seorang yang terpercaya(Rujuk al-Jarh wa al-Ta’dil, 7/803). Abdullah Bin Ahmad meriwayatkan daripada ayahnya(Imam Ahmad) bahawa ayahnya menyebut :” Aku mendegar hadis daripada Kuron pada tahun 181 hijrah ketika di Baghdad dan beliau meninggal dunia pada tahun tersebut”(Rujuk Tarikh al-Baghdad,12/473). Beliau wafat pada tahun 181H.

Kami mengatakan bahawa sanad yang dibawa oleh Imam Ahmad daripada Kuron daripada Abu Sinan al-Syaibani daripada Abu Ishak al-Sabi’ie daripada Sulaiman Bin Surodin adalah sanad yang hasan.

Asbat Bin Muhammad yang digelar sebagai Abu Muhamamd al-Qurashi merupakan seorang ahli hadis yang berasal dari Kufah. Beliayu meriwayatkan daripada Abu Ishak al-Sabi’ie,Zakariyya Bin Abi Zaidah,al-‘Amasy dan lain-lain lagi.Yahya Bin Ma’in mengatakan bahawa beliau seorang yang terpercaya( Rujuk Tarikh al-Kabir oleh Imam al-Bukhari,4/261). Muhammad Bin Abdullah Bin Ammar berkata: Waki’ Bin Jarrah mengatakan kepada kami : Asbat Bin Muhammad ada padanya 3 ribu hadis. Riwayatlah daripada beliau.(Rujuk Siyar ‘Alam Al-Nubala,9/355). Ini merupakan satu isyarat bahawa hadis-hadis riwayat beliau adalah riwayat yang dipercayai.Ibnu Hatim mengatakan beliau adalah thiqah(Rujuk al-Jarh wa al-Ta’dil,2/332). Beliau wafat pada tahun 200 H.

Ubaid Bin Asbat merupakan anak kepada Asbat Bin Muhammad.Ibnu Hibban menggolongkan beliau di dalam golongan perawi yang thiqah (Rujuk al-Thiqat, 8/432).Kata Ibn Abi Hatim : “Aku bertanya kepada ayahku tentang Ubaid Bin Asbat. Kata ayahku : Beliau seorang yang digelar syeikh.(Rujuk al-Jarh wa al-Ta’dil,5/402). Perkataan Abu Hatim ini adalah salah satu bentuk ta’dil yang membawa makna hadis riwayat Ubaid boleh ditulis, diriwayatkan dan dijadikan sebagai sandaran. Beliau wafat pada tahun 250 H.

Bagi sanad yang dinukilkan oleh Imam al-Tirmizi daripada Ubaid Bin Asbat Bin Muhammad daripada ayahnya daripada Abu Sinan al-Syaibani daripada Abu Ishak al-Sabi’ie daripada Sulaiman Bin Surodin, cukup kami berhukum dengan apa yang telah dinyatakan sendiri oleh Imam al-Tirmizi bahawa sanad hadis ini adalah bertaraf hasan ghorib.

Kesimpulannya, setelah meneliti dan melihat setiap jalan riwayat yang ada, kami cenderung mengatakan bahawa hadis ini iaitu sesiapa yang mati kerana sakit perut dia tidak akan diazab di kubur adalah hadis yang sahih lagi thabit.Walaupun jalan sanad yang dibawa al-Tabarani adalah sanad yang dhaif namun ianya dikuatkan dan disokong dengan jalan riwayat yang lain yang lebih sahih.

Semoga pencerahan ini mampu membantu untuk menghilangkan kemusykilan berkenaan status hadis ini. Wallahu’alam.

[1] Iaitu ketika Nabi SAW masih hidup beliau masih kecil atau muda lagi.

[2] Ada seorang lagi yang namanya Bahzun iaitu Bahzun Bin Hakim. Beliau wafat pada tahun 150 H.

[3] Beliau digelar begitu oleh ahli hijaz kerana banyak bertanya kepada Ibnu Juraij ketika mengambil hadis dari beliau. Sehingga dianggap beliau mahu menganggu tokoh tersebut.