IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-345: KEPENTINGAN KHUSYUK

 

ih345_15291523.png

 

Soalan: Apakah status hadith ini?

 

لَوْ خَشَعَ قَلْبُ هَذَا، لَخَشَعَتْ جَوَارِحُهُ

Maksudnya: “Sekiranya hati itu khusyuk, maka akan khusyuklah segala anggotanya.”

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Khusyu’ termasuk di dalam sunat-sunat hai’ah di dalam mazhab al-Syafie. Adapun, pengertian khusyu’ pula ialah kesedaran hati terhadap semua bacaan seperti zikir dan doa yang dituturkan oleh lidah sambil memerhati serta memikirkannya, menghayati maknanya dan berasa sedang bermunajat kepada Allah SWT.

Sebenarnya khusyu’ dengan pengertian ini merupakan perkara yang mesti pada sepanjang masa bersolat dan solat akan terbatal sekiranya kelalaian menyelubungi keseluruhan solat tersebut dari awal hingga ke akhirnya. [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 96]

Oleh itu mengekalkan khusyu’ di semua bahagian solat adalah sunat yang akan menjadikannya solat itu lebih sempurna. Hal ini berdasarkan sebuah hadith daripada Uthman bin Affan RA: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

 

مَا مِنِ امْرِئٍ مُسْلِمٍ تَحْضُرُهُ صَلاَةٌ مَكْتُوبَةٌ فَيُحْسِنُ وُضُوءَهَا وَخُشُوعَهَا وَرُكُوعَهَا إِلاَّ كَانَتْ كَفَّارَةً لِمَا قَبْلَهَا مِنَ الذُّنُوبِ مَا لَمْ يُؤْتِ كَبِيرَةً وَذَلِكَ الدَّهْرَ كُلَّهُ

Maksudnya: “Seseorang Islam ketika tiba waktu solat fardhu, lalu dia berwudhu’ dengan sempurna khusyu’ dan bersolat dengan sempurna, solat tersebut akan menutup dosa-dosa yang terdahulu selagi dia tidak melakukan dosa besar. Demikianlah seterusnya sepanjang zaman kerana mengulangi solat pada setiap hari.”                                                                                    [Riwayat Muslim (228)]

 

Berdasarkan soalan di atas, hadith di atas diriwayatkan oleh Imam Ibn Abi Syaibah dan juga Imam Ibn Abd al-Razzaq di dalam musannaf mereka. Selain itu, Imam al-Ghazali juga memuatkan hadith tersebut di dalam kitabnya. Antara ulama yang menilai hadith atau riwayat di atas ialah:

 

 

Melihat kepada beberapa pandangan dan penilaian di atas, kami cenderung kepada status hadith ini adalah teramat dhaif kerana pada sanadnya terdapat perawi yang majhul. Selain itu juga, yang lebih tepat bahawa hadith tersebut merupakan kata-kata daripada Said bin al-Musayyib dan bukannya daripada Nabi SAW.

 

Penutup

Kesimpulannya, hadith di atas adalah terlalu dhaif. Akan tetapi, maknanya adalah sahih. Ini kerana, yang zahir itu merupakan petunjuk kepada yang batin. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara lidah-lidah kita daripada berdusta di atas nama Nabi SAW. Amin.

 

Wallahua’lam

Cetak