IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-362: ISTINBATH HUKUM DAN FAEDAH DARIPADA SATU HADITH RINGKAS

Irsyad Hadis #362.PNG

Soalan:

Saya pernah mendengar terdapat satu hadith yang ringkas, namun para ulama mampu mengeluarkan sehingga 60 hukum hakam dan faedah daripada hadith tersebut. Boleh SS Mufti nyatakan hadith tersebut dan hukum-hakam yang diistibatkan daripadanya?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Hadith yang dimaksudkan ialah hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا، وَكَانَ لِي أَخٌ يُقَالُ لَهُ أَبُو عُمَيْرٍ ـ قَالَ أَحْسِبُهُ فَطِيمٌ ـ وَكَانَ إِذَا جَاءَ قَالَ ‏ "‏ يَا أَبَا عُمَيْرٍ مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ ‏" نُغَرٌ كَانَ يَلْعَبُ بِهِ، فَرُبَّمَا حَضَرَ الصَّلاَةَ وَهُوَ فِي بَيْتِنَا، فَيَأْمُرُ بِالْبِسَاطِ الَّذِي تَحْتَهُ فَيُكْنَسُ وَيُنْضَحُ، ثُمَّ يَقُومُ وَنَقُومُ خَلْفَهُ فَيُصَلِّي بِنَا‏.‏

Maksudnya: Nabi Muhammad SAW merupakan orang yang terbaik akhlaknya. Aku mempunyai seorang adik yang dipanggil Abu ‘Umair, yang aku rasa baru sahaja berhenti menyusu dengan ibunya. Setiap kali adikku itu dibawa kepada Baginda akan bertanya kepadanya “wahai Abu ‘Umair, apa yang burung pipit kamu sedang lakukan? (burung pipit belaan yang selalu dia bermain dengannya) Kadang-kala waktu solat tiba sedang Baginda masih di rumah kami, maka Baginda mengarahkan kami untuk menghamparkan tikar dibawahnya, dibersihkan dan direnjis air. Kemudian Baginda berdiri dan kami mengikut Baginda, dan solat di belakang Baginda.

Sahih al-Bukhari (6203)

Terdapat juga riwayat lain yang menyebut:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَدْخُلُ عَلَيْنَا وَلِي أَخٌ صَغِيرٌ يُكْنَى أَبَا عُمَيْرٍ وَكَانَ لَهُ نُغَرٌ يَلْعَبُ بِهِ فَمَاتَ فَدَخَلَ عَلَيْهِ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ذَاتَ يَوْمٍ فَرَآهُ حَزِينًا فَقَالَ ‏"‏ مَا شَأْنُهُ ‏"‏ ‏.‏ قَالُوا مَاتَ نُغَرُهُ فَقَالَ ‏"‏ يَا أَبَا عُمَيْرٍ مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ

Maksudnya: Nabi Muhammad SAW pernah datang melawat kami. Aku mempunyai seorang adik yang diberi kuniyah (gelaran) Abu ‘Umair yang mempunyai seekor burung pipit yang dia selalu bermain dengannya, namun ia telah mati. Maka suatu hari Baginda SAW datang berjumpa dengannya dan melihatnya bersedih, lalu Baginda SAW bertanya akan hal Abu ‘Umair, lalu dijawab: Burung pipitnya telah mati. Maka Baginda SAW bertanya kepadanya “Wahai Abu ‘Umair, apa yang telah terjadi kepada burung pipit itu?

Sunan Abi Daud (4969)

Abu ‘Umair merupakan anak hasil perkahwinan antara Ummu Sulaim dengan Abu Tolhah R.’Anhum, dan beliau meninggal dunia sewaktu masih lagi kecil. (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari 3/170 dan 10/586)

Ibn al-Qaas -seorang faqih mazhab al-Syafi’e- telah menulis satu kitab yang berjudul Fawa’id Hadith Ibnu ‘Umair yang menghimpunkan lebih enam puluh istinbat hukum, hikmah dan sunnah Rasulullah SAW, antaranya kami kemukakan di bawah:

                                          زر غبا تزدد حبا

Maksudnya: Ziarahlah dengan kadar yang tidak terlalu kerap, nescaya kasih-sayang antara kamu akan bertambah.

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani juga menyatakan bahawa gurauan Nabi SAW bersama Abu ‘Umair ini juga sebagai satu bentuk perbuatan baik Baginda dengan khadam Baginda iaitu Anas bin Malik R.A. (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari 10/586)

Selain itu, hadith ini juga menjadi dalil bagi Imam Abu Hanifah yang berpandangan bahawa berburu di Madinah ketika dalam keadaan ihram tidaklah diharamkan. Namun mazhab yang mengharamkannya memberikan jawapan dengan dua kemungkinan: sama ada hadith ini berlaku sebelum penetapan Madinah sebagai kawasan haram berburu ketika ihram, atau haiwan itu diburu dan ditangkap di luar kawasan haram.  (Rujuk Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim 9/134)

Kami nukilkan sebahagian sahaja faedah yang didapati daripada hadith ini kerana kekurangan waktu dan kesempatan.

 

Kesimpulan

Tuntasnya, banyaknya faedah dan hikmah yang diperoleh daripada hadith yang ringkas ini membenarkan sabda Baginda SAW:

بُعِثْتُ بِجَوَامِعِ الْكَلِمِ

Maksudnya: Aku diutuskan oleh Allah SWT sebagai seorang yang mampu menuturkan makna yang paling luas dengan lafaz yang paling ringkas.

Sahih al-Bukhari (2977) dan Sahih Muslim (523)

Ia juga menzahirkan kecerdasan akal dan kehebatan para ulama dalam mengambil manfaat dan mengeluarkan hukum-hakam daripada satu hadith. Lantaran itu, wajib bagi kita melahirkan setinggi-tinggi penghormatan ke atas mereka, mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas mereka dan berazam untuk mencontohi usaha mereka dalam berkhidmat kepada ilmu.

Wallahu a’lam.