IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADAN SIRI KE-194: BERBUKA PUASA ATAU AZAN TERLEBIH DAHULU BAGI MUAZIN

IF Khas Ramadhan

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanyakan soalan, saya merupakan seorang muazin di sebuah surau, jadinya memandangkan bulan Ramadhan sudah tiba, timbul persoalan dalam diri saya, adakah saya boleh berbuka puasa terlebih dahulu sebelum mengumandangkan azan atau sebaliknya? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Muazin perlulah mengumandangkan azan terlebih dahulu bagi meraikan maslahah umum iaitu orang ramai yang menunggu untuk berbuka. Melainkan, seseorang muazin bersegera berbuka puasa dengan sesuatu yang ringan seperti segelas air atau beberapa biji kurma dan bukannya makanan berat bagi meraikan sunnah dengan syarat agar tidak terlalu lama sehingga menyebabkan orang lain tertunggu-tunggu azannya.

Namun, hal berbeza pula sekiranya tiada orang yang menunggu azan si muazin seperti contoh dia berseorangan ataupun dia berada bersama seorang yang bermusafir, dan diketahui bahawa kumpulan musafir tersebut akan berbuka puasa bersamanya meskipun dia tidak mengumandangkan azan lagi.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Sabda Nabi SAW:

إِذَا أَقْبَلَ اللَّيْلُ مِنْ هَا هُنَا، وَأَدْبَرَ النَّهَارُ مِنْ هَا هُنَا، وَغَرَبَتِ الشَّمْسُ فَقَدْ أَفْطَرَ الصَّائِمُ

Maksudnya: “Apabila malam telah tiba dari arah ini, dan siang telah berlalu dari arah ini serta matahari telah terbenam, maka orang yang berpuasa boleh berbuka.”

Riwayat al-Bukhari (1954)

Pada dasarnya, apabila telah diyakini terbenamnya matahari, maka mereka yang berpuasa akan berbuka, dan sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadis, bahawa setiap individu Muslim yang berpuasa disunatkan agar menyegerakan perbuatan berbuka puasa. Sabda Rasulullah SAW:

لاَ يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الفِطْرَ

Maksudnya: “Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa.”

Riwayat al-Bukhari (1957) dan Muslim (1098)

Imam al-Syirbini menukilkan berdasarkan kepada hadis ini bahawa sunat menyegerakan berbuka apabila telah pasti matahari sudah terbenam berdasarkan. Hal ini kerana, ia berlawanan dengan sikap Yahudi dan Nasrani.[1] Oleh yang demikian, makruh hukumnya jika seseorang itu melewatkan berbuka puasa.[2] Namun sekiranya dia berniat sedemikian iaitu melewatkan perbuatan berbuka oleh kerana dia melihat adanya kelebihan atau fadhilat padanya, maka ia tidak mengapa.[3]

Berbalik kepada persoalan yang diajukan bagi seorang muazin ketika hari puasa, sama ada dia mengumandangkan azan terlebih dahulu atau berbuka puasa terlebih dahulu, kami melihat ia terkait dengan pertembungan antara dua maslahat, dari sudut meraikan maslahat umum iaitu orang ramai menunggu azan sebagai tanda kebiasaan masyarakat setempat untuk berbuka puasa dan juga maslahat khusus iaitu si muazin berbuka puasa terlebih dahulu untuk mendapatkan pahala sunat.

Kaedah Fiqh ada menyebut:

الْمَصْلَحَةَ الْعَامَّةَ مُقَدَّمَةٌ عَلَى الْمَصْلَحَةِ الْخَاصَّةِ

Maksudnya: Maslahat umum diutamakan ke atas maslahat khusus[4].

Begitu juga kaedah lain ada menyebut:

فإذا تعارض مصلحتان حُصِّلت العليا منهما بتفويت الدنيا

Maksudnya: Apabila bertembung dua maslahat, maka maslahat yang lebih tinggi atau lebih banyak diambil berbanding maslahat yang rendah[5].

Berdasarkan kedua-dua kaedah yang dinyatakan di atas, maka kita menyatakan bahawa muazin perlulah mengumandangkan azan terlebih dahulu bagi meraikan maslahah umum iaitu orang ramai yang menunggu untuk berbuka. Melainkan, para muazin bersegera berbuka puasa dengan sesuatu yang ringan seperti segelas air bagi meraikan sunnah dengan syarat agar tidak terlalu lama sehingga menyebabkan orang lain tertunggu-tunggu azannya.

Namun, hal berbeza pula sekiranya tiada orang yang menunggu azan si muazin seperti contoh dia berseorangan ataupun dia berada bersama musafir, dan diketahui bahawa kumpulan musafir tersebut akan berbuka puasa bersamanya meskipun dia tidak mengumandangkan azan lagi. Wallahu A‘lam.

[1] Termasuklah juga perbuatan syiah. Hal ini kerana, mereka melewatkan berbuka puasa sehingga bintang-bintang muncul, bermakna malam sudah gelap. Lihat: Al-Bujairimi, Tuhfat al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, 2/382.

قَوْلُهُ: (مِنْ مُخَالَفَةِ الْيَهُودِ) أَيْ وَكَثِيرٌ مِنْ الْمُبْتَدِعَةِ كَالشِّيعَةِ، فَإِنَّهُمْ يُؤَخِّرُونَ الْفِطْرَ إلَى ظُهُورِ النَّجْمِ. اهـ. م ر.

[2] Lihat juga: Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali al-Syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi‘i, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan ke-4, 1413H), 2/91.

 مكروهات الصيام:

مكروهات الصيام تتمثل في مخالفة الآداب المذكورة، فبعضها يدخل في المكروه التنزيهي: كتأخير الإفطار، وتعجيل السحور، وبعضها يدخل في المحرمات، كالغيبة والنميمة، وقول الزور.

[3] Al-Syirbini, Muhammad bin Ahmad, Mughni al-Muhtaj Ila Ma‘rifat Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, (t.tp: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, cetakan pertama, 1415H), 1/85.

(وَيُسَنُّ تَعْجِيلُ الْفِطْرِ) إذَا تَحَقَّقَ غُرُوبُ الشَّمْسِ لِخَبَرِ الصَّحِيحَيْنِ «لَا تَزَالُ أُمَّتِي بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ» (1) زَادَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ " وَأَخَّرُوا السُّحُورَ " وَلِمَا فِي ذَلِكَ مِنْ مُخَالَفَةِ الْيَهُودِ وَالنَّصَارَى، وَيُكْرَهُ أَنْ يُؤَخِّرَهُ إنْ قَصَدَ ذَلِكَ وَرَأَى أَنَّ فِيهِ فَضِيلَةً وَإِلَّا فَلَا بَأْسَ بِهِ.

[4] Ibrahim bin Musa al-Syatibi, al-Muwafaqat, Tahkik: Abu ‘Ubaidah Masyhur bin Hasan Aal Salman, (t.tp: Dar Ibn ‘Affan, cetakan pertama, 1417H), 3/89.

[5] Muhammad Sidqi bin Ahmad bin Muhammad Aal Borno, Mausu‘ah al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah, (Beirut: Muassasah al-Risalah, cetakan pertama, 1424H), 2/361.

Cetak