IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADAN SIRI KE-197: BAGAIMANA PUASA KANAK-KANAK BALIGH DI SIANG RAMADAN?

 
BAGAIMANA PUASA KANAK KANAK BALIGH DI SIANG RAMADAN 1

SOALAN

Bagaimana jika ada kanak-kanak yang sedang berpuasa di bulan Ramadan dan tiba-tiba bermimpi dan keluar mani (baligh) atau datang haid di siang hari ? Adakah dia wajib meneruskan puasanya atau telah terbatal? Bagaimana pula jika kanak-kanak itu tidak berpuasa di bulan Ramadan tapi datang tanda-tanda yang ia baligh pada siang Ramadan (seperti situasi yang pertama), adakah dia perlu terus mula berpuasa serta merta? Mohon penjelasan dari Dato’.

 

RINGKASAN JAWAPAN

Dalam mazhab Syafi’i, terdapat perbezaan hukum di antara situasi ini. Ringkasannya seperti berikut:

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Menjadi kewajipan kepada muslim yang mukalaf mengerjakan ibadah puasa di bulan Ramadan. Sheikh Zainuddin menukilkan dalam karyanya:

‌وإنما ‌يجب ‌صوم ‌رمضان على كل مكلف أي بالغ عاقل مطيق له

Maksudnya: “Puasa (Ramadan) diwajibkan ke atas setiap mukalaf  iaitu yang baligh, berakal serta mampu melaksanakannya.”

(Rujuk: Fath al-Mu’in, hlm 261)

 

Sepakat para ulama fiqh menyebut bahawa kanak-kanak yang mencapai umur baligh di siang hari bulan Ramadan, dalam keadaan sedang melaksanakan ibadah puasa di hari tersebut, maka diwajibkan menyempurnakan puasa pada hari itu. Perkara ini dinyatakan dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah.

إِنْ بَيَّتَ الصَّبِيُّ الصَّوْمَ فِي رَمَضَانَ، ثُمَّ بَلَغَ أَثْنَاءَ النَّهَارِ وَهُوَ صَائِمٌ، فَإِنَّهُ يَجِبُ عَلَيْهِ إِتْمَامُ صَوْمِهِ بِغَيْرِ خِلَافٍ

Maksudnya: “Jika kanak-kanak telah berniat puasa di bulan Ramadan, kemudian mencapai umur baligh di siang hari dalam keadaan ia sedang berpuasa, maka dia diwajibkan menyempurnakan puasa tersebut dengan tanpa khilaf (para ulama).”

(Rujuk: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 8/199)

 

Demikian juga seseorang yang bermimpi kemudian keluar air mani di siang hari Ramadan dalam keadaan ia sedang berpuasa ianya tidak membatalkan puasanya. Sabda nabi SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abi Said al-Khudri R.A:

لَا يُفْطِرُ مَنْ قَاءَ، وَلَا مَنْ احْتَلَمَ، وَلَا مَنْ احْتَجَمَ

Maksudnya: “Tidak batal puasa sesiapa yang muntah (dengan tidak sengaja), tidak juga sesiapa yang bermimpi sehingga keluar air mani dan tidak juga sesiapa yang berbekam.”

Riwayat Abu Daud (2376)

 

Manakala, kanak-kanak lelaki yang mencapai umur baligh di siang hari Ramadan dalam keadaan tidak berpuasa maka tidak diwajibkan berpuasa dan tidak diwajibkan mengqadakan puasa pada hari tersebut. Walaubagaimanapun, sebaiknya dia mengqadakan puasa itu sebagai jalan keluar daripada khilaf para ulama.[1] Dalam kaedah fiqh menyebut:

‌الْخُرُوجُ ‌مِنْ ‌الْخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya: “Keluar dari khilaf adalah dituntut.”

(Rujuk: al-Asybah wa al-Naza’ir li al-Sayuti, hlm 136)

 

Dalam pada itu, kanak-kanak perempuan yang sedang berpuasa kemudian keluar haid di siang hari Ramadan maka hukum ibadah puasanya batal. Hal ini kerana mereka yang dalam keadaan uzur seperti datang haid tidak diharuskan berpuasa. Namun, diwajibkan ia berpuasa setelah suci daripada haid. Sheikh Zainudin menukilkan perkara ini dalam kitabnya:

ولا على حائض ونفساء لأنهما لا تطيقان شرعا

Maksudnya: “Tidak wajib (berpuasa) bagi wanita yang datang haid, nifas kerana mereka berdua tidak mampu melaksanakannya di sisi syarak.”

(Rujuk: Fath al-Mu’in, hlm 261)

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, kanak-kanak lelaki yang sedang berpuasa kemudian mencapai baligh di siang hari Ramadan, maka wajib ia menyempurnakan puasa tersebut. Manakala, kanak-kanak lelaki yang tidak berpuasa kemudian mencapai baligh di siang hari Ramadan, digalakkan ia mengqadakan puasa pada hari tersebut sebagai jalan keluar dari khilaf para ulama. Sementara kanak-kanak perempuan yang sedang berpuasa di siang hari Ramadan kemudian datang haid, maka puasanya terbatal. Hal ini kerana mereka yang dalam keadaan uzur seperti datang haid diharamkan untuk berpuasa.والله أعلم

 

[1] أَمَّا إِنْ بَيَّتَ الإِفْطَارَ، ثُمَّ بَلَغَ أَثْنَاءَ النَّهَارِ، فَقَدِ اخْتَلَفَ الْفُقَهَاءُ فِي ذَلِكَ فِي مَوْضِعَيْنِ: فِي حُكْمِ الإِْمْسَاكِ بَقِيَّةَ النَّهَارِ، وَفِي حُكْمِ قَضَاءِ ذَلِكَ الْيَوْمِ

(Rujuk: Al-Mausu’ah alFiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 8/199)

Cetak