IRSYAD HUKUM KE-35: DI MANA ZAKAT FITRAH PERLU DIBAYAR

 

 

Jawapan

            Sehari dua ini riuh isu zakat fitrah di mana perlu dibayar.  Maka ramailah tokoh ilmuan dan ulama mengemukakan pendapat masing-masing. Isunya sama ada pembayaran itu di tempat kerja atau di negeri pemilik harta itu. Saya akan cuba kupaskan isu ini seperti berikut:

 

Definisi Zakat Fitrah

            Disandarkan zakat kepada fitrah kerana wajibnya. Dikatakan dengan lafaz fitrah seolah-olah kembali kepada kejadian asalnya. Lihat Qamus al-Muhith dan lain-lain. Imam an-Nawawi menyebut perkataan fitrah merupakan istilah bagi fuqaha yang telah menjadi hakikat syara’ mengikut pendapat yang terpilih seperti solat dan zakat.

 

            Zakat fitrah pada istilahnya ialah sedekah yang wajib dikeluarkan selepas berbuka untuk beraya dan selesainya Ramadan. Lihat Haasyiah as-Syalabi Syarh al-Zailaie (1/306) dan Nail al-Maarib (1/255).

 

Waktu Wajib Zakat Fitrah

Para ulama telah khilaf kepada beberapa pendapat antaranya:

 

Waktu Yang Wajib Ditunaikan

Para ulama telah khilaf kepada beberapa pendapat:

 

Mengeluarkan Sebelum Waktu Wajib

Dalam hal ini para ulama telah khilaf kepada beberapa pendapat:

كَانُوا يُعْطُونَ صَدَقَةَ الفِطْر قَبْلَ العِيدِ بِيَومٍ او يَوْمَينِ

            Maksudnya : “Mereka di kalangan sahabat menunaikan zakat fitrah sebelum hari raya sehari atau dua hari.”

 

Di Mana Zakat Fitrah Perlu Dibayar

            Setelah meneliti pendapat makanya zakat fitrah wajib dibayar berdasarkan kepada di mana seseorang itu berada ketika masuknya waktu wajib untuk zakat fitrah iaitu bermula pada malam hari raya sehingga sampai sebelum solat hari raya. Walaupun begitu, melihat kepada realiti semasa, saya lebih cenderung kepada pendapat ihtiyat iaitu kita mengawalkan sedikit masa pembayaran sama ada sehari atau dua hari mengikut apa yang dilakukan oleh para sahabat.

            Justeru jika ketika itu beliau masih berada di tempat kerja dan belum pulang ke kampung, lebih elok baginya untuk dia bayar di tempat kerjanya kerana ia bersifat yakin dan tahqiq sedangkan kepulangannya ke kampung masih lagi dalam bentuk sangkaan dzan yang mungkin tidak berlaku.

            Begitu juga dengan pembayaran awal boleh menyelesaikan tanggungjawab dengan sebaik mungkin dan bukan dalam bentuk tergopoh gapah atau mungkin berlaku sebarang halangan yang menyebabkan terlepasnya daripada menunaikan zakat fitrah pada waktu wajibnya.

 

Berkenaan Dengan Kenyataan Imam an-Nawawi Dalam al-Majmu’

Imam Nawawi R.A menyatakan :

إذا كان في وقت وجوب زكاة الفطر...في بلد ومالُه في آخر فأيّهما يُعتبر؟ فيه وجهان : (أحدهما) بلد المال كزكاة المال (وأصحهما) بلد ربِّ المال. ممّنْ صحّحه المصنّف في التنبيه والجرجاني في التحرير والغزالي والبغوى والرافعي وآخرون.

Maksudnya : "Jika seseorang itu sewaktu zakat fitrah wajib (ke atasnya) berada di sebuah negeri, manakala hartanya berada di negeri lain, maka negeri mana satukah yang diambil kira ketika membayar zakat fitrah?”

Terdapat dua pandangan; salah satunya : yang diambil kira ialah negeri tempat di mana harta itu berada sama seperti zakat harta yang perlu dikeluarkan di tempat di mana harta itu berada.

Pendapat paling sahih daripada kedua-dua pandangan ini ialah yang diambil kira ialah negeri tempat di mana empunya harta berada.

Antara mereka yang mentashihkannya (pendapat yang paling sahih), ialah pengarang Imam Asy-Syirazi dalam kitabnya at-Tanbih, al-Jurjani dalam kitabnya at-Tahrir, al-Ghazali, al-Baghawi, al-Rafi'e dan lain-lain.

 

Ulasan

            Isu ini berkaitan antara seseorang yang perlu membayar zakat berada di satu negeri sedangkan hartanya berada di negeri lain. Justeru, berkenaan dengan zakat fitrah pula pada ghalibnya seseorang mempunyai duit atau harta bagi menunaikannya. Jadi isu ini berlainan daripada apa yang dibincangkan iaitu tempat mana yang perlu dibayar zakat fitrah. Makanya kita nyatakan pada waktu wajib di mana ia berada dan kami mentarjihkan agar zakat fitrah ditunaikan lebih awal daripada waktu wajib sehari atau dua hari seperti kenyataan Ibn Umar R.Anhuma.

 

Penutup

            Semoga penjelasan ini akan dapat menyelesaikan maksud di mana zakat fitrah wajib dibayar dan saya ulangi sekali lagi bahawa kewajipan tersebut bergantung di mana dia berada pada waktu wajib zakat ditunaikan iaitu bermula pada malam raya sehingga sebelum solat hari raya. Walaupun begitu boleh kita bayar sehari atau dua hari sebelum hari raya seperti yang dilakukan oleh para sahabat. Marilah sama-sama kita mencari keredhaan Allah dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini agar kita meraih ketaqwaan.