Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

if343 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wbt,

Syarikat saya menghasilkan panel solar untuk menjana tenaga elektrik dan menyediakan khidmat memasangnya kepada pelanggan. Baru-baru ini kami mendapat tawaran untuk memasang panel solar tersebut di sebuah kandang penternakan khinzir. Soalan saya; apakah hukum kami menerima tawaran tersebut? Terima kasih atas perhatian.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah ﷻ, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad ﷺ, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

 

Mukadimah

Melihat kepada soalan di atas, kami membahagikan perbahasan kepada dua isu seperti berikut;

  1. Hukum menjual barang kepada pembela khinzir yang bukan Islam
  2. Hukum menerima hasil jualan daripada pembela khinzir

 

Hukum menjual barang kepada pembela khinzir yang bukan Islam

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menghuraikan seperti berikut:

Dimakruhkan untuk menjual buah angguh, kurma basah, kurma kering, dan kismis kepada seseorang yang dikenali sebagai orang yang menghasilkan arak dan nabiz seperti penjual itu sendiri yang mengetahui perkara tersebut, atau dia menyangka dengan sangkaan yang ghalib (mengatasi). (Hukum makruh) itu kerana penjual itu tidak aman daripada menjadi penolong kepada seseorang terbabit untuk melakukan maksiat. Namun jika dia menjualnya juga, maka sahlah penjualan itu, kerana terdapat kemungkinan bahawa dia tidak menghasilkan arak atau nabiz dengan jualan itu.

Tetapi jika sudah tahkik (pasti) di sisi penjual bahawa pembeli itu memang akan menjadikan jualan itu sebagai arak, nabiz maka haram penjualan itu menurut pendapat yang lebih sahih. Adapun jika penjualan sudah termeterai, maka sahlah penjualan beserta dengan haram kerana sebab maksiat.

Rujuk al-Mu`tamad (3/66)

Justeru, menurut mazhab Syafie, hukum menjual suatu barang kepada pihak yang diyakini akan menggunakannya untuk tujuan maksiat, adalah maksiat juga. Hal ini bertepatan dengan Firman Allah ﷻ:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

Surah al-Ma’idah (2)

Ini dikuatkan dengan hadis Anas bin Malik RA:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَآكِلَ ثَمَنِهَا، وَالمُشْتَرِي لَهَا، وَالمُشْتَرَاةُ لَهُ

Maksudnya: “Rasulullahmelaknat dalam isu arak ini 10 golongan: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.”

Riwayat Imam al-Tirmidzi (1295)

Hal ini tidak dikhususkan bagi arak sahaja bahkan terpakai pada sebarang jenis maksiat. Contohnya, bagi pengharaman riba, Jabir bin Abdillah RA meriwayatkan bahawa :

لَعَنَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ آكِلَ الرِّبَا، وَمُؤْكِلَهُ، وَكَاتِبَهُ، وَشَاهِدَيْهِ، وَقَالَ: هُمْ سَوَاء

Maknanya: “Rasulullahmelaknat pemakan riba, pemberi makan riba, penulisnya, dan kedua-dua orang saksinya.” Lalu baginda bersama: “Mereka semua itu sama.”

Riwayat Muslim (1598)

Syeikh Mulla Ali al-Qari dalam al-Mirqah Sharh al-Misykah al-Masobih (5/1916) dalam menghuraikan hadis riba: “Mereka sama dari sudut mendapat dosa tetapi berbeza daripada segi tingkatannya.”

Rujuk Al-Kafi #271 : Tunjuk Arah Ke Bahagian Arak; Al-Kafi #509: Hukum Bekerja Di Kedai Serbaneka Yang Menjual Arak; Al-Kafi #817: Hukum Bekerja Di Kilang Membuat Mesin Untuk Penghasilan Rokok

Oleh itu, ulama menggagaskan satu kaedah fiqh:

الإِعَانَةُ عَلَى المَعْصِيَةِ مَعْصِيَة

Maksudnya: “Menolong atas perlakuan maksiat ialah maksiat.”

Rujuk Ma`lamah Zayed (no.666)

Justeru, hukum membela khinzir juga adalah haram, bukan setakat memakannya, seperti Imam al-Nawawi menyebut dalam al-Majmu`: “Tidak harus membela khinzir sama ada terdapat penyakit yang berbahaya kepada manusia atau tidak.”

Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab (9/233)

Namun, apabila tidak diyakini tujuan transaksi atau perkhidmatan itu akan digunakan untuk tujuan maksiat, maka hukum haram tidak berlaku kerana wujudnya syubhat. Ini dikuatkan dengan kaedah usul:

الِاحْتِمَالُ فِي وَقَائِعِ الْأَحْوَالِ يُسْقِطُ الِاسْتِدْلَالَ

Maksudnya: “Masuknya kebarangkalian pada wujudnya peristiwa yang pelbagai menggugurkan istidlal (yakni mengeluarkan hukum daripada dalil)”

Rujuk al-Asybah wa al-Nazair oleh al-Suyuti (ms.263)

Begitu juga, hukum ini tidaklah haram secara kesepakatan ulama. Sebahagian ulama membuat pembahagian sama ada suatu transaksi itu memberikan kesan langsung atau tidak langsung kepada usaha maksiat itu. Disebut dalam rujukan mazhab Hanafi, Hasyiah Ibn Abidin:

“Dan diharuskan menjual air perahan anggur dengan siapa yang diketahui akan menjadikannya arak kerana maksiat tidak berlaku pada ainnya tetapi selepas berlakunya perubahan. Kata qil (pendapat kedua) mengatakan hukumnya makruh (tahrim) kerana membantu kepada maksiat”

"Jika seseorang (kafir dzimmi) mengupah seseorang (Muslim) untuk menghantar arak dengan haiwan tunggangannya atau dia sendiri diupah untuk menggembala khinzir, maka hasil upah itu adalah halal di sisinya (Abu Hanifah) dan dianggap makruh tahrim (oleh Muhammad al-Syaibani dan Ibn Yusuf). “

Rujuk Radd al-Muhtar (6/391-392)

Ini kerana di sisi Abu Hanifah perkhidmatan membawa itu bukan maksiat, dan bukan juga sebab kepada maksiat, dan maksiat itu hanya terhasil daripada perbuatan seseorang yang memiliki pilihan (bukan pembawa), dan minum arak bukanlah antara perkara-perkara yang mesti berlaku daripada perbuatan membawa. Boleh jadi membawa arak untuk tujuan menumpahkan atau menjadikannya cuka, maka jadilah sama hukumnya seperti seseorang diupah untuk memerah anggur atau memetiknya. Di sisi Abu Hanifah, hadis yang melarang membawa arak itu mempunyai ihtimal (takwilan atau kemungkinan) bahawa mestilah dibawa dengan niat maksiat. Adapun jika tidak diniat maksiat, maka tidak berdosa.

Perkara ini diberikan perspektif semasa oleh Syeikh Muhammad Taqi al-Uthmani dalam Fiqh al-Buyu` (2/1033) dalam kes tawaran bekerja atau muamalat di bank-bank berasaskan riba:

“Sekiranya jawatan itu mempunyai kaitan langsung dengan operasi-operasi riba, atau operasi-operasi lain yang diharamkan, makan menerima tawaran kerja ini adalah haram, seperti melibatkan diri dengan akad riba sama ada memberi atau menerima, diskaun bil, atau membuat dokumentasi bagi akad-akad tersebut, atau menandatanganinya, meletakkan faedah riba, atau membayarnya, atau memasukkan dalam mesin kira-kira dengan tujuan menjaganya, atau pentadbiran bank, atau pentadbiran cawangan bank, kerana pentadbiran itu bertanggungjawab terhadap setiap aktiviti-aktiviti perbankan yang kebanyakannya adalah haram.”

“Adapun jika jawatannya tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan tugasan-tugasan yang berkaitan dengan riba, seperti pegawai keselamatan, pemandu kereta, operator telefon, atau pekerja-pekerja yang bertanggungjawab untuk pembinaan, pekakas dan perabot, sistem elektrik. Begitu juga dengan pekerja-pekerja yang dikhususkan untuk bertugas di bahagian kewangan yang diharuskan seperti penukaran dan pengurupan matawang, pengeluar cek, bil buatan, atau menukarnya daripada negara ke negara, maka tidak haram menerima jawatan itu selagi mana tidak ada niat untuk menolong dalam urusan operasi yang diharamkan, tetapi menghindarkan diri daripada menerimanya lebih utama, dan tidak dihukum gaji yang diambil daripadanya ialah haram.”

 

Hukum menerima hasil jualan daripada pembela khinzir

Isu kedua ialah berkenaan menerima hasil jualan menggunakan harta pembela khinzir. Maka hukum asalnya adalah haram seperti kata Imam al-Syafie dalam kitab al-Umm (2/253):

“Jika engkau memiliki suatu hak ke atas seorang Kristian (seumpama dia berhutang dengan engkau) dalam apa-apa bentuk sekalipun, kemudian dia ingin menyelesaikannya menggunakan harga jualan arak atau khinzir, sedangkan engkau mengetahui sumbernya itu, maka tidak halal bagimu mengambil bayaran itu. Perkara halal atau haram itu sama situasi apabila seseorang menyelesaikan hak engkau ke atasnya, atau dia memberikan engkau hibah, atau makanan, sama seperti mana situasi engkau dengan orang Islam yang lain yang menyelesaikannya menggunakan harta rampasan, atau riba, atau suatu jual beli yang haram, maka tidak halal bagimu untuk mengambil bayaran itu. Namun jika engkau tidak mengetahuinya apabila engkau menerima daripada bayaran itu daripada Nasrani dan orang Islam maka apa sahaja yang dia berikan kepada engkau, atau berikan engkau makan, atau hibah, atau penyelesaian suatu hak, di mana bayaran itu memiliki kemungkinan daripada sumber halal atau haram, maka engkau bebas untuk mengambilnya kerana ia adalah halal selagi mana engkau tidak mengetahuinya sebagai haram. Sikap warak (berhati-hati) ialah engkau menyucikan diri daripada mengambilnya.”

Dalam al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie menghuraikan seperti berikut:

“Diharamkan jual; beli dengan orang yang diketahui seluruh hartanya adalah haram, berdasarkan riwayat daripada Abu Mas’ud al-Badri:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ ثَمَنِ الكَلْبِ، وَمَهْرِ البَغِيِّ، وَحُلْوَانِ الكَاهِنِ

Maksudnya: “Bahawa Rasulullahmelarang daripada hasil jualan anjing, mahar pelacur, dan pengeras dukun.”

Riwayat al-Bukhari (no.2237)

Orang itu seperti seluruh hartanya daripada hasil jualan perkara yang diharamkan seperti arak, khinzir, bangkai atau anjing. Ini termasuk jua seseorang yang pendapatannya dengan jalan yang diharamkan seperti loteri dan rasuah, atau ujrah (sewaan) atas perkara yang haram, atau daripada rampasan harta orang lain, maka haram hukumnya menjual sesuatu kepadanya dan mengambil harga jualannya, seperti mana haram juga membeli sesuatu daripadanya.

Begitu juga haram melakukan apa-apa muamalat denganya, seperti pinjaman, menggunakan barang, menyewa, dan haram juga memakan makanan yang disediakan. Akan tetapi jika berlaku akad maka sah, kerana telah cukup syarat-syarat dan rukun-rukunnya, beserta pengharaman kerana bersekutu dalam dosa dan maksiat. Namun jika harta beliau itu adalah rampasan maka akad itu batal, kerana perampas tidak memilikinya semasa akad.

Berlainan halnya jika harta seseorang itu bercampur antara halal dan haram, maka tidak haram berjual beli dengannya, tetapi makruh melakukan apa-apa muamalat dengannya, kerana terdapat syubhat padanya. Ini kerana terdapat riwayat daripada al-Nu`man bin Basyir RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّ الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لاَ يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى يُوشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya perkara halal dan haram itu jelas, dan terdapat perkara yang samar-samar (syubhah) antara keduanya, yang tidak diketahui oleh sekian ramai manusia. Barangsiapa yang memelihara dirinya daripada perkara yang syubhah, dia telah menjaga agama dan kehormatannya. Sesiapa yang termasuk dalam perkara syubhah, dia telah jatuh dalam perkara haram, seumpama pengembala yang mengembala binatang peliharaannya di sekitar kawasan larangan, lama-kelamaan akan jatuh ke dalamnya.”

Riwayat al-Bukhari (153) dan Muslim (1599)

Oleh itu, jika berlaku jual beli dengannya, atau mengambil suatu harta daripadanya, maka sah jual beli dan pengambilan itu, kerana secara zahir apa yang ada pada tangannya itu adalah miliknya, maka tidak haram mengambil daripadanya, kerana kaedah menyatakan:

اليَقِينُ لَا يَزُولُ بِالشَّكِّ

Maksudnya: “Keyakinan tidak dapat dibatalkan dengan syak wasangka.”

Rujuk al-Mu`tamad (3/67)

Imam al-Suyuti ketika membincangkan kaedah fiqh di atas menyebut huraian Syeikh Abu Hamid al-Isfirayni tentang kategori perkara syak yang tidak diketahui atau ditentukan sumber asalnya, “Seperti melakukan transaksi dengan orang yang majoriti hartanya bersumber perkara yang haram dan tidak dapat dipastikan harta yang diperolehi itu dari harta orang tersebut sumber haram, maka hukum transaksi jual beli itu tidak haram kerana ada kemungkinan halal dan sumber haram itu juga tidak dapat dipastikan, tetapi makruh mengambilnya kerana ditakuti terjatuh dalam perkara yang haram”. Rujuk al-Asybah wa al-Nazair (1/74-75).

 

Kesimpulan

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami menyimpulkan seperti berikut:

  • Haram menjual dan menerima upah memasang panel suria daripada pihak yang diyakini seluruh hartanya berpunca daripada sumber yang haram. Ini berdasarkan larangan Rasulullah ﷺ untuk menerima harta jualan anjing, upah pelacur dan dukun.
  • Makruh bermuamalat dengan seseorang yang hanya dikenali, tetapi tidak seratus peratus pasti, bahawa sumber hartanya daripada perkara yang haram. Namun, disunatkan untuk menjauhkan diri daripadanya dan makruh bermuamalat dengannya.
  • Haram hukumnya menjual barang, atau memberikan perkhidmatan, kepada seseorang yang akan menggunakan barang itu untuk tujuan yang haram, seperti membela khinzir. Namun, sekiranya terdapat kemungkinan bahawa harta itu digunakan untuk tujuan halal dan haram, maka hasil jualan atau upah itu tidak diharamkan, namun makruh untuk diambil. Ini kerana status haram dan halalnya adalah tidak jelas maka ia termasuk dalam perkara yang syubhat. Inilah pendapat yang lebih sahih dalam mazhab Syafie dan Jumhur Ulama.
  • Pendapat Imam Abu Hanifah mengatakan bahawa menjual barang kepada orang yang menggunakannya untuk tujuan maksiat adalah tidak haram dan tidak dimakruhkan, selagi mana tidak membawa kepada fitnah, seperti menjual senjata kepada musuh Islam. Ini kerana hukum diletakkan kepada ain amal (perkara yang dijual-beli) dan bukan kepada perkara-perkara yang berlaku selepas itu. Ulama kontemporari mazhab Hanafi seperti Syeikh Muhammad Taqi al-Uthmani mensyaratkan keharusan ini dengan dua syarat: (i) hendaklah tugasan itu tidak berkait secara langsung dengan operasi yang diharamkan; (ii) hendaklah tidak diniatkan untuk menolong dalam perkara yang diharamkan.

Kami cenderung kepada pendapat bahawa hukum menjual dan mengambil upah memasang panel suria di ladang khinzir adalah tidak diharuskan jika terdapat bukti yang tahqiq bahawa penggunaan panel suria itu digunakan untuk perkara yang diharamkan seperti membela khinzir. Sebaiknya seseorang Muslim itu menjauhkan diri daripada menerima tugasan atau tawaran itu. Jika suatu akad itu sudah berlaku dan bayaran sudah diterima, maka hukum akad itu adalah sah dan dicadangkan bahawa hasil jualan itu disedekahkan bagi tujuan maslahat umat Islam.

Kewajiban menjaga diri daripada perkara yang haram ini lebih signifikan pada hari ini kerana kes-kes melibatkan fraud forensik menunjukkan bagaimana kesalahan penyelewengan wang, rasuah, dan penguabahsuaian wang haram yang melibatkan dana awam boleh dikesan bagi tujuan pendakwaan dan tuntutan di mahkamah. Oleh itu, sebagai umat Islam, sekalipun terdapat khilaf pada hukumnya, sayugiya kita memelihara nama baik agama dengan menjauhkan diri daripada muamalah yang mempunyai unsur yang syubhah.

Semoga Allah ﷻ memberikan kita rezeki daripada sumber yang halal lagi baik, menjauhkan kita daripada sumber pendapatan yang haram dan syubhah. Amin.