IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-659 : HUKUM MENYERTAI PERNIAGAAN YANG MEMPROMOSI AGAMA LAIN

659

 

Soalan

Assalamualaikum, saya nak tanya, apakah hukum menyertai perniagaan yang mana syarikatnya menjalankan aktiviti mempromosi selain agama Islam?

 

Jawapan Ringkas

Sebagai kesimpulannya, para ulama telah bersepakat tentang keharusan orang Islam melakukan urusan muamalat seperti sewa, jual beli, memberi dan menerima upah dari orang bukan Islam dan lain-lain kecuali dalam perkara yang dilarang syarak seperti perkara melibatkan arak dan khinzir atau seumpama dengannya. Oleh itu, hukumnya adalah haram bagi orang Islam untuk melibatkan diri dalam urusniaga dengan orang bukan Islam yang diketahuinya secara jelas akan menyumbang kepada syiar, pengembangan atau mempromosi agama lain. Tambahan lagi, konteks semasa di Malaysia masih terdapat alternatif-alternatif lain yang boleh dipilih umat Islam untuk mencari sumber pendapatan dan seterusnya terhindar dari perkara menyumbang kepada menegakkan syiar agama lain.

 

Huraian Jawapan

Dalam kehidupan masyarakat majmuk sudah tentu tidak dapat dielakkan lagi hubungan dan interaksi di antara kaum dan agama baik dalam bentuk urusan perniagaan, kerja, kejiranan dan sebagainya. Agama Islam adalah agama yang penuh rahmah dan menuntut umatnya berkelakuan baik kepada manusia lain termasuklah orang bukan Islam kecuali pada mereka yang menumpahkan darah kaum muslimin, menindas golongan yang lemah serta dapat mengancam agama Islam. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t.:

لَّا يَنْهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمْ يُقَٰتِلُوكُمْ فِى ٱلدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوٓا۟ إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُقْسِطِينَ

Maksud: Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak pula mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.

Surah al-Mumtahanah (8)

 

Ayat di atas menunjukkan bahawa Islam tidak melarang umatnya bahkan menuntut umatnya untuk bersikap lemah lembut, adil dan ihsan kepada orang bukan Islam yang tidak menunjukkan permusuhan atau ancaman kepada agama Islam.

(Rujuk Tafsir al-Tha’labi 303/26[1]; Tafsir Ibn Kathir 90/8[2])

 

Berkaitan jual beli atau muamalat dengan orang bukan Islam, ianya diharuskan selagi mana tidak ada larangan daripada syarak berdasarkan kaedah fiqh hukum asal bagi perkara dalam muamalat adalah harus.

الأصل في المعاملات الإباحة

Maksudnya: Hukum asal dalam muamalat adalah harus.

(Rujuk al-Syarh al-Mumti’ ‘ala Zad al-Mustaqni’ 97/9)

 

Tambahan lagi, Rasulullah SAW juga pernah melakukan muamalat atau jual beli dengan orang bukan Islam sepanjang hayat baginda. Diriwayatkan dalam satu hadis bahawa Rasulullah SAW pernah membeli makanan daripada seorang Yahudi secara hutang dan mencagarkan baju baginda sepertimana yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RA:

أَنَّ النبي صلى الله عليه وسلم اشْتَرَى طَعَامًا من يَهُودِيٍّ إلى أَجَلٍ وَرَهَنَهُ دِرْعًا من حَدِيدٍ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi s.a.w membeli makanan dari seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda s.a.w.

Riwayat Muslim (1603)

 

Imam Nawawi ketika mensyarahkan hadis di atas menyatakan bahawa keharusan bermuamalat dengan orang bukan Islam sememangnya telah disepakati para ulama. Namun, keharusan tersebut adalah terhad kepada perkara yang dibenarkan sahaja, sekiranya transaksi tersebut boleh membawa kepada perkara yang haram seperti menjual senjata kepada musuh Islam, sebarang bentuk yang boleh membantu untuk menegakkan syiar agama mereka, membeli kitab agama mereka dan seumpamanya maka muamalat tersebut diharamkan.

(Rujuk al-Minhaj Syarh Sahih Muslim 40/11[3])

 

Oleh itu, dapat difahami bahawa keharusan bermuamalat dengan orang bukan Islam sama ada melakukan jual beli dengan mereka mahupun menyertai perniagaan mereka adalah terhad kepada perkara yang tidak boleh mengancam agama Islam serta perkara-perkara yang akan membantu secara langsung dalam urusan menegakkan syiar agama mereka. Ini adalah kerana tindakan tersebut dianggap seperti tolong-menolong dalam kemaksiatan. Allah SWT berfirman:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

Surah al-Maidah (2)

 

Majoriti ulama daripada 4 mazhab melarang umat Islam untuk bermuamalat dengan orang bukan Islam pada perkara-perkara yang berkaitan dengan agama mereka seperti bekerja di gereja atau rumah ibadat bukan Islam, mengambil upah membina atau membaik pulih rumah ibadat mereka dan seumpamanya.

 

Syeikh Syubramallisi dalam kitabnya Hasyiah Syabramalsi ‘ala nihayah al-Muhtaj menyatakan bahawa orang bukan Islam tidak boleh mengupah orang Islam untuk membina gereja kerana orang Islam dilarang untuk membina gereja.

لا يصح استئجار ذمي مسلماً لبناء كنيسة لحرمة بنائها وإن أُقرَّ عليه

Maksudnya: Tidak sah orang kafir zimmi mengupah pekerja muslim untuk membina gereja kerana orang Islam diharamkan untuk membinanya walaupun diizinkan. (Rujuk Hasyiah Syabramalsi ‘ala nihayah al-Muhtaj 274/5)

 

Hal yang sama juga dinukilkan oleh Khatib Syarbini, Imam Ibn Hajar al-Haytami dan Imam Qalyubi yang menyatakan bahawa orang Islam tidak boleh bekerja atau menyumbang untuk orang bukan Islam dalam perkara berkaitan keagamaan mereka seperti membina gereja atau perkara-perkara yang akan menegakkan syiar agama mereka kerana perkara tersebut dianggap sebagai maksiat yang dilarang syarak. (Rujuk Mughni al-Muhtaj 257/4[4]; Tuhfah al-Muhtaj 246/6[5]; Hasyiah Qalyubi 71/3[6])

 

Selain itu, para ulama daripada mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali juga turut menyatakan perkara yang sama bahawa orang Islam diharamkan untuk melakukan sebarang transaksi yang melibatkan syiar agama lain seperti membina atau mengimarahkan gereja, memberi sumbangan kepada perkara tersebut  atau mengambil upah untuk menulis kitab-kitab agama mereka kerana semuanya adalah maksiat lagi batil dan diharamkan oleh Allah SWT. (Rujuk al-Hidayah Syarh al-Bidayah 94/4[7]; al-Mudawwanah al-Kubra 361/10[8]; al-Mughni Ibn Qudamah 38/6[9])

 

Di samping itu, larangan ini dapat dikuatkan lagi dengan fatwa-fatwa daripada badan antarabangsa seperti Kesatuan Fiqh Islam Antarabangsa dan Kesatuan Fuqaha’ Syariah Amerika.

1. Kesatuan Fiqh Islam Antarabangsa (Majma’ Fiqh Islami)

Kesatuan Fiqh Islam Antarabangsa ketika persidangan ke-3 di Amman, Jordan tahun 1986, juga menetapkan haram bagi seorang muslim untuk membina gereja dan segala perbuatan yang dikira sebagai membantu kepada perkara tersebut. Kesatuan Fiqh Islam Antarabangsa dalam jawapannya menyebut:

“Soalan yang ke-25 dan ke-26: apakah hukum reka bentuk jurutera muslim untuk bangunan Kristian dan lain-lain? dalam masa yang sama dia tahu bahawa ini adalah sebahagian daripada pekerjaan di dalam syarikatnya. Sekiranya dia menolak tawaran untuk melakukannya dia akan dipecat. Apakah hukum seorang muslim menjadi sukarelawan atau badan kepada institusi pendidikan atau kristian atau gereja? Jawapan : tidak harus (haram)  bagi seorang Muslim untuk merancang atau membina kuil-kuil orang kafir, atau untuk menyumbang ke arah itu secara kewangan atau  perbuatan.”[10]

 

2. Kesatuan Fuqaha’ Syariah Amerika

Begitu juga dengan kenyataan oleh Kesatuan Fuqaha’ Syariah Amerika pada 2007 yang menyatakan bahawa orang islam dilarang untuk terlibat dengan sebarang aktiviti atau urus niaga yang secara jelas memberi sumbangan kepada penyebaran dakyah serta menegakkan syiar agama lain. Kesatuan Fuqaha’ Syariah Amerika dalam resolusinya menyebut:

“Resolusi Ke-9 : Bekerja di bidang kejuruteraan dan mengikuti peraturan yang bercampur antara yang halal dan haram di luar negara Islam; Tidak dibenarkan bagi pemilik  syarikat reka bentuk dan pembinaan milik orang Islam untuk merancang atau membina bangunan di mana  di dalamnya maksiat dilakukan, seperti bar, dewan perjudian, kedai minuman keras, dan kuil di mana amalan ritual syirik dipraktikkan.”

 

Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya, para ulama telah bersepakat tentang keharusan orang Islam melakukan urusan muamalat seperti sewa, jual beli, memberi dan menerima upah dari orang bukan Islam dan lain-lain kecuali dalam perkara yang dilarang syarak seperti perkara melibatkan arak dan khinzir atau seumpama dengannya. Oleh itu, hukumnya adalah haram bagi orang Islam untuk melibatkan diri dalam urusniaga dengan orang bukan Islam yang diketahuinya secara jelas akan menyumbang kepada syiar, pengembangan atau mempromosi agama lain. Tambahan lagi, konteks semasa di Malaysia masih terdapat alternatif-alternatif lain yang boleh dipilih umat Islam untuk mencari sumber pendapatan dan seterusnya terhindar dari perkara menyumbang kepada menegakkan syiar agama lain.

 

Wallahualam.

[1] أي: تعدلوا فيهم بالإحسان والبر أن تبروهم

[2] أَيْ لَا يَنْهَاكُمْ عَنِ الْإِحْسَانِ إِلَى الْكَفَرَةِ الَّذِينَ لَا يُقَاتِلُونَكُمْ فِي الدِّينِ،

[3] وَقَدْ أَجْمَعَ الْمُسْلِمُونَ عَلَى جَوَازِ مُعَامَلَةِ أَهْلِ الذِّمَّةِ وَغَيْرِهِمْ مِنَ الْكُفَّارِ إِذَا لم يتحقق تحريم مَا مَعَهُ لَكِنْ لَا يَجُوزُ لِلْمُسْلِمِ أَنْ يبيع أهل الحرب سلاحا وآلة حرب ولا يَسْتَعِينُونَ بِهِ فِي إِقَامَةِ دِينِهِمْ وَلَا بَيْعَ مُصْحَفٍ وَلَا الْعَبْدَ الْمُسْلِمَ لِكَافِرٍ مُطْلَقًا

[4] ولا ينبغي لفعلة المسلمين وصياغهم أن يعملوا للمشركين كنيسة أو صليباً

[5] أَقُولُ مَا اسْتَقَرَّ بِهِ أَوَّلًا مِنْ اعْتِبَارِ عَقِيدَةِ الْوَاقِفِ مُطْلَقًا يُرَدُّ عَلَيْهِ بُطْلَانُ وَقْفِ الذِّمِّيِّ عَلَى عِمَارَةِ ‌كَنِيسَةٍ لِلتَّعَبُّدِ فَالْأَقْرَبُ اعْتِبَارُ الْمَعْصِيَةِ مِنْ حَيْثُ الشَّرْعِ

[6] وَلَا يَجُوزُ بَذْلُ مَالٍ فِيهِ لِغَيْرِ ضَرُورَةٍ، وَمِثْلُهُ أَيْضًا اسْتِئْجَارُ كَافِرٍ مُسْلِمًا لِبِنَاءِ نَحْوَ ‌كَنِيسَةٍ

[7] وأما عن صاحبي أبي حنيفة رحمهما الله تعالى فقد نقلت كتب الحنفية عنهما تحريم بناء الكنائس والوصية ببنائه أو عمارتها أو الإنفاق عليها وأن الإجارة على ذلك باطلة

[8] أرأيت الرجل أيجوز له أن يؤاجر نفسه في عمل كنيسة في قول مالك؟ قال: لا يحل له؛ لأن مالكاً قال: لا يؤاجر الرجل نفسه في شيء مما حرم الله. قال مالك: ولا يكري داره ولا يبيعها ممن يتخذها كنيسة

[9] ولا على معصية كبيت النار والبيع والكنائس‏، وكتب التوراة والإنجيل لأن ذلك معصية، فإن هذه المواضع بنيت للكفر، وهذه الكتب مبدلة منسوخة

[10] https://www.iifa-aifi.org/en/7696.html

Cetak