IRSYAD USUL FIQH SIRI KE-61 : HUKUM BERTALFIQ KEPADA MAZHAB MALIK DALAM BAB NAJIS SAHAJA

iuf61 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt.,

Bolehkah bertalfik kepada mazhab Malik dalam masalah kenajisan anjing sahaja?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah ﷻ, selawat serta salam ke atas Junjungan Mulia, Nabi Muhammad ﷺ, ke atas Ahli Bait, serta Para Sahabat baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.

 

Ringkasan Jawapan:

Sememangnya wujud khilaf antara mazhab Syafie dan mazhab Maliki dalam bab najis. Namun, dalam konteks tempat kita, tidak ada keperluan untuk sewenang-wenangnya bertalfiq kepada mazhab Malik tanpa ada keperluan walaupun pada asalnya, hukum seorang bermazhab Syafie bertaqlid kepada mazhab Maliki dalam bab najis adalah dibenarkan dengan syarat perlu meraikan hukum hakam solat dan bersuci dalam mazhab Malik. Soalan yang diberikan sebaiknya dijawab berdasarkan kes-kes tertentu, dan bukan secara umum, bagi mengelakkan fitnah dalam masyarakat.

 

Huraian Jawapan:

Kami telah membahaskan isu talfiq dalam artikel-artikel berikut:

Kesimpulannya, kami cenderung kepada pendapat bahawa talfiq itu hanya dibenarkan apabila wujud keperluan seperti hajat dan darurat, dan dilakukan bukan bertujuan untuk bermudah-mudahan dalam agama sehingga menggugurkan taklif, dan mengikut hawa nafsu. Dalam masa yang sama, diharuskan kepada orang awam yang tidak sampai ke darjat mujtahid, untuk bertaqlid dengan salah satu mazhab muktabar, iaitu Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali, secara berterusan, atau dalam isu-isu tertentu sahaja, atau berpindah ke mazhab lain pada waktu yang lain. Ini kerana Syarak tidak ada nas yang mewajibkan untuk mengikut satu mazhab sahaja sepanjang masa, seperti mana yang telah disebutkan dalam artikel-artikel di atas. Begitu juga dilarang pelaksanaan talfiq sehingga membawa kecelaruan dalam pelaksanaan perundangan Islam seperti menghukum talak tiga sebagai talak satu, sedangkan mahkamah memutuskan jatuh talak tiga.

Menurut institusi kefatwaan, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, terminologi ‘talfiq’ mempunyai tiga makna utama yang wajar disebutkan di sini:

Rujuk al-Talfiq

Berdasarkan kategori di atas, jelas kepada kita bahawa talfiq kepada orang awam dalam erti kata beramal dengan mazhab lain berdasarkan fatwa seorang mufti, faqih atau mujtahid, adalah dibenarkan. Cuma disyaratkan agar pendapat baharu itu tidak bertentangan dengan ijmak dan terkeluar daripada keseluruhan pandangan ulama silam.

 

Maksud Talfiq dalam Bab Najis Sahaja

Dalam isu ini, apabila seorang yang bermazhab Syafie ingin bertaqlid dengan pandangan mazhab Maliki dalam bab najis, seperti najis khinzir atau anjing bukanlah najis mughallazah, atau membasuh najis adalah sunat sahaja, para ulama mensyaratkan seseorang itu mestilah menjaga juga hukum hakam yang berkait seperti solat dan taharah.  

Berkata Imam Ibn Hajar al-Haitami:

“Benar, bagi (Imam) Malik pendapat yang masyhur, yang diharuskan untuk berfatwa dan beramal dengannya bahawa menghilangkan najis itu adalah sunat sahaja  (dalam solat) dan tidak wajib, maka diharuskan untuk bertaqlid dengan pendapat ini dengan syarat seseorang itu hendaklah beriltizam dengan hukum hakam bersuci dan solat mengikut mazhab Malik RA, jika tidak maka jadilah talfiq dalam urusan taqlid, sedangkan hal itu batil dengan kesepakatan ulama bahkan sebahagian ulama mengibaratkan dengan ijmak.”

Rujuk al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra (1/123)

Tanggungjawab menjaga hak-hak yang berkait ini adalah mustahak atas alasan bersuci daripada najis adalah syarat sah solat dalam mazhab Syafie. Oleh itu, solat itu hendaklah dilaksanakan dengan tarkib (susunan) daripada  isu yang sama.

Hal yang berbeza berlaku sekiranya tarkib itu berlaku pada dua isu yang berlainan, seperti mana yang dinukilkan oleh Syeikh Zainuddin al-Malibari dalam Fath al-Mu`in (hlm. 615) tentang fatwa Syeikh Ibn Ziyad dalam fatwanya. Contohnya, seseorang berwuduk dengan cara yang sah menurut mazhab Syafie seperti menyapu sebahagian kepala, sedangkan cara ini tidak memadai dalam mazhab Hanafi, kemudian solat dengan menghadap ke arah kiblat, bukan ke arah ain kiblat kerana taqlid kepada mazhab Hanafi. Menurut Ibn Ziyad, solat seseorang itu sah sekalipun kedua-dua imam bersepakat dengan ketidaksahihan solat itu, kerana taqlid itu berlaku dalam dua isu yang berbeza, iaitu menghadap kiblat dan basuhan kepala ketika wuduk.

 

Bertaqlid kepada pentarjihan ulama

Dalam kes yang sedikit berbeza, diharuskan bagi seseorang yang bermazhab Syafie untuk bertaqlid kepada mujtahid tarjih dalam mazhab Syafie yang mempunyai pandangan yang berbeza dengan pendapat muktamad mazhab, tetapi kuat dalilnya, di sisi mujtahid berkenaan, serta difatwakan oleh ulama Syafieyyah dalam kes-kes tertentu dan tidak bertentangan dengan ijmak. Contohnya, seseorang itu bertaqlid dengan ikhtiyar (pendapat peribadi yang dipilih) Imam al-Nawawi bahawa kenajisan khinzir tidak diqiaskan dengan najis anjing, justeru menyucikannya tidak perlu kepada penyertuan dengan air tanah dan basuhan tujuh kali. Rujuk al-Minhaj Syarh Muslim (1/185-186).

Kelonggaran ini disokong dengan keadaan sekiranya bertaqlid dengan pendapat muktamad akan mendatangkan kesukaran pada adat kebiasaan seseorang, contohnya kehidupan seorang pendakwah di perkampungan orang asli yang biasa berinteraksi dengan khinzir. Hal ini disebut oleh al-Habib Syeikh Abdurrahman bin Muhammad Ba`lawi dalam kitab fatwanya, Bughyah al-Mustarsyidin (hlm. 19) menyebut:

“Dibenarkan kepada seseorang yang beriltizam dengan mazhab al-Syafie untuk bertaqlid dengan mazhab lain, atau pendapat yang marjuh (lawan bagi rajih) dalam mazhab al-Syafie kerana keperluan, yakni kerana akan berlaku kesukaran yang tidak tertanggung oleh adat. Adapun jika tiada kesukaran itu, maka haram bertaklid dengan mazhab lain atau pendapat marjuh, melainkan jika orang (mujtahid) yang ditaklid itu ialah seseorang yang berkeahlian untuk mentarjihkan pendapat dan orang yang bertaklid itu melihat dalilnya lebih rajih berbanding dalil imam mazhabnya.”

 

Kesimpulan

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami cenderung untuk menyatakan bahawa sememangnya wujud khilaf antara mazhab Syafie dan mazhab Maliki dalam bab najis. Namun, dalam konteks tempat kita, tidak ada keperluan untuk sewenang-wenangnya bertalfiq kepada mazhab Malik tanpa keperluan walaupun pada asalnya, hukum seorang bermazhab Syafie bertaqlid kepada mazhab Maliki dalam bab najis adalah dibenarkan dengan syarat perlu meraikan hukum hakam solat dan bersuci dalam mazhab Malik. Soalan yang diberikan sebaiknya dijawab berdasarkan kes-kes tertentu, dan bukan secara umum, bagi mengelakkan fitnah dalam masyarakat. Ini bersesuaian dengan peruntukan Seksyen 39 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993, bahawa Mufti hendaklah pada lazimnya mengikut pandangan-pandangan diterima (qaul muktamad) Mazhab Syafie, melainkan jika Mufti berpendapat bahawa dengan mengikut qaul muktamad Mazhab Syafie akan membawa kepada keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam, maka Mufti bolehlah mengikut qaul muktamad Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali.

 

Wallahua`lam.

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada pihak yang bertanya. Marilah kita berdoa agar Allah ﷻ memberikan kita ilmu yang bermanfaat untuk dunia dan akhirat kita. Amin.