PUTRAJAYA, 9 MAC 2023 – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan yang dikelola oleh Unit Istinbat PMWP di Hotel Pulse Grande, Putrajaya hari ini. Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan dengan penglibatan ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan yang baharu dilantik bagi sesi 2023 - 2025.
Mesyuarat pertama kali pada tahun ini telah memutuskan sebanyak tiga kertas fatwa yang dibentangkan oleh pihak PMWP, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Berikutannya telah diadakan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan kepada 16 ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan bagi sesi 2023 – 2025 yang disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sekaligus menyampaikan ucapan dan amanat pelantikan kepada ahli jawatankuasa yang baharu sahaja dilantik.
Pejabat ini merakamkan ucapan tahniah kepada semua ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan yang baharu dilantik bagi sesi 2023 – 2025. Semoga tanggungjawab yang digalas dapat disempurnakan dengan telus dan amanah serta saksama mengikut panduan hukum syarak yang telah ditetapkan.