AL-AFKAR #115: ADAKAH ORANG BUKAN ISLAM DAPAT GANJARAN KEBAIKAN DAN PAHALA JIKA BERBUAT BAIK DI ATAS DUNIA?

Screenshot 2021 06 11 at 8.42.01 PM

 

SOALAN:

Assalamualaikum wbt. Jika orang bukan Islam berbuat baik sesama manusia dan buat amal kebajikan, adakah mereka dapat balasan kebaikan atau pahala? Mohon penjelasan dari tuan mufti. Terima kasih.

 

RINGKASAN JAWAPAN:

Perkara kebaikan dan amal kebajikan yang dilakukan oleh orang bukan Islam di atas dunia akan dibalas oleh Allah SWT dengan balasan kebaikan di atas dunia juga. Namun tidak di akhirat, kerana di akhirat hanya orang Islam sahaja yang layak mendapat rahmat dan balasan kebaikan oleh Allah SWT.

 

HURAIAN JAWAPAN:

Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas baginda junjungan Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda, para sahabat, serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari akhirat. 

Firman Allah SWT:

وَقَدِمْنَا إِلَىٰ مَا عَمِلُوا مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَاهُ هَبَاءً مَّنثُورًا

Maksudnya: “Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan”

Surah al-Furqan (23)

 

Imam al-Qurtubi mengatakan dalam tafsirnya bahawa ayat di atas menerangkan keadaan orang kafir di akhirat kelak. Amalan baik orang-orang kafir atau orang bukan Islam di akhirat kelak tidak akan dihitung oleh Allah SWT kerana tiada manfaat. Ini kerana mereka hidup dalam keadaan batil dan kafir, maka setiap amalan kebaikan akan menjadi debu, seperti tanah yang asalnya kelihatan namun apabila ditiup debunya bertebangan dan hilang begitu sahaja.

[Lihat Tafsir al-Jami’ li Ahkam al-Quran: 7/24]

 

Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili pula dalam tafsirnya mengatakan, amalan baik orang bukan Islam seperti memuliakan orang lain, sedekah, membebaskan tahanan, memberi perlindungan kepada mereka yang memerlukan, serta amal kebajikan mereka yang lain tidak akan dapat menyelamatkan mereka di akhirat kelak. Allah SWT menjadikan amalan-amalan tersebut hancur lebur sehingga tidak bermanfaat dan memberi kebaikan sama sekali, lantaran mereka tidak memiliki syarat secara syariat untuk diterima sesuatu amalan – iaitu mengerjakannya kerana Allah SWT dan sesuai dengan syariat-Nya.

[Lihat Tafsir al-Munir: 10/65]

 

Walaupun begitu, amalan orang bukan Islam di atas dunia akan dibalas dengan kebaikan di atas dunia juga, sebagai bukti bahawa sifat maha penyayang Allah SWT yang kasihkan akan hamba-Nya. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW:

إن الكافر إذا عمل حسنة، أطعم بها طعمة من الدنيا، أما المؤمن، فإن الله تعالى يدخر له حسناته في الآخرة، ويعقبه رزقاً في الدنيا على طاعته. وفي رواية‏:‏ ‏‏إن الله لا يظلم مؤمنا حسنة يعطى بها في الدنيا، ويجزى بها في الآخرة، وأما الكافر، فيطعم بحسنات ما عمل لله تعالى، في الدنيا حتى إذا أفضى إلى الآخرة، لم يكن له حسنة يجزى به

Maksudnya: “Sesungguhnya orang kafir jika dia melakukan amalan kebaikan, maka dia akan dibalas dengan kebaikan di atas dunia. Ada pun orang yang beriman, Allah SWT akan membalas amalan kebaikannya di akhirat kelak, dan menyediakan ganjaran rezeki di atas dunia kerana ketaatannya. Dalam riwayat yang lain: Sesungguhnya Allah SWT tidak menzalimi seorang mukmin yang membuat amalan kebaikan kerana dia akan diberi balasan kebaikan di atas dunia, dan akan dibalas juga di akhirat kelak. Ada pun orang kafir mereka akan diberi ganjaran kebaikan di atas dunia terhadap perbuatan mereka tetapi di akhirat kelak tiada ganjaran yang akan diberikan”

(Riwayat Muslim: 2808)

 

Syeikh Ali Abdul Hamid menjelaskan hadis ini bahawa para ulama bersepakat tentang orang yang mati dalam keadaan kafir tidak akan mendapat ganjaran pahala di akhirat, dan segala amalan kebaikannya di dunia tidak berguna di akhirat kelak. Namun hadis ini juga mengatakan bahawa orang kafir akan diberi rezeki di dunia kerana amalan kebaikan mereka, yang mana amalan itu jika dilakukan oleh orang mu’min maka akan dikira sebagai perkara yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Tetapi amalan itu hanya terpakai pada perbuatan kebaikan yang tidak perlu kepada niat untuk menjadikan perbuatan itu sah sebagai ibadah (contohnya solat memerlukan niat) seperti amalan silaturrahim, bersedakah, membantu orang yang susah dan lain-lain.

[Lihat al-Minhaj fi Syarah Sahih Muslim: 1/287]

 

KESIMPULAN:

Justeru, amalan kebaikan dan kebajikan yang dilakukan oleh golongan bukan Islam di atas dunia akan dibalas oleh Allah SWT dengan kebaikan di atas dunia juga seperti diberi rezeki, kesihatan, kasih sayang sesama manusia dan lain-lain. Tetapi mereka di akhirat kelak tidak akan mendapat apa-apa ganjaran kerana tidak beriman kepada Allah SWT dan tidak mengikuti syariat-Nya, malah amalan mereka tidak bermanfaat sama sekali untuk membantu mereka di akhirat kelak. Wallahua’lam.

 

Bibliografi

Muhammad Ibrahim Hifnawi. 2010. Tafsir al-Jami’ li Ahkam al-Quran li Imam al-Qurtubi. Darul Hadith Kaherah.

Abdul Hayyie al-Kattani. 2018. Tafsir al-Munir li Wahbah az-Zuhaili. Gema Insani Jakarta.

Ali Abdul Hamid Beltarji. 1994. Al-Minhaj fi Syarah Sahih Muslim li Imam an-Nawawi. Darul Khair Beirut.

Print