AL-KAFI # 401 : HUTANG PTPTN MENYEBABKAN ROH TERGANTUNG DI LANGIT?

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 401 ( 12 OKTOBER 2016 M / 11 MUHARRAM 1437 H)

SOALAN:

Assalamualaikum wbt, PTPTN orang yg dh bekerja membayar ptptn setiap bulan.krmudiannya mati.dan ada hutang rm16 000 lagi.jadi..rohnya tergantung antara langit dan bumi tak?

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Wallahua’lam. Dalam hadis ada menyebut daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

نَفْسُ المُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ
Maksudnya: Jiwa (atau roh) orang beriman itu akan tergantung kerana hutangnya sehinggalah seseorang menyelesaikan bagi pihaknya.

 

Hadis riwayat al-Tirmidzi dalam Sunan (1078) dan al-Syafie dalam Musnad (1/361).

Berkata Imam al-Suyuti: Tergantung bererti ditahan daripada mencapai makamnya yang mulia.
Imam al-Iraqi menyebut: Tergantung bererti urusan roh itu terhenti, tiada hukum baginya sama ada berjaya atau binasa, sehingganya ditilik adakah sesiapa menyelesaikan hutang ke atasnya atau tidak.
Rujuk Tuhfah al-Ahwazi (4/164)

Daripada keterangan di atas dapat difahami bahawa urusan orang yang meninggal dalam keadaan berhutang tidak tentu baik dan buruknya sehinggalah hutangnya selesai. Oleh disebabkan itu, wajib bagi para waris untuk menyelesaikan hutang berkenaan daripada harta si mati, dan harus bagi mereka menggunakan kewangan lain untuk melangsaikan hutang tersebut.

Berkenaan dengan PTPTN, sewajarnya pihak penanya menghubungi pihak PTPTN sendiri untuk memaklumkan hal ini dan berbincang bagaimanakah penyelesaian kepada tersebut seperti tuntutan perlindungan takaful dan sebagainya.

Wallahua’lam.