AL-KAFI # 257 : CUKAI JUDI DAN ARAK

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 257 (26 APRIL 2016 M / 18 REJAB 1437 H)

 

SOALAN:

Assalamualaikum wbt,

Moga Allah berkati kehidupan Tuan mufti dunia akhirat.Saya ada soalan. Mohon pandangan Tuan mufti.

Adakah dibenarkan dalam Islam meluluskan lesen kedai judi dan kilang arak kerana menghormati hak perniagaan orang bukan Islam?
Cukai yang diambil oleh kerajaan ke atas kedai arak dan judi ini adakah boleh dimasukkan ke pebendaharaan negara Islam
Mohon pandangan yang secerahnya Dr Tuan mufti.

Terima kasih.

 

JAWAPAN

Waalaikumuusaalam wbt,

Pertama sekali kita perlu memahami hak-hak orang bukan Islam di dalam negara Islam. Jika suatu perkara itu sememangnya dibenarkan dalam agama bukan Islam, maka dibolehkan kerajaan Islam untuk membenarkan amalan tersebut dalam ruang lingkup orang bukan Islam itu sendiri. Perhatikan juga ada perkara yang tidak dibenarkan oleh agama itu sendiri seperti contoh zina, mencuri dan membunuh. Meskipun begitu jangan dibenarkan amalan itu berleluasa sehingga melebihi keperluan orang bukan Islam dan akhirnya mempengaruhi orang Islam. Berikut ada beberapa dawabit/prinsip yang perlu diperhatikan:

• Dibenarkan kepada orang bukan Islam sahaja
• Dibenarkan kepada orang bukan Islam dalam bentuk terhad
• Tidak dibenarkan kepada orang Islam untuk melibatkan diri dalam perniagaan tersebut.
• Kerajaan Islam bertanggungjawab untuk membuat menguatkuasakan undang-undang menghalang amalan ini dilakukan oleh orang Islam.

Isu kedua, cukai atas arak dan judi dibenarkan tetapi ulama khilaf dalam perlaksanaannya. Ada ulama berpendapat hendaklah cukai daripada arak dan judi itu diasingkan daripada cukai sumber yang halal dan cukai barangan haram digunakan untuk maslahah orang bukan Islam. Pendapat kedua, tidak perlu diasingkan dan wang cukai itu digunakan untuk maslahah umum.

Wallahua’lam.