AL-KAFI # 776 : HUKUM BERI HUTANG KEPADA KAWAN YANG DIKETAHUI AKAN BELI SESUATU TIDAK BERMANFAAT

Soalan:

Apakah hukum memberi hutang kepada kawan yang kita tahu dia akan gunakan untuk perkara yang tidak bermanfaat dan membeli sesuatu barang hanya untuk menunjuk-nunjuk?

Jawapan:

Alhamdulillah pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Secara umumnya, hutang di dalam Islam adalah dibenarkan dan bertepatan dengan syara’. Orang yang memerlukannya dibenarkan dan disunatkan meminta tanpa perlu rasa bersalah. Malah ia menjadi tanggungjawab orang yang diminta. Ini ada dinyatakan oleh kitab Allah SWT dan ijma’ ulama’. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/121-122)

Hikmah pensyariatan membenarkan amalan ini cukup jelas iaitu merealisasikan kehendak Allah yang mahukan wujudnya suasana tolong-menolong untuk tujuan kebaikan dan ketaqwaan sesama umat Islam. Di samping itu, amalan ini juga dapat memantapkan lagi hubungan persaudaraan sesama umat Islam dengan cara mengajak mereka supaya menghulurkan bantuan kepada mereka yang ditimpa kesusahan dan kesengsaraan.

Menjawab persoalan yang dilontarkan, kami nukilkan daripada kitab al-Fiqh al-Manhaji yang menyebut:

Pada asasnya  dalam keadaan biasa, hukum memberi hutang adalah sunat sementara meminta hutang adalah harus. Inilah hukum hutang dalam keadaan biasa. Walau bagaimanapun, hukum ini mungkin berubah bergantung kepada niat orang yang berhutang. Oleh itu hutang menjadi:

Jika pemberi hutang mengetahui hutang tersebut akan digunakan untuk tujuan yang diharamkan seperti minum arak, judi dan sebagainya.

Jika pemberi hutang mengetahui hutang tersebut akan digunakan untuk perkara yang tidak bermanfaat atau untuk menunjuk-nunjuk. Ataupun penghutang tahu dia tidak mampu membayar semula hutang tersebut.

Jika pemberi hutang mengetahui orang yang berhutang amat memerlukan  hutang tersebut untuk menampung hidupnya dan keluarganya dan tiada cara lain untuk dia memperolehinya kecuali dengan cara berhutang. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/128-129)

Oleh itu, sebagai kesimpulan, adalah makruh memberi hutang sekiranya pemberi hutang telah mengetahui bahawa orang yang ingin berhutang akan membeli sesuatu yang tidak berfaedah atau membeli sesuatu sekadar untuk menunjuk-nunjuk sedangkan dia tidak mempunyai kemampuan.

Semoga kita wajarkan dalam kehidupan semasa kita dengan sifat al-tawasi bi al-haq dan al-tawasi bi al-sabr sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-‘Asr.

Wallahua’lam.