AL-KAFI #1028: MAS KAHWIN DALAM BENTUK PEGANGAN SAHAM

SAHAM.JPG

 

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Bolehkah mas kahwin dibayar dalam bentuk pegangan saham dalam syarikat atau dilantik ahli lembaga pengarah dalam syarikat?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Mas kahwin atau mahar merupakan harta atau manfaat yang wajib diberikan oleh seorang suami kepada isteri sama ada dengan sebab pernikahan atau persetubuhan. (Lihat al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah, 7/49)

Firman Allah SWT:

وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً

Maksudnya: Berikanlah maskawin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan.

(Surah al-Nisa’: 4)

Ibn Kathir berkata: Menurut Ibn Abbas, perkataan النحلة membawa maksud mahar. Ibn Zaid pula menjelaskan, ianya bermaksud sesuatu yang wajib diberikan kepada isteri disebabkan aqad nikah. Seorang lelaki wajib menyerahkan mahar kepada wanita sebagai hadiah dan pemberian ke atasnya dengan penuh kerelaaan hati. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/235)

Menjawab persoalan di atas, ia dibolehkan. Mas kahwin adalah apa yang bernilai dan berharga mengikut neraca Islam. Justeru saham juga termasuk dalam harta yang bernilai. Cumanya perlu dinyatakan berapa nilainya agar ia difahami dengan jelas jika ditukarkan kepada wang.

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita kefahaman yang baik berkenaan isu ini.