AL-KAFI #1125: MEMBACA SURAH PENDEK SELEPAS AL-FATIHAH DALAM SOLAT SUNAT RAWATIB

SURAH PENDEK.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Solat Sunat Rawatib, perlukah membaca surah pendek selepas al-Fatihah seperti solat fardhu?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abi Hurairah R.A, beliau berkata:

فِي كُلِّ صَلاَةٍ قِرَاءَةٌ ، فَمَا أَسْمَعَنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَسْمَعْنَاكُمْ ، وَمَا أَخْفَى مِنَّا أَخْفَيْنَاهُ مِنْكُمْ ، وَمَنْ قَرَأَ بِأُمِّ الْكِتَابِ فَقَدْ أَجْزَأَتْ عَنْهُ ، وَمَنْ زَادَ فَهُوَ أَفْضَلُ.

Maksudnya: “Pada setiap solat adanya bacaan, maka apa-apa yang kami diperdengarkan oleh Nabi SAW melainkan kami akan memperdengarkan kepada kamu. Dan apa-apa yang diperlahankan daripada kami bacaannya, maka kami perlahankannya kepada kamu. Maka siapa yang membaca dengan al-Fatihah, maka sebenarnya dia telah memadai pada solat, dan siapa yang menambah bacaan surah (selepas al-Fatihah), maka ia adalah lebih afdhal.”

Riwayat al-Bukhari (738) dan Muslim (813).
Dalam al-Bukhari dengan lafaz " وإن زدت فهو خير ".

Imam al-Nawawi Rahimahullah berkata: Ungkapan (dan siapa yang membaca al-Fatihah, maka ia sudah memadai dan siapa yang menambah maka ia lebih afdhal), padanya dalil akan kewajiban (membaca) al-Fatihah. Dan bahawa tidak memadai selainnya (al-Fatihah).

Begitu juga sunat membaca surah selepas membaca al-Fatihah. Inilah yang diijmakkan pada solat Subuh dan Jumaat. Begitu juga dua rakaat pertama pada setiap solat fardhu. Dia adalah sunat di sisi kebanyakan ulama’. Al-Qadhi Iyadh telah menghikayatkan dari sebahagian ashab Malik bahawa wajib membaca surah selepas al-Fatihah, tetapi pendapat ini asing dan ditolak.

Adapun bacaan surah pada rakaat ketiga dan keempat, maka ulama’ khilaf adakah disunatkan atau tidak. Imam Malik berpendapat hukumnya makruh, sedangkan Imam Syafi’e berpendapat ia adalah sunat pada qaul jadidnya, bukan pada qaul qadim sedangkan di sisi kami (ashab al-Syafi’iyyah) yang qadim di sini lebih sahih. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 4/105-106)

Dalam beberapa hadis telah menyebut berkenaan bacaan Nabi SAW ketika menunaikan Solat Sunat Fajar. Selepas daripada bacaan al-Fatihah, Baginda SAW membaca surah al-Kafirun dan surah al-Ikhlas.

﴿قُلْ هُوَ اللهُ أحَدٌ﴾ تَعْدِلُ ثُلُثَ القُرْآنِ، ﴿قُلْ يَا أيُّهَا الْكَافِرُوْنَ﴾ تَعْدِلُ رُبُعَ الْقُرْآنِ وَكَانَ يَقْرَأُ بِهِمَا فِي رَكْعَتَي الْفَجْرِ، وَقَالَ: هَاتَانِ الرَّكْعَتَانِ فِيْهِمَا رَغَبُ الدَّهْرِ

Maksudnya: “Surah al-Ikhlas menyamai sepertiga al-Quran dan Surah al-Kafirun menyamai seperempat al-Quran, dan Nabi membaca kedua-duanya pada dua rakaat Fajar, dan Rasulullah bersabda: Kedua-dua rakaat padanya mempunyai banyak kelebihan.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (13493) dan Abu Ya’la

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: كَانَ يَقْرَأُ فِي رَكْعَتَيِ الْفَجْرِ: قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ، وَقُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW membaca pada dua rakaat Fajar Surah al-Kafirun dan Surah al-Ikhlas.”

Riwayat al-Tabarani (13123) dalam al-Kabir dan al-Bazzar (7241)

Sebagai kesimpulannya, adalah sunat dibaca apa jua ayat atau surah dari al-Qur’an dalam sembahyang untuk memperolehi pahala membaca al-Qur’an. Bagi sembahyang-sembahyang yang telah disunatkan membaca surah-surah yang khusus, maka adalah lebih baik diamalkan agar tidak luput sunnah Rasulullah SAW.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam mengerjakan setiap titah perintah-Nya. Amin.