AL-KAFI #1180: MENEGUR PAKAIAN IMAM YANG TERKENA NAJIS KETIKA SOLAT

qwqwqw.jpg

 

SOALAN:

Assalamualaikum..Ketika imam sedang solat jemaah, makmum terlihat pakaian imam terkena najis. Bagaimanakah caranya makmum hendak menegur imam?

JAWAPAN:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Syarat sah solat adalah mereka yang bersih daripada najis. Ia merangkumi kebersihan badan, kebersihan tempat dan kebersihan pakaian bagi menunaikan solat. Firman Allah SWT:

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ

Maksudnya: Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.

(Surah Al-Muddatthir ; 4)

Mengikut pandangan daripada Ulama’ Syafieyah, kalangan mereka amat mementingkan kebersihan pakaian dalam menunaikan solat. Bahkan jika pakaian yang tercemar dengan najis dan tidak ada cara untuk mencuci kerana tidak ada air atau berada dalam keadaan darurat, maka dia perlu menunaikan solat tanpa memakai pakaian tersebut. Hal ini sebagaimana yang dinukilkan di dalam kitab Al-Mu’tamad yang ditulis oleh Sheikh Dr. Muhammad Al-Zuhaili:

وَإِنْ كَانَ عَلَى الثَّوَابِ نَجَاسَةً غَيْرَ مُعَفَّوْ عَنْهَا, وَلَمْ يَجِدْ مَا يَغْسِلُهُ بِهِ , فَيَجِبُ أَنْ يُصَلِّيَ عَرِّيَانًا فِي الأَصَحِّ

Maksudnya: dan sekiranya pakaian bernajis maka tidak ada pengecualian, dan tidak ada air untuk dibasuhnya, maka wajib dan sah untuk menunaikan solat secara bertelanjang.

(Rujuk kitab Al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie, m/s 203)

Dalam mengulas isu ini, kami menukilkan sebuah hadis yang menceritakan hal yang mirip kepada soalan yang ditanya. Daripada Abu Sa'id al-Khudri, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

بَيْنَمَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُصَلِّي بِأَصْحَابِهِ إِذْ خَلَعَ نَعْلَيْهِ فَوَضَعَهُمَا عَنْ يَسَارِهِ فَلَمَّا رَأَى ذَلِكَ الْقَوْمُ أَلْقَوْا نِعَالَهُمْ فَلَمَّا قَضَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم صَلاَتَهُ قَالَ ‏"‏ مَا حَمَلَكُمْ عَلَى إِلْقَائِكُمْ نِعَالَكُمْ ‏"‏ ‏.‏ قَالُوا رَأَيْنَاكَ أَلْقَيْتَ نَعْلَيْكَ فَأَلْقَيْنَا نِعَالَنَا ‏.‏ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ إِنَّ جِبْرِيلَ صلى الله عليه وسلم أَتَانِي فَأَخْبَرَنِي أَنَّ فِيهِمَا قَذَرًا ‏"‏ ‏.‏ وَقَالَ ‏"‏ إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْمَسْجِدِ فَلْيَنْظُرْ فَإِنْ رَأَى فِي نَعْلَيْهِ قَذَرًا أَوْ أَذًى فَلْيَمْسَحْهُ وَلْيُصَلِّ فِيهِمَا

Maksudnya: Ketika Rasulullah SAW menjadi imam kepada para sahabat di dalam solat, Baginda membuka selipar dan meletakkan disisi kirinya; maka apabila jemaah melihat keadaan tersebut, mereka juga turut membuka selipar. Selepas selasai menunaikan solat, Baginda bertanya: Apa yang menyebabkan kamu semua membuka selipar? Maka para jemaah menjawab: Kami melihat kamu membuka selipar, maka kami membuka selipar kami. Rasulullah SAW berkata: Sesungguhnya, malaikat Jibrail a.s. telah datang kepadaku dan memberitahu bahawa terdapat kekotoran di selipar tersebut. Jika sesiapa yang datang ke masjid, dia perlu melihat, jika ada kekotoran terdapat pada seliparnya, maka dia perlu membersihkannya sebelum mendirikan solat.

(Hadis riwayat Abu Daud, No. 650)

Maka daripada hadis tersebut jelas dinyatakan bahawa imam yang memakai pakaian yang terkena najis perlu ditanggalkan dengan kadar segera jika ditegur atau menyedari sendiri. Nabi SAW pernah menyatakan di dalam sebuah hadis:

إِذَا نَابَكُمْ شَىْءٌ فِي الصَّلاَةِ فَلْيُسَبِّحِ الرِّجَالُ وَلْيُصَفِّحِ النِّسَاءُ

Maksudnya: “jika terjadi sesuatu di dalam solat maka tegurlah, bagi lelaki dengan bertasbih dan wanita dengan tepukan”

(Hadis riwayat Abu Daud, No. 941)

Menerusi pandangan Mazhab Maliki diantara ulama’nya Imam al-Hattab menyatakan terdapat 2 cara makmum untuk menegur imam yang terdapat najis pada pakaiannya ketika solat jemaah:

اذا رأى المأموم نجاسة في ثواب الإمام أراه اياها إن قرب فإن بعد كلمة

Maksudnya: Jika makmum melihat najis pada pakaian imam, maka tunjukkan ke arah najis atau memberi isyarat kepada imam jika makmum tersebut berdekatan, sekiranya jauh maka ditegur dengan perkataan.

(Rujuk Mawahib al-Jalil li Syarah Mukhtasar Khalil, m/s 2/481)

Kesimpulan berkenaan isu ini, sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Nawawi:

وَلَا تَجُوزُ الصَّلَاةُ خَلْفَ الْمُحْدِثِ لِأَنَّهُ لَيْسَ مِنْ أَهْلِ الصَّلَاةِ

Maksudnya: dan tidak boleh bersolat dibelakang orang yang berhadas kerana ia bukan daripada kalangan ahli solat.

(Rujuk Al-Majmu' Syarh Al-Muhazzab, m/s 4/256)

Adalah satu keperluan kepada makmum untuk menegur imam jika terdapat najis pada pakaian imam. Jika imam tersebut tidak maklum dengan teguran daripada makmum tersebut maka diwajibkan kepada makmum tersebut untuk berniat mufaraqah dan solat secara bersendirian.

WallahuA’lam.