AL-KAFI #1322 : KELUAR SETITIK DARAH SELEPAS PERSETUBUHAN: ADAKAH DIKIRA HAID?

kafi1322 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wbt,

Kebiasaan haid saya adalah 9 hari. Pada hari ke-9 saya telah memasang alat mencegah kehamilan. Haid saya berlarutan sehingga hari ke-11. Pada hari ke-12, saya dapati darah sudah tiada lalu saya mandi dan berpuasa. Pada malam ke-13, saya bersama dengan suami dan saya berasa sedikit kesakitan. Pada keesokan harinya yakni siang hari ke-13, ada setitis darah keluar ketika saya hendak menunaikan solat Zuhur yang pada saya mungkin disebabkan ketika saya bersama suami. Adakah itu dikira darah haid? Saya benar-benar keliru.

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah segala puji bagi Allah ﷻ Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad ﷺ dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kiamat.

Pertamanya, kita perlu mengetahui apakah takrif darah haid. Para pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji mentakrifkan haid sebagai berikut: “Erti haid pada bahasa ialah mengalir. Manakala erti haid di sisi Syara’ ialah darah semulajadi yang normal, keluar dari pangkal rahim perempuan yang telah baligh dalam keadaan sihat pada waktu tertentu.”

Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (1/77)

Justeru berdasarkan, takrif ini, darah yang keluar bukan daripada pangkal rahim dianggap bukan haid, seperti akibat luka pembedahan dan sebagainya.

Kedua, darah yang keluar daripada rahim dalam tempoh 15 hari pada waktu kebiasaan haid, yakni bukan waktu suci, adalah dianggap sebagai darah haid. Ini sekalipun jika darah itu keluar terputus-putus, dengan syarat darah itu keluar selama sehari dan semalam, atau 24 jam. Ini kerana tempoh sepanjang-panjang haid ialah 15 hari. Rujuk Sabila al-Muhtadin (1/139). Jika darah itu berterusan sehingga melebihi had 15 hari, maka itu adalah darah istihadah.

Oleh itu darah yang keluar kali kedua selepas berhenti sekalipun setitik dua, selagi mana ia keluar dalam tempoh 15 hari, maka dianggap sebagai haid, tanpa mengira sifat darahnya lemah atau kuat. Ini kerana adat haid seorang wanita itu boleh berubah dari bulan ke bulan.  Ini berdalilkan hadis daripada Fatimah binti Abu Hubaish R.Anha, bahawa dia kedatangan darah istihadhah, lantas Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا كَانَ دَمُ الْحَيْضَةِ فَإِنَّهُ دَمٌ أَسْوَدُ يُعْرَفُ فَإِذَا كَانَ ذَلِكَ فَأَمْسِكِى عَنِ الصَّلاَةِ فَإِذَا كَانَ الآخَرُ فَتَوَضَّئِى وَصَلِّى فَإِنَّمَا هُوَ عِرْقٌ

Maksudnya: “Jika darah haid, maka sesungguhnya ia adalah darah berwarna hitam yang dikenali. Jika ia bersifat demikian janganlah bersolat dan jika selainnya berwudhu’lah dan dirikan solat, kerana darah itu ialah darah penyakit.”

Riwayat Abu Daud (286)

Ini berdalilkan riwayat Aisyah R.Anha dalam Sahih al-Bukhari (1/71) secara mu`allaq dan al-Muwatta’ (no.97):

كَانَتْ النِّسَاءُ يَبْعَثْنَ إلَى عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا بِالدُّرْجَةِ فِيهَا الْكُرْسُفُ فِيهِ الصُّفْرَةُ مِنْ دَمِ الْحَيْضِ فَتَقُولُ لَا تَعْجَلْنَ حَتَّى تَرَيْنَ الْقَصَّةَ الْبَيْضَاءَ تُرِيدُ بِذَلِكَ الطُّهْرَ مِنْ الْحَيْضَةِ

Maksudnya: Dahulu, para wanita datang menemui Aisyah R.Anha dengan menunjukkan kain yang berisi kapas (yakni yang dimasukkan ke dalam faraj) yang padanya ada kesan kekuningan (kesan darah haid) lalu Aisyah berkata kepada mereka, “Janganlah kamu tergesa-gesa (untuk mandi dan bersolat) sehinggalah kamu melihat warna cecair putih pada kapas yang menunjukkan suci daripada darah haid.”

Rujuk juga al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab (2/389) oleh Imam al-Nawawi

Kesimpulannya, puan yang bertanya hendaklah meneliti keadaan darah yang keluar itu:

Semoga jawapan ini memberikan kejelasan kepada pihak yang bertanya. Wallahua’lam.