AL-KAFI #1854: HUKUM ORANG ISLAM MENGGANTUNG TANGLUNG TAHUN BARU CINA

HUKUM GANTUNG TANGLUNG min

 

Soalan

Assalamualaikum, apakah hukum menggantungkan tanglung sebagai keceriaan di sesuatu premis persendirian ataupun awam ketika tahun baru cina bagi orang Islam.

Ringkasan Jawapan

Hukum menggantung perhiasan tanglung adalah dibolehkan selagi mana perhiasan tersebut bukan perhiasan ritual keagamaan atau syiar dan simbol bagi agama lain. Namun, umat Islam dinasihatkan agar berhati-hati dengan penggunaan tanglung agar tidak mempercayai apa-apa unsur khurafat serta tidak menulis hajat dan doa-doa pada tanglung. Tanglung yang digunakan mestilah bebas dari unsur-unsur tersebut dan dilihat hanya sekadar bahan seni dan budaya masyarakat cina.

 

Huraian Jawapan

Pengenalan

Penggunaan tanglung amat sinonim dengan sambutan Tahun Baru Cina. Tahun Baru Cina juga dikenali sebagai Festival Musim Luruh. Sejarah dan hukum menyambut Tahun Baru Cina ini telah dijelaskan secara terperinci melalui artikel Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Bayan Linnas siri ke-48. Rujuk pautan:

https://muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-linnas/1829-bayan-linnas-siri-48-hukum-menyambut-tahun-baru-cina

Manakala hukum mengucap tahniah dan ucapan selamat menyambut Tahun Baru Cina telah diputuskan di dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Kali Ke 78. Rujuk pautan: http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/fatwa/fatwa/find/3

Namun begitu, sisi sejarah tanglung tidak begitu jelas kerana terdapat banyak bersumberkan cerita-cerita lagenda, mitos dan hikayat semata-mata. Adapun sejarah melalui dinasti-dinasti lampau menggunakan tanglung untuk kesenian, kegunaan harian dan perayaan. Orang-orang timur purba pada Dinasti Han (25-220 A.D.) membuat tanglung dengan lilin dan melilit kelilingnya dengan buluh atau kayu dan menutupinya dengan sutera atau kertas supaya tidak ditiup angin kemudian menjualnya di kedai.[1]

Manakala pada abad ke 6 Dinasti Sui, tanglung dijadikan persembahan dan pameran untuk menzahirkan kegembiraan sehingga Maharaja Yangdi ketika itu menjemput negara luar untuk menikmati. Kemudian Dinasti-dinasti seterusnya  memperbesar dan memperluaskan lagi festival tanglung ini selama berhari-hari supaya rakyat boleh menikmati kegembiraan melalui kesenian yang indah. Rentetan itu, banyak syair-syair cina yang menggambarkan kegembiraan situasi tersebut.[2]

Sehingga ke hari ini, tanglung telah dianggap sinonim dengan budaya dan tradisi cina di mata dunia. Bahkan, tanglung masih dibuat dan direka serta dinikmati oleh bangsa Cina di seluruh dunia. Tanglung digunakan sebagai cara mengekspresi artistik kesenian dan perhiasan.[3]

Tanglung dari kaca mata Islam

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا

Maksudnya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).

(Surah al-Hujurat: 13)

Ayat suci di atas menjelaskan bahawa kejadian manusia yang ditentukan oleh Allah berdasarkan kepelbagaian bangsa dan etnik. Masyarakat di Malaysia mempunyai kepelbagaian kaum dan agama sehingga melahirkan adat dan budaya yang pelbagai. Oleh itu sikap toleransi sesama kaum amat penting untuk disemai bagi menjaga keamanan dan kesejahteraan. Hal ini telah dijelaskan di dalam Artikel Bayan Linnas siri ke 155. Rujuk pautan: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan - BAYAN LINNAS SIRI KE-155: KONSEP FIQH Al-TA’AYUSH: ISU DI MALAYSIA DAN PENYELESAIANNYA (muftiwp.gov.my)

Oleh itu, Islam meletakkan batasan dan garis panduan untuk bertoleransi dengan sesuatu agar tidak melangkaui batasan syariat agama seperti tidak membuat perkara syirik sehingga boleh membawa kepada kerosakan akidah. Sebagai umat Islam, menjauhkan diri daripada segala bentuk ritual keagamaan lain amat dituntut demi menjaga akidah. Firman Allah SWT:

لَنَا أَعْمَالُنَا وَلَكُمْ أَعْمَالُكُمْ

Maksudnya: Bagi kami amal (ibadat) kami dan bagi kamu amal (ibadat) kamu.” Yang bermakna kami berlepas diri daripada (ibadat) kamu.

(Surah al-Syura: 15)

Justeru, etika penggunaan tanglung sebagai perhiasan bagi umat Islam perlu diteliti keterikatan tanglung di dalam agama lain sebagai ritual keagamaan atau sekadar tradisi dan kesenian semata-mata. Jika tanglung itu merupakan syiar dan simbol keagamaan bagi agama lain maka Nabi SAW melarang tasyabbuh (menyerupai) dengan elemen tersebut. Kenyataan ini dijelaskan oleh para ulama berdasarkan hadis yang sahih, seperti yang dinyatakan oleh Ali Mulla al-Qari, Kata beliau:

قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - (مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ) : أَيْ مَنْ شَبَّهَ نَفْسَهُ بِالْكُفَّارِ مَثَلًا فِي اللِّبَاسِ وَغَيْرِهِ، أَوْ بِالْفُسَّاقِ أَوِ الْفُجَّارِ أَوْ بِأَهْلِ التَّصَوُّفِ وَالصُّلَحَاءِ الْأَبْرَارِ. (فَهُوَ مِنْهُمْ) : أَيْ فِي الْإِثْمِ وَالْخَيْرِ.

Maksudnya: Rasulullah SAW bersabda “Sesiapa yang menyerupai  dengan sesuatu kaum”: atau sesiapa yang menjadikan dirinya menyerupai orang kafir seperti pemakaian dan selainnya, atau menyerupai orang fasik, ahli maksiat atau ahli tasawwuf dan orang-orang soleh. “Maka dia adalah daripada mereka”: Iaitu dalam perkara yang melibatkan dosa dan kebaikan.[4]

Namun, apabila melihat daripada pelbagai versi sejarah berkaitan tanglung yang dianggap sebagai suatu alat tradisi lampu yang mempunyai hiasan kesenian budaya cina adalah diharuskan. Tambahan, penggunaan tanglung pada masa kini lebih kepada berbentuk tradisi dan budaya cina semata-mata.[5]  Ini berdasarkan kaedah fiqh:

 

الحُكْمُ يَدُورُ مَعَ عِلَّتِهِ وُجُودًا وَعَدَمًا

Maksudnya: Sesuatu hukum berlegar bersama-sama ‘illah (sebab) nya ketika ia ada dan tiada.

Dalam hal ini, unsur-unsur aqidah dan kepercayaan masyarakat Cina yang menjadikan sebab pengharaman penggunaan tanglung telah terhapus pada masa sekarang ini. Ia lebih dilihat sebagai bahan seni dan budaya semata-mata. Maka, ianya bukan lagi boleh dikategorikan sebagai sebuah perayaan keagamaan. Selain itu, sejarah dan mitos yang kabur dan bercampur aduk ini menyebabkan ianya tidak boleh dihukum dengan tetap sebagai sebuah perayaan keagamaan.

[Rujuk Mausu’ah al-Qawaid al-Fiqhiyyah 1/323]

 

Kesimpulan

Hukum menggantung perhiasan tanglung adalah dibolehkan selagi mana perhiasan tersebut bukan perhiasan ritual keagamaan bagi agama lain.  Hal perhiasan ini terlihat sinonim dengan perbahasan pakaian tradisional bangsa lain yang boleh dirujuk pada artikel Irsyad Fatwa kami yang bertajuk Hukum Memakai Bindi Dan Sari Di Dalam Islam. Rujuk pautan: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan - IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-545: HUKUM MEMAKAI BINDI DAN SARI DI DALAM ISLAM (muftiwp.gov.my)

Namun umat Islam perlu berhati-hati terhadap penggunaannya dan kami menasihatkan agar tidak menggunakannya jika tiada keperluan bagi mengelakkan pandangan negatif, kontroversi dan fitnah terhadap agama.

 

[1] Rachel Deason, A Brief History of Chinese Lantern, Diakses pada  12 Januari 2022, https://theculturetrip.com/asia/china/articles/brief-history-chinese-lanterns/

[2] History of Chinese Lantern Festival, Diakses pada 13 Januari 2022, http://www.chinadaily.com.cn/m/jiangsu/wuxi/2018-03/06/content_35798712.htm

[3] Xin Hua, Lanterns, Festive Symbols of  Chinese Culture, Diakses pada  12 Januari 2022, http://www.chinadaily.com.cn/china/2016-01/26/content_23245702.htm

[4] Abu al-Hasan nur al-Din, Murqat al-Mafatih Syarhu Misykat al-Masabih, Dar al-Fikr: Beirut, Lubnan, 2002, Jld 7,Ms 2782

[5] Sabariah Mohamed Salleh, Emma Mohamad, Abdul Latiff Ahmad & Nazra Aliff Nazri, Iklan Tahun Baru Cina Petronas: Suatu Analisis Terhadap Pemaparan Identiti Budaya Kaum Cina, Jurnal Komunikasi, Jil. 31(2) 2015, hlm 572.