AL-KAFI #1868: PENJELASAN BERKENAAN ISU RUKUN WUDUK HANYA DUA IAITU MEMBASUH MUKA DAN TANGAN HINGGA SIKU

Template_Header_Artikel_PMWP.png

 

Soalan

Assalamualaikum SS Mufti, baru-baru ini saya terdengar suatu video yang menyebutkan bahawa terdapat pendapat yang mengatakan rukun wuduk hanya dua iaitu membasuh wajah dan juga kedua tangan hingga siku dan ia merupakan pandangan majoriti ulama. Mohon penjelasan terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Kadar minimum rukun wuduk yang disepakati oleh ulama empat mazhab adalah empat perkara iaitu membasuh muka, membasuh kedua tangan hingga siku, menyapu sebahagian atau keseluruhan kepala dan membasuh kedua kaki sehingga buku lali. Justeru pendapat yang menyatakan bahawa rukun wuduk hanya dua iaitu membasuh muka dan kedua tangan sehingga ke siku bukan pandangan majoriti ulama bahkan tidak dijumpai dalam mana-mana pandangan yang muktamad di dalam 4 mazhab yang muktabar.

Huraian Jawapan

Baru-baru ini pihak PMWP menerima pertanyaan berkenaan suatu video seorang ustaz yang menyebutkan bahawa rukun wuduk hanya dua iaitu membasuh muka dan kedua tangan hingga siku.

Dalam menjelaskan isu ini, perlu diingatkan bahawa wuduk merupakan suatu perkara yang penting kerana solat seseorang tidak akan sah tanpa wuduk. Perkara ini sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran, firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali;

(Surah al-Maidah: 6)

Dalam suatu hadis, Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا صَلاةَ لِمَنْ لا وُضُوءَ لَهُ

Maksudnya: Tidak solat kepada orang yang tidak berwuduk.[1]

Riwayat Abu Daud

Wuduk juga penting kerana fungsinya sebagai alat untuk membuang kotoran dan najis yang terdapat pada anggota wuduk. Oleh itu, wuduk mempunyai perkara yang fardu atau disebut juga dengan rukun yang wajib dipenuhi bagi membolehkan wuduk seseorang dianggap sah.

Berbalik kepada persoalan di atas, para ulama empat mazhab berbeza pandangan dari sudut bilangan rukun wuduk kepada 4, 6 atau 7. Namun secara asasnya mereka bersepakat terhadap empat rukun berikut:[2]

Perkara ini didasarkan kepada ayat 6 surah al-Maidah sepertimana yang telah disebutkan di bahagian awal makalah ini. Namun, dalam mazhab al-Syafie rukun wuduk terbahagi kepada enam iaitu niat, membasuh muka, membasuh tangan hingga siku, menyapu sebahagian kepala, membasuh kedua kaki sehingga buku lali dan tertib.

Dalam al-Fiqh al-Manhaji menyatakan bahawa:

وفروض الوضوء ستة وهي: النية، وغسل الوجه، وغسل اليدين، مع المرفقين، ومسح بعض الرأس، وغسل الرجلين مع الكعبين، والترتيب

Maksudnya: Rukun-rukun wuduk itu enam iaitu: niat, membasuh muka, membasuh kedua tangan hingga siku, menyapu sebahagian kepala, membasuh kedua kaki sehingga buku lali dan tertib.[3]

Berdasarkan perbincangan di atas, rukun wuduk yang disepakati oleh para ulama 4 mazhab ialah empat perkara iaitu membasuh muka, membasuh kedua tangan hingga siku, menyapu sebahagian atau keseluruhan kepala dan membasuh kedua kaki sehingga buku lali.

Justeru pendapat yang menyatakan bahawa rukun wuduk hanya dua iaitu membasuh muka dan kedua tangan hingga siku bukan pandangan majoriti ulama bahkan tidak dijumpai dalam mana-mana pandangan yang muktamad di dalam 4 mazhab yang muktabar. Wallahua’lam.

 

[1] Abu Daud Sulaiman bin al-Asyʻat, Sunan Abi Daud, ed. Muhammad Muhy al-Din ‘Abd al-Hamid (Beirut: al-Maktabah al-‘Asriyyah, t.t), no. hadis 101, 1: 25.

[2] ‘Abd al-Rahman bin Muhammad ‘Iwad al-Jaziri, al-Fiqh ‘ala Mazahib al-Arbaʻah (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 2003), 1: 51.

[3] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha & ‘Ali al-Syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafie (Dimasyq: Dar al-Qalam, 1992), 1: 53.

Print