AL-KAFI #1871: BAJU RAYA YANG BARU: SUATU KEMESTIAN ATAU MEMENUHI SUNNAH

AL KAFI 1871

Soalan

Assalamualaikum, mohon pandangan Sahibus Samahah Datuk berkenaan sambutan hari raya aidulfitri atau aidiladha dengan pakaian raya. Adakah baju baru yang dibeli untuk baju raya baru dianggap suatu sunnah?

Ringkasan Jawapan

Sesuatu perkara yang sunat adalah baju raya itu merupakan baju yang baru. Jika bukan baju yang baru maka disunatkan memakai pakaian yang hampir dengan baju yang baru seperti masih lagi cantik.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Pembelian baju baru sebagai baju raya dilihat suatu simbolik untuk menyambut perayaan tidak kira Hari Raya Aidilfitri mahupun Hari Raya Aidiladha. Hal ini dilihat selari untuk menyahut galakan menghidupkan sunnah berhias dengan pakaian-pakaian yang cantik. Perkara ini dapat dilihat melalui perbuatan sahabat Nabi SAW melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar:

أَخَذَ عُمَرُ جُبَّةً مِنْ إِسْتَبْرَقٍ تُبَاعُ فِي السُّوقِ، فَأَخَذَهَا، فَأَتَى بِهَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، ابْتَعْ هَذِهِ تَجَمَّلْ بِهَا لِلْعِيدِ وَالوُفُودِ، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّمَا هَذِهِ لِبَاسُ مَنْ لاَ خَلاَقَ لَهُ»

Maksudnya: “Umar mengambil jubah dari sutera tebal yang dijual di pasar. Beliau mengambilnya dan memberikan jubah tersebut kepada Rasulullah SAW dan mengatakan, “Wahai Rasulullah belilah jubah ini, berhias dengannya untuk hari raya dan menerima kunjungan tetamu. Maka Rasulullah SAW mengatakan kepada Umar: “Sesungguhnya ini adalah pakaian yang tidak dapat bahagiann (di akhirat).”[1]

Hadis Riwayat Bukhari

Menurut Abu al-Hasan al-Sindi, hadis tersebut menyatakan bahawa berhias di hari raya termasuk kebiasaan yang sudah lama wujud di kalangan para sahabat, dan Nabi SAW juga tidak mengingkarinya.[2] Hal ini juga dinamakan hari raya dengan hari berhias. Firman Allah SWT:

قَالَ مَوْعِدُكُمْ يَوْمُ ٱلزِّينَةِ وَأَن يُحْشَرَ ٱلنَّاسُ ضُحًى

Maksudnya: Nabi Musa menjawab: "Tempoh yang aku tetapkan untuk kamu itu ialah hari perayaan (hari berhias diri), dan hendaklah orang ramai berhimpun pada waktu Duha"

Surah Taha (59)

Walau bagaimanapun, para telah ulama membahaskan lebih terperinci mengenai ciri-ciri pakaian bagi menyambut perayaan Aidilfitri dan Aidiladha yang selari mengikut sunnah.  Menurut al-Nawawi, memakai minyak wangi dan berhias pada kedua-dua perayaan tersebut adalah sunnah seperti pada hari jumaat.[3] Begitu juga menurut al-Zuhaili bahawa:

يَسُنّ التَّطَيُّبُ لِلرِّجَالِ بِأَحْسَنِ مَا يَجِدُ مِنْ الطَّيِّبِ، قِيَاسًا عَلَى الجُمْعَةِ

Maksudnya: Disunatkan memakai minyak wangi lelaki dengan sebaik-baik wangian yang didapati berdasarkan hukum yang diqiaskan dengan hukum pada hari Jumaat.[4]

Seterusnya, menurut al-Baijuri di dalam perbahasan pakaian pada hari Jumaat bahawa:

وَيَسُنُّ أَنْ تَكُونَ جَدِيدَة فَإِن لَمْ تَكُنْ جَدِيدَةٌ سُنًّ أَنْ تَكُونَ قَرِيبَةً مِنْهاَ. وَيَسُنُّ أَن يَزِيدَ الإِمَامَ فِي حُسْنِ الهَيْئَةِ للِاتِّبَاعِ وَلِأَنَّهُ مَنْظُورٌ إِلَيْهِ

Maksudnya: Disunatkan baju yang dipakai pada solat Jumaat dengan baju yang baharu. Jika tidak baru maka disunatkan dengan baju yang setara dengannya. Disunatkan juga agar imam menambahkan keterampilannya yang baik kerana dia diperhatikan (oleh orang ramai).[5]

Kesimpulan

Kesimpulannya, sunat memakai baju baharu sempena Aidilfitri, namun jika tiada, disunatkan memakai pakaian yang hampir dengan baju yang baharu.

 

[1] Sahih Bukhari, No. Hadis: 948

[2] Hasyiah al-Sindi ala Sunan al-Nasa’I, Abu al-Hasan Nur al-Din al-Sindi, Syria: Maktab al-Mathbu’ah al-Islamiyyah, Jld.3, Hlm.181

من استبرق هُوَ الْحَرِير الغليظ ابتع اشْتَرِ فتجمل بهَا للعيد مِنْهُ علم أَن التجمل يَوْم الْعِيد كَانَ عَادَة متقررة بَينهم وَلم ينكرها النَّبِي صلى الله تَعَالَى عَلَيْهِ وَسلم

[3] Minhaj al-Tolibin, al-Nawawi, Beirut: Dar al-Basya’ir al-Islamiyyah, Jld.1, Hlm.299

والتطيب والتزين كالجمعة

[4] Al-Mu’tamad Fii al-Fiqh al-Syafi’I, Muhammad al-Zuhaili, Damsyik: Dar al-Qalam, Jld.1, Hlm.561

[5] Hasyiah al-Syeikh Ibrahim al-Baijuri Ala Fath al-Qarib, al-Baijuri, Mesir: Dar al-Kutub al-Islamiyyah, Jld.1, Hlm.420