AL-KAFI #1874: STATUS PENDAPATAN YANG DIPEROLEH DARIPADA PEKERJAAN YANG BERCAMPUR ANTARA PERKARA HALAL DAN HARAM

alkafi 1874 min

Soalan

Assalamualaikum. Mohon bertanya, saya pernah bekerja di sebuah restoran makanan yang bercampur antara makanan halal dan haram. Apakah status pendapatan saya? Adakah haram kesemuanya? Sekiranya haram, apa yang perlu saya lakukan? Mohon pencerahan, terima kasih.

 

Ringkasan Jawapan

Hukum pekerja menerima gaji hasil pekerjaan yang bercampur halal dan haram adalah makruh kerana berlaku kesukaran dalam menentukan secara pasti bahagian yang haram. Walau bagaimanapun, beliau wajib berusaha mengenal pasti bahagian harta hasil pekerjaan haram yang telah dilakukan dan mensucikannya dengan cara membelanjakannya untuk kegunaan umum umat Islam atau diberikan kepada baitulmal. Jika sukar ditentukan kadar haram dan halal secara tepat dan pasti, maka boleh disucikan harta tersebut dengan kadar separuh bahagian.

Sebagai nasihat dan saranan, pekerja tersebut wajib mencari pekerjaan lain yang 100% halal dan tidak mempunyai sebarang keraguan kerana ia lebih memberikan ketenangan kepada diri dan hati di samping keberkatan dalam hidup.

 

Huraian Jawapan

Asalnya, setiap upah yang diterima semata-mata daripada aktiviti yang jelas diharamkan Syarak adalah haram menerimanya bahkan perlu disucikan secepat mungkin.[1]

(Rujuk: Asna al-Mathalib, 1/569)

Terdapat satu riwayat daripada Abdul Rahman bin Ghanm RA bahawa Rasulullah SAW menyebutkan secara jelas pengharaman pendapatan yang diperoleh daripada perkara haram sebanyak tiga kali:

وإنَّ الخَمْرَ حَرامٌ وثَمَنَها حَرَامٌ، وإنَّ الخَمْرَ حَرامٌ وثَمَنَها حَرَامٌ، وإنَّ الخَمْرَ حَرَامٌ وثَمَنَها حَرَامٌ

Maksudnya: Sesungguhnya arak itu haram dan hasil jualannya juga haram. Sesungguhnya arak itu haram dan hasil jualannya juga haram. Sesungguhnya arak itu haram dan hasil jualannya juga haram.

Riwayat Ahmad (17995)

Namun, melihat kepada situasi soalan di atas, secara kebiasaan pekerjaan seperti pelayan akan menghidangkan pelbagai makanan dan minuman merangkumi haram dan halal, maka status pendapatan tersebut boleh dihukumkan sebagai harta mukhtalat iaitu harta yang bercampur halal dan haram.

Syeikh Abu Hamid al-Isfarayini Rhm. ketika menghuraikan kategori perkara syak yang tidak dapat ditentukan secara pasti sumber asalnya menyebutkan contoh berikut:

مُعَامَلَة مَنْ أَكْثَرُ مَالِهِ حَرَامٌ وَلَمْ يُتَحَقَّقْ أَنَّ الْمَأْخُوذَ مِنْ مَالِهِ عَيْنَ الْحَرَامِ فَلَا تَحْرُمُ مُبَايَعَتُهُ لِإِمْكَانِ الْحَلَالِ وَعَدَمِ تَحَقُّقِ التَّحْرِيمِ، وَلَكِنْ يُكْرَهُ خَوْفًا مِنْ الْوُقُوعِ فِي الْحَرَامِ.

Maksudnya: Menjalankan urus niaga dengan seseorang yang majoriti hartanya haram adalah tidak diharamkan kerana tidak dapat dipastikan harta yang digunakan adalah daripada harta haram. Hal ini kerana terdapat kemungkinan urus niaga tersebut digunakan daripada sumber halal maka tidak boleh dikatakan haram. Walau bagaimanapun, makruh mengambilnya kerana bimbang terjerumus dalam perkara haram.

(Rujuk: al-Asybah wa al-Nazair, 1/74-75)

Berdasarkan huraian di atas, hukum pekerja menerima gaji hasil pekerjaan bercampur halal dan haram adalah makruh kerana berlaku kesukaran dalam menentukan secara pasti bahagian yang haram. Hal ini kerana pendapatan atau gaji yang diperoleh berasaskan servis yang diberikan kepada pelanggan merangkumi bahagian haram melalui hidangan makanan yang haram dan juga bahagian halal melalui hidangan makanan halal.

Walau bagaimanapun, beliau wajib berusaha mengenal pasti bahagian harta hasil pekerjaan haram yang telah dilakukan dan mensucikannya dengan cara dibelanjakan untuk kegunaan umum umat Islam. Jika sukar ditentukan kadar haram dan halal secara tepat dan pasti, maka boleh disucikan harta tersebut secara separuh berdasarkan fatwa Syeikh Ibn Taimiyyah Rhm. berikut:

‌وَإِنِ ‌اخْتَلَطَ ‌الْحَلَالُ ‌بِالْحَرَامِ ‌وَجَهِلَ قَدْرَ كُلٍّ مِنْهُمَا جَعَلَ ذَلِكَ نِصْفَيْنِ

Maksudnya: “Sekiranya bercampur sumber halal dengan yang haram dan tidak diketahui secara pasti bahagian halal dan haram tersebut, maka bahagikan ia kepada dua; separuh halal dan separuh haram”.

(Rujuk: Majmu’ al-Fatawa, 29/307)

Sebagai nasihat dan saranan, pekerja tersebut wajib mencari pekerjaan lain yang 100% halal dan tidak mempunyai sebarang keraguan agar tidak terjebak dengan urusan yang bersubahat dengan kerja-kerja haram di sisi syarak. Di samping itu, ia lebih memberikan ketenangan kepada diri dan hati di samping keberkatan dalam hidup. Benarlah sabda Nabi SAW:

فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ

MaksudnyaBarangsiapa yang memelihara dirinya daripada sebarang syubhah maka sebenarnya dia telah menyelamatkan agama dan maruahnya.

Riwayat al-Bukhari (52)

Wallahu a’lam.

[1]  وَكَمَا ‌يَحْرُمُ ‌أَخْذُ ‌الْأُجْرَةِ ‌عَلَى ‌الْحَرَامِ يَحْرُمُ إعْطَاؤُهُ

Print