AL-KAFI #1876: BENARKAH KISAH NABI KHIDIR MEMINUM AIR MATA KEHIDUPAN (AIN AL-HAYAH)

ak_1876.JPG

 

Soalan

Assalamualaikum, benarkan Nabi Khidir AS hidup sehingga kini kerana Baginda meminum air mata kehidupan yang boleh memanjangkan umurnya dan apakah status kisah ini. Mohon penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Kisah Nabi Khidir AS bersama tentera Zulkarnain merupakan riwayat Israiliyyat sepertimana yang dijelaskan oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani di dalam Fath al-Bari. Namun dalam hal ini pendekatan yang boleh diambil ialah dengan tidak mempercayainya dan dalam masa yang sama tidak juga boleh menolaknya secara mutlak.

Huraian Jawapan

Nabi khidir atau nama sebenarnya Balya bin Mulkan bin Faligh bin ‘Amir bin Syaligh bin Arfakhsyad bin Sam bin Nuh AS. Menurut pandangan yang lain, nama Baginda ialah Khadrun bin ‘Umyayil bin al-Yafiz bin al-‘Aiz bin Ishaq bin Ibrahim al-Khalil. Dikatakan juga nama beliau Armaya bin Halqiya.[1] Menurut pandangan yang sahih nama Baginda Balya bin Mulkan sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Damiri di dalam karyanya dengan menukilkan pandangan Imam al-Sa’labi:

والأصح الذي نقله أهل السير وثبت عن النبي صلى الله عليه وسلم، كما قاله البغوي وغيره، إن اسمه بليا

Maksudnya: “Menurut pandangan yang lebih sahih yang menukilkan pandangan ulama sirah dan jelas daripada Nabi SAW, seperti yang disebutkan oleh Imam al-Baghawi dan selainnya bahawa nama Baginda adalah Balya”.[2]

Para ulama berbeza pandangan berkenaan kisah hidup atau kewafatan Nabi Khidir AS. Menurut jumhur ulama Nabi Khidir AS masih lagi hidup sehingga sekarang sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Minhaj:

جُمْهُورُ الْعُلَمَاءِ عَلَى أَنَّهُ حَيٌّ مَوْجُودٌ بَيْنَ أَظْهُرِنَا وَذَلِكَ مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ عِنْدَ الصُّوفِيَّةِ وَأَهْلِ الصَّلَاحِ وَالْمَعْرِفَةِ وَحِكَايَاتُهُمْ فِي رُؤْيَتِهِ وَالِاجْتِمَاعِ بِهِ وَالْأَخْذِ عَنْهُ وَسُؤَالِهِ وَجَوَابِهِ وَوُجُودِهِ فِي الْمَوَاضِعِ الشَّرِيفَةِ وَمَوَاطِنِ الْخَيْرِ أَكْثَرُ مِنْ أَنْ يُحْصَرَ وَأَشْهَرُ مِنْ ان يستر

Maksudnya: “Majoriti ulama berpendapat bahawa Khidir masih hidup dan ada di kalangan kita, dan ini juga pandangan yang disepakati di sisi ahli Sufi (Tasawwuf), ahli Salih, Ma’rifah dan kisah-kisah mereka pada melihatnya, berhimpun dengannya, mengambil pengajaran daripadanya dan bersoal jawab bersamanya dan kehadirannya di tempat-tempat yang mulia dan tempat-tempat yang baik terlalu banyak untuk dihitung dan terlalu mahsyur untuk dirahsiakan”.[3]

Dalam hal ini, terdapat pelbagai kisah dan pandangan yang diceritakan daripada para ulama. Kisah tentang persoalan riwayat hidup Nabi Khidir telah dibahaskan di dalam artikel yang bertajuk AL-AFKAR #114: PERMASALAHAN BERKENAAN ADAKAH NABI KHIDIR MASIH HIDUP SEHINGGA SEKARANG yang telah disiarkan di dalam laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.[4]

Manakala kisah hidup Nabi Khidir AS hidup sehingga sekarang kerana meminum Ain Hayah(air mata kehidupan) sepertimana yang diceritakan bahawa ketika Baginda AS bersama-sama pasukan tentera Zulkarnain dalam misi mencari Ain Hayah setelah Zulkarnain bertanya kepada malaikat berkenaannya. Ketika mereka sampai ke satu lembah yang gelap, Nabi Khidir merupakan orang yang mendahului yang lain dalam penemuan Ain al-Hayah lalu Baginda meminumnya. Namun Ain al-Hayah ini tidak dijumpai oleh Zulkarnain dan selainnya. Kisah ini dinyatakan oleh Imam Ibnu Kathir[5] dan Ibnu Hajar al-Asqalani dengan menukilkan kisah ini dengan riwayat Khaisamah bin Sulaiman melalui jalur sanad daripada Ja’far al-Sadiq daripada ayahnya:

أَنَّ ذَا الْقَرْنَيْنِ كَانَ لَهُ صَدِيقٌ مِنَ الْمَلَائِكَةِ فَطَلَبَ مِنْهُ أَنْ يَدُلَّهُ عَلَى شَيْءٍ يُطَوِّلُ بِهِ عُمُرَهُ فَدَلَّهُ عَلَى عين الْحَيَاة وَهِي دَاخل الظلمَة فَصَارَ إِلَيْهَا وَالْخَضِرُ عَلَى مُقَدِّمَتِهِ فَظَفِرَ بِهَا الْخَضِرُ وَلَمْ يَظْفَرْ بِهَا ذُو الْقَرْنَيْنِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Zulkarnain mempunyai sahabat dalam kalangan kalangan malaikat, lalu beliau bertanya kepadanya tentang sesuatu yang boleh memanjangkan umurnya. Kemudian malaikat menjelaskannya tentang “Ain al-Hayah” air mata kehidupan yang terletak di suatu tempat yang gelap lagi tersembunyi. Maka Zulkarnain (dan tenteranya) pergi mencarinya dan khidir yang terkehadapan dalam mencari lalu dia menemuinya namun Zulkarnain tidak menjumpai air mata itu”. [6]

Imam Ibnu Hajar menjelaskan bahawa status kisah Nabi Khidir AS yang meminum Ain al-Hayah(air mata kehidupan) merupakan kisah yang dinukilkan daripada kisah-kisah israilliyyat, ia juga disebutkan oleh Wahab bin Munabbih[7] dan selainnya.[8]

Dari sudut hukum, menjadikan kisah israiliyyat sebagai sumber dan menukilkannya adalah dengan tidak membenarkannya dalam masa yang sama tidak menolaknya. Hal ini sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA katanya, bahawasanya golongan ahli kitab membaca kitab taurat dalam bahasa ibrani lalu diterjemahkannya ke dalam bahasa arab dan disampaikan kepada masyarakat Muslim. Justeru itu, Nabi SAW bersabda:

‏لاَ تُصَدِّقُوا أَهْلَ الْكِتَابِ، وَلاَ تُكَذِّبُوهُمْ وَقُولُوا {آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا} وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْكُمْ الآيَةَ

Maksudnya: “Janganlah kamu membenarkan (kisah-kisah) dari ahli kitab dalam masa yang sama janganlah kamu menolak (kisah-kisah) mereka. Kemudian katakanlah: {Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (Al-Quran),} dan apa yang diturunkan kepada kamu”.

Riwayat al-Bukhari (7362)

Bagi menjelaskan lagi tentang status penerimaan riwayat Israiliyyat, Dr. Muhammad Syed Husain al-Zahabi telah membahagikannya kepada beberapa bahagian iaitu kisah yang dipastikan kesahihannya dan diceritakan secara jelas oleh Baginda SAW sepertimana kisah Nabi Musa bersama Khidir maka kisah tersebut diambil dan diterima. Selain itu, jika kisah yang diriwayatkan itu bertentangan dengan syarak atau tidak dapat diterima oleh akal maka riwayat tersebut hendaklah ditolak dan tidak boleh diriwayatkan. Terdapat juga riwayat israiliyyat yang dikategorikan dan diistilahkan sebagai al-Tawaqquf (para ulama tidak memberi apa-apa komentar dan penilaian terhadap riwayat tersebut) iaitu pendirian mereka tidak mempercayainya namun pada masa yang sama tidak menolaknya dan ia boleh diceritakan.[9]

Oleh itu kisah Nabi Khidir AS bersama tentera Zulkarnain merupakan riwayat Israiliyyat seperti mana yang dijelaskan oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani di dalam Fath al-Bari. Namun dalam hal ini pendekatan yang boleh diambil ialah dengan tidak mempercayainya bulat-bulat dan dalam masa yang sama tidak juga boleh menolaknya secara mutlak serta boleh diceritakan sebagai pengajaran selagi mana tidak bercanggah dengan syariat.

Wallahua’lam.  

 

[1] Abu al-Fida’ Ismail bin Umar bin Kathir al-Qurasyi, Qasas al-Anbiya’ (Kaherah: Dar al-Ta’lif, 1388H) 2/215

وَذَكَرَ ابْنُ قُتَيْبَةَ فِي الْمَعَارِفِ عَنْ وَهْبِ بْنِ مُنَبِّهٍ: أَنَّ اسْمَ الْخَضِرِ " بَلْيَا " وَيُقَالُ بليا بن ملكان ابْن فالغ بن عَامر بن شالخ بن أرفخشد ابْن سَامِ بْنِ نُوحٍ عَلَيْهِ السَّلَامُ. وَقَالَ إِسْمَاعِيلُ بْنُ أَبِي أُوَيْسٍ: اسْمُ الْخَضِرِ - فِيمَا بَلَغْنَا وَاللَّهُ أَعْلَمُ - الْمُعَمَّرُ بْنُ مَالِكِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ نَصْرِ بْنِ الْأَزْدِ. وَقَالَ غَيْرُهُ: هُوَ خضرون ابْن عمياييل بن اليفز بن الْعيص بن إِسْحَق بْنِ إِبْرَاهِيمَ الْخَلِيلِ. وَيُقَالُ هُوَ أَرَمَيَا بْنُ حَلْقِيَا، فَاللَّهُ أَعْلَمُ

[2] Muhammad bin Musa bin Isa bin Ali al-Damiri, Hayat Hayawan al-Kubra (Bairut: Dar al-Kutb al-‘Ilmiyyah, 1424H) 1/382

[3] Abu Zakaria Mahyu al-Din bin Syarf al-Nawawi al-Minhaj Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim (Bairut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi, 1392H) 15/135-136

[4] Rujuk artikel: https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-afkar/4693-al-afkar-114-permasalahan-berkenaan-adakah-nabi-khidir-masih-hidup-sehingga-sekarang

[5] Abu al-Fida’ Ismail bin Umar bin Kathir al-Qurasyi, al-Bidayah wa al-Nihayah (Bairut: Dar al-Fikr 1407H) 2/107

أَنَّ ذَا الْقَرْنَيْنِ كَانَ لَهُ صَاحِبٌ مِنَ الْمَلَائِكَةِ يُقَالُ لَهُ رَنَاقِيلُ فَسَأَلَهُ ذوالقرنين هَلْ تَعْلَمُ فِي الْأَرْضِ عَيْنًا يُقَالُ لَهَا عَيْنُ الْحَيَاةِ فَذَكَرَ لَهُ صِفَةَ مَكَانِهَا فَذَهَبَ ذُو الْقَرْنَيْنِ فِي طَلَبِهَا، وَجَعَلَ الْخَضِرَ عَلَى مُقَدَّمَتِهِ فَانْتَهَى الْخَضِرُ إِلَيْهَا فِي وَادٍ فِي أَرْضِ الظُّلُمَاتِ فَشَرِبَ مِنْهَا، وَلَمْ يَهْتَدِ ذُو الْقَرْنَيْنِ إِلَيْهَ

[6] Ahmad bin Ali bin Hajr Abu Fadl al-‘Asqalani, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari (Bairut: Dar al-Ma’rifah, 1379) 6/434

[7] Syamsuddin Abu Abdillah Muhammad bin Ahmad bin ‘Usman al-Zahabi, Siar A’alam al-Nubala’ (Muasasah al-Risalah, 1405H) 4/544-545

Wahab bin Munabbih merupakan Imam merupakan ahli sejarah. Nama beliau Abu Abdillah al-Anbawi al-Yamani al-Dimari al-San’ani. Beliau banyak meriwayatkan kisah Israeliyyat dari suhuf-suhuf para Ahli Kitab. Imam Ahmad menyebut bahawa beliau seorang yang mulia dari bangsa Parsi. Imam al-‘Ijliy, Abu Zur’ah dan al-Nasa’ie berpendapat bahawa beliau seorang yang thiqah

[8] Ibid, 8/415

وَلَعَلَّ هَذَا الْعَيْنَ إِنْ ثَبَتَ النَّقْلُ فِيهَا مُسْتَنَدُ مَنْ زَعَمَ أَنَّ الْخَضِرَ شَرِبَ مِنْ عَيْنِ الْحَيَاةِ فَخُلِّدَ وَذَلِكَ مَذْكُورٌ عَنْ وَهْبِ بْنِ مُنَبِّهِ وَغَيْرِهِ مِمَّنْ كَانَ يَنْقُلُ مِنَ الْإِسْرَائِيلِيَّاتِ

[9]  Dr. Muhammad al-Syed Husain al-Zahabi, Al-Tafsir wa al-Mufassirun (Cairo: Maktabah Wahbah, t.t) 1/130

القسم الأول: ما يُعلم صحته بأن نُقِل عن النبى صلى الله عليه وسلم نقلاً صحيحاً، وذلك كتعيين اسم صاحب موسى عليه السلام بأنه الخضر، فقد جاء هذا الاسم صريحاً على لسان رسول الله صلى الله عليه وسلم كما عند البخارى أو كان له شاهد من الشرع يؤيده. وهذا القسم صحيح مقبول. القسم الثانى: ما يُعلم كذبه بأن يناقض ما عرفناه من شرعنا، أو كان لا يتفق مع العقل، وهذا القسم لا يصح قبوله ولا روايته. القسم الثالث: ما هو مسكوت عنه، لا هو من قبيل الأول، ولا هو من قبيل الثانى، وهذا القسم نتوقف فيه، فلا نؤمن به ولا نُكذِّبه، وتجوز حكايته، لما تقدَّم من قوله صلى الله عليه وسلم: "لا تُصَدِّقوا أهل الكتاب ولا تُكَذِّبوهم، وقولوا آمنا بالله وما أُنِزلَ إلينا ... " الآية.