AL-KAFI #623 : POSISI DUDUK KETIKA TASYAHHUD AKHIR

Soalan :

Bagaimanakah posisi yang betul semasa kita duduk pada tahiyat akhir ? Mohon penjelasan.

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami ucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam dipanjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Di dalam isu ini, para fuqaha menyatakan bahawa terdapat dua jenis duduk yang dilakukan oleh seseorang ketika tahiyat akhir. Yang pertama adalah duduk tawarruk, dan keduanya adalah duduk secara iftirash.

Tawarruk bermaksud: Seseorang itu duduk dalam keadaan tapak kaki kanannya berdiri tegak, dan jari jemari kaki kanannya menghadap ke arah kiblat. Manakala kaki kirinya dilipat ke arah kaki kanan, dan dia meletakkan bahagian punggungnya di atas lantai atau tanah.

Manakala iftirash pula membawa erti: Seseorang itu duduk dengan meletakkan bahagian punggungnya di atas kaki kirinya. Manakala tapak kaki kanan itu ditegakkan jari jemarinya menghadap ke arah kiblat.

Duduk tawarruk adalah duduk yang disunatkan ketika tasyahhud akhir pada solat empat rakaat seperti Zohor dan Asar, demikian juga disunatkan pada solat tiga rakaat seperti solat Maghrib. Manakala duduk secara iftirash pula, ia disunatkan ketika duduk di antara dua sujud, ketika tasyhahhud awal bagi solat tiga rakaat dan empat rakaat, serta ketika tasyahhud akhir bagi solat dua rakaat seperti solat subuh, solat tahiyyatul masjid, dan selainnya daripada solat-solat sunat.

Di dalam mazhab Imam al-Syafie Rahimahullah, tokoh-tokoh besar mazhab ini berpendapat bahawa duduk secara tawarruk juga turut berlaku pada solat-solat dua rakaat.

Di dalam Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah (16/270) ada menyatakan beberapa pendapat fuqaha mazhab berkenaan cara duduk ketika tasyahhud yang kami nukilkan seperti berikut:

Pertama: Mazhab Hanafi:

Keadaan duduk bagi orang lelaki ketika tasyahhud adalah secara iftirash. Maka bagi orang perempuan pula adalah duduk secara tawarruk. Sama ada duduk tasyahhud awal ataupun tasyahhud akhir.

Kedua: Mazhab Malik:

Keadaan duduk ketika tasyahhud akhir adalah secara tawarruk. Mazhab ini juga turut berpandangan bahawa duduk tawarruk itu lebih didahulukan berbanding duduk iftirash.

Ketiga: Mazhab Al-Syafie

Para fuqaha Syafieyyah menjelaskan bahawa tidak ditentukan cara duduk untuk mengatakan bahawa dengannya dianggap sah. Maka cara duduk yang bagaimana pun dianggap sebagai sah. Akan tetapi yang sunnah ketika duduk semasa akhir solat adalah duduk tawarruk, dan duduk yang kedua itu adalah secara iftirash. Ini sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Al-Nawawi Rahimahullah : "Bahkan apa cara duduk yang mampu dilakukan adalah sah, sama ada secara tawarruk mahupun iftirash. Tetapi yang menepati sunnah adalah dengan duduk tawarruk pada akhir solat, dan duduk iftirash pada selainnya". Rujuk Al-Majmu' Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (1/429).

Mazhab Syafieyyah berpandangan bahawa di antara duduk tawarruk dan iftirash, terdapat padanya perincian. Iaitu jika ia solat dua rakaat, maka duduk tasyahhud itu adalah secara iftirash. Begitulah juga tasyahhud awal bagi solat-solat tiga dan empat rakaaat. Manakala bagi solat tiga dan empat rakaat, duduk pada tasyahhud akhir adalah secara tawarruk.

Keempat: Mazhab Hanbali

Golongan Hanabilah berpandangan bahawa keadaan duduk bagi orang lelaki semasa tasyahhud awal adalah secara iftirash, manakala semasa tasyahhud akhir adalah secara tawarruk.

Kesimpulan

Setelah kami menyebutkan beberapa pendapat di atas, kami cenderung kepada pandangan bahawa posisi duduk adalah secara tawarruk ketika tasyahhud akhir bagi solat tiga dan empat rakaat. Manakala bagi solat dua rakaat dan juga ketika tasyahhud awal bagi solat tiga dan empat rakaat, posisi duduk adalah secara iftirash.

Kami juga menyatakan, hendaklah diraikan juga keadaaan sekeliling semasa duduk tersebut. Sekiranya keadaan saf itu sempit, manakala duduk secara tawarruk ketika tasyahhud akhir itu hanya akan menyempitkan lagi ruang selain akan mengganggu jemaah yang berada di sebelahnya, maka pada ketika itu duduklah secara iftirash pada tasyahhud akhir. Semoga Allah S.W.T mengurniakan kepada kita kefahaman dalam beragama. Ameen.