BAYAN LINNAS SIRI KE-235: GENDER KETIGA MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

GENDER KETIGA MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

 

 

Mukadimah 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda, para sahabat, serta orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari akhirat. 

Pada 14 Jun 2021 telah timbul isu dimana Human Rights Commission of Malaysia (SUHAKAM) telah menyiarkan iklan untuk mencari penyelidik bagi kajian ‘The Research on Feasibility of Having Legislation on The Recognition of a Third Gender in Malaysia’. Iklan ini telah tersebar luas di media sosial dan mendapat tamparan hebat khususnya daripada rakyat Malaysia yang beragama Islam. Isu ini juga telah menimbulkan perdebatan serta perbincangan yang meluas disamping adanya kenyataan balas bahawa Islam hanya mengakui kewujudan gender lelaki dan perempuan sahaja, maka tiada istilah gender yang ketiga. Beberapa pihak kemudian telah membuat kenyataan bahawa kelompok transgender harus diiktiraf dan hukum Islam seharusnya tidak statik serta perlu mengikuti perkembangan dan zaman melalui dapatan-dapatan baru dalam ilmu sains dan perubatan.[1]

Kami percaya bahawa kajian mengenai third gender perlu diberi perhatian yang sewajarnya dari perspektif agama Islam. Apakah benar wujud third gender di dalam Islam selain lelaki dan perempuan? Adakah Islam mengiktiraf hak mereka untuk hidup aman dan damai sepertimana manusia lain yang biasa? Berikut kami utarakan perbincangan dalam isu ini.

 

Gender Ketiga Menurut Perspektif Barat

Gender menurut kamus Dictionary.com bermaksud kelas sosial yang dikenal pasti melalui perangai, psikologi dan konstruk sosial yang dibina serta berbeza daripada sekadar label jantina ‘lelaki’ dan ‘perempuan’.[2]  World Health Organization (WHO) pula membezakan antara gender dan seksualiti (jantina), di mana gender merupakan karakter yang dibina melalu konstruk sosial seperti didikan keluarga, pengalaman dalam masyarakat dan norma yang diterima dalam sesebuah kelompok. Konstruk sosial juga boleh berubah dari semasa ke semasa.[3] Contohnya, menjadi norma masyarakat di mana seorang anak perempuan akan diajar untuk bermain patung, manakala seorang anak lelaki akan diajar untuk hidup secara lasak. Maka aktiviti bermain patung itu akan membina konstruk sosial yang gendernya feminin, manakala perbuatan hidup secara lasak membina konstruk sosial yang gendernya maskulin. Jantina pula sebaliknya berbeza dengan genderJantina ditentukan melalui karakter biologi seperti alat reproduksi atau kelamin, kromosom dan hormon.[4]

Dalam satu sumber yang lain, dikatakan bahawa gender terbentuk dari pola hubungan dan interaksi yang berkembang dari semasa ke semasa untuk menentukan tahap maskuliniti dan feminin, yang mana diperoleh daripada aturan hubungan sosial dengan masyarakat. Pola ini tertanam dalam setiap aspek masyarakat seperti cara pemakaian, cara pergerakan dan kecenderungan.[5] Bahkan gender juga dipercayai sebagai spectrum dan bukannya seperti jantina yang binari 2 pilihan semata-mata. Spectrum menurut Collins English Dictionary bermaksud ruang luas diantara 2 titik mula dan akhir yang mempunyai pelbagai entiti, berbeza dengan binari yang terdiri daripada 2 entiti sahaja. Contoh daripada spectrum adalah ideologi yang wujud dalam politik; terdapat pelbagai ideologi politik seperti konservatif, liberal, sosialis, fascisme, monarki, anarki dan lain-lain. Gerakan LGBTQ juga menggunakan hujah spectrum ini untuk memberitahu kepada masyarakat bahawa gender terdiri daripada banyak entiti dan bukanlah hanya binari lelaki dan perempuan sahaja.[6]

Pengkelasan antara gender dan seksualiti (jantina) membawa kita kepada 2 konotasi golongan trans seperti berikut: 

1) Golongan pertama ialah golongan yang mempunyai alat kelamin lelaki tetapi berperwatakan seperti perempuan dan vice versa, ini dikenali sebagai transgender. 

2) Golongan kedua pula mengambil langkah yang lebih drastik iaitu menukar jantina secara terus dengan kaedah pembedahan, dan ini dikenali sebagai transeksual.

 

Gender Ketiga Menurut Perspektif Islam

Setiap manusia yang lahir ke atas dunia diciptakan dengan fitrah yang tersendiri. Fitrah adalah sesuatu yang bersifat suci kerana ianya merupakan aturan oleh Allah SWT dan bersifat semulajadi. Sesuatu yang bersifat semulajadi tidak boleh dianggap tidak rasional, tidak berhati perut dan lain-lain. Sebagai contoh, jika seekor haiwan memakan haiwan yang lain maka ianya adalah fitrah dan aturan semulajadi, tetapi jika manusia yang berbunuhan sesama sendiri maka ianya bukan fitrah.  Begitu juga fitrah manusia lahir sama ada sebagai lelaki ataupun perempuan, yang mana merupakan aturan semulajadi. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا

Maksudnya : “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)…”[7]

Namun begitu adanya manusia yang dilahirkan secara semulajadi mempunyai 2 alat kelamin lelaki dan wanita, yang mana dikenali di dalam Islam sebagai khunsa (خنثى). Khunsa pula terbahagi kepada khunsa musykil dan ghayru musykil, seperti yang pernah kami bincangkan pada artikel Irsyad al-Fatwa siri ke 407: ‘Hukum Mukhannas Masuk Tandas Perempuan’[8].

Khunsa menurut Kamus Dewan Edisi Keempat adalah individu yang mempunyai dua alat kelamin. Dalam perbahasan ahli fekah, Khunsa dibahagikan kepada dua jenis :

Namun begitu, Imam al-Nawawi menegaskan bahawa khunsa bukan jantina yang ketiga. Mereka ini tergolong sama ada lelaki atau wanita. Beliau menyebut :

فَمَذْهَبُنَا أَنَّهُ إمَّا رَجُلٌ وَإِمَّا امْرَأَةٌ وَلَيْسَ قِسْمًا ثَالِثًا

“Mazhab kami menentukan bahwa khunsa itu sama ada lelaki atau perempuan. Dia bukan jantina ketiga.”[11]

Disana juga adanya kelompok mukhannas, yang mana dikenalpasti di dalam hadith dan sejarah Islam sejak zaman Nabi Muhammad SAW. Sheikh Khalil Ahmad al-Sahranfuri menjelaskan mukhannas bermaksud seorang lelaki yang menyerupai wanita dalam tingkah laku, percakapan dan sifat. Kadang-kadang perbuatan tersebut dibuat-buat dan perkara inilah yang dilarang oleh Islam[12].

Dalam sebuah riwayat hadis, Ummu Salamah menceritakan :

‌أَنَّ ‌النَّبِيَّ ‌صَلَّى ‌اللهُ ‌عَلَيْهِ ‌وَسَلَّمَ ‌كَانَ ‌عِنْدَهَا ‌وَفِي ‌البَيْتِ ‌مُخَنَّثٌ فَقَالَ المُخَنَّثُ لِأَخِي أُمِّ سَلَمَةَ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي أُمَيَّةَ: إِنْ فَتَحَ اللَّهُ لَكُمُ الطَّائِفَ غَدًا أَدُلُّكَ عَلَى بِنْتِ غَيْلَان فَإِنَّهَا تُقْبِلُ بِأَرْبَعٍ وَتُدْبِرُ بِثَمَانٍ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَا يَدْخُلَنَّ هَذَا عَلَيْكُنَّ

Maksudnya : Pernah satu hari Nabi SAW berada di samping Ummu Salamah dan dalam masa yang sama terdapat seorang mukhannas di dalam rumah. Mukhannas itu berkata kepada saudara lelaki Ummu Salamah, Abdullah Bin Abu Umayah : Jika Allah memberikan kemenangan kepada kamu untuk menguasai Taif esok, saya akan tunjukkan kepada kamu seorang anak perempuan Ghaylan. Dia menghadap dengan empat lipat dan berpaling dengan lapan lipat (kerana gemuk). Nabi SAW bersabda : Jangan benarkan orang ini masuk bertemu kalian”.[13]

Ibn Battal menjelaskan bahawa Nabi SAW melarang orang lelaki yang mempunyai kecenderungan untuk  bertingkah laku seperti wanita (mukhannas) agar tidak masuk ke dalam rumah Baginda kerana ditakuti mereka akan menceritakan perihal wanita yang mereka lihat kepada lelaki yang lain[14]. Ini juga menunjukkan bahawa Nabi SAW menganggap mereka sebagai orang lelaki dan perlu bersikap sebagai lelaki serta mereka tertakluk dengan hukum-hakam sebagai seorang lelaki. 

Islam juga melarang seorang lelaki untuk menyerupai (tasyabbuh) seorang perempuan dan juga perempuan menyerupai lelaki. Perkataan tasyabbuh digunakan bagi menggambarkan perbuatan menyerupai sama ada ada dari sudut agama, perangai, atau tingkah laku. Pada asasnya, Islam melarang segala jenis penyerupaan antara lelaki dan perempuan. Ibn ‘Abbas RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda :

لَعَنَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‌المُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالمُتَرَجِّلَاتِ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya : “ Nabi SAW melaknat mukhannas (yang menyerupai perempuan) dari kalangan lelaki dan mutarajjil (yang menyerupai lelaki) dari kalangan perempuan.”[15]

Sheikh Badruddin al-‘Aini menjelaskan  hadis di atas dengan huraian yang cukup baik. Beliau menyatakan bahawa Allah melarang para lelaki untuk menyerupai wanita dari sudut pakaian dan perhiasan yang dikhususkan untuk mereka, begitu juga sebaliknya. Bahkan larangan ini juga terpakai pada penyerupaan dari sudut tingkah laku seperti seorang lelaki yang melakukan perubahan pada tubuh  atau menukar jantina agar menyerupai wanita dan sengaja bertingkah laku seperti wanita. Jika memang bersifat begitu sejak lahir pula, maka ianya perlu diubah secara berperingkat.[16]

 

Perkaitan Gender antara Barat dan Islam 

Gender dan jantina adalah berbeza mengikut perspektif Barat. Gender berpaksikan konstruk sosial dan perwatakan; di mana pengalaman dan masyarakat yang membentuk seorang anak itu. Boleh jadi seseorang itu anak lelaki, tetapi disebabkan adik beradiknya yang lain ialah perempuan maka kecenderungan untuk dia berperwatakan lemah lembut seperti perempuan adalah tinggi. Gender yang difahami oleh Barat ini boleh dikaitkan dengan kelompok mukhannas iaitu lelaki yang berperwatakan seperti wanita dan mutarajjilah bagi golongan wanita yang berperwatakan seperti lelaki. Jantina pula sebaliknya berpaksikan fitrah biologi; alat kelamin lelaki (zakar), atau alat kelamin perempuan (faraj). Walaupun khunsa dan mukhannas adalah antitesis kepada 2 jantina ini, tetapi khunsa adalah takdir Alllah SWT yang semulajadi bahkan sesetengah khunsa akan memilih satu alat kelamin kelak berdasarkan kecenderungan dan sifat ketika membesar, manakala mukhannas pula sememangnya mempunyai jantina yang khusus dan mempunyai satu alat kelamin. 

Sesetengah pihak termasuk gerakan LGBTQ mahu mengharmonikan keadaan dengan membawa naratif masyarakat perlu menerima gender yang pelbagai, mengatasi naratif jantina (lelaki dan perempuan). Bahkan ada yang berkata jantina yang pada asalnya fitrah perlu mengikut telunjuk gender yang bukan fitrah (konstruk sosial). Contohnya jika seseorang lelaki berperwatakan feminin, maka masyarakat harus menerima beliau sebagai seorang ‘perempuan’ kerana sifat dan karakter dalamannya serta tidak salah jika mahu mengubah alat biologi jantina daripada lelaki kepada perempuan untuk menyesuaikan diri dengan identiti gender tersebut.

Islam sebaliknya mengajar keharmonian dengan menghormati antara satu sama lain tanpa mengira bangsa, jantina dan kumpulan. Islam juga mengajar kepada kita bahawa gender (konstruk sosial dan perwatakan) yang sebenarnya perlu mengikuti telunjuk jantina. Kerana jantina adalah fitrah, manakala gender hanya pembentukan sosial dan karakter sahaja. Ini adalah berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW yang mengarahkan agar seorang mukhannas diasingkan daripada masuk ke tempat perempuan, kerana fitrah asalnya adalah lelaki. Hadis ini menunjukkan bahawa adanya nas yang melarang lelaki berperwatakan feminin daripada bergaul dengan golongan perempuan, serta menunjukkan rasionaliti bahawa karakter dan sifat dalaman seseorang perlu mengikuti fitrah jantina yang asal. Maka pemahaman yang mengatakan identiti gender atau sifat dalaman membolehkan seseorang itu hidup berbeza dengan jantina asalnya adalah salah dan dilarang dalam Islam.

 

Kesimpulan

Berdasarkan pengamatan di atas, kami percaya bahawa konsep transgender oleh Barat adalah sama dengan konsep mukhannas di dalam Islam. Namun begitu, tidak seharusnya untuk kita membawa idea yang boleh mengelirukan masyarakat seperti pengiktirafan gender dari segi undang-undang selain lelaki dan wanita. Walaupun mukhannas ada disebut dalam hadis tetapi klasifikasi asal manusia kepada lelaki dan perempuan tidak berubah dan segala aktiviti manusia adalah berasaskan dua jantina berkenaan dan dalam kes khunsa dan mukhannas syarak telah menggariskan kaedah menanganinya sebagaimana dihuraikan di atas. Kami bimbang usaha rekognisi gender ketiga dengan makna ada gender selain lelaki dan wanita akan membuka lagi ruang untuk transgender hidup dengan budaya yang tidak sihat. Bahkan lebih menakutkan tidak ada sekatan lagi untuk mereka menukar jantina secara terus menjadi transeksual. Kita harus sedar bahawa gender yang sepatutnya mengikut jantina dan bukan sebaliknya.

Masyarakat juga secara amnya perlu mengamati ajaran Islam yang menganjurkan untuk berbuat baik sesama manusia tanpa mengira jantina, kumpulan, bangsa dan agama. Kita juga dilarang untuk berbuat jahat dan melakukan diskriminasi terhadap orang lain, kerana setiap manusia mempunyai hak dan kebebasan untuk hidup. Kita juga disarankan untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik daripada kita dari segi penghormatan sebagai manusia, layanan yang baik, serta mempermudahkan urusan mereka dari segi akses kepada pendidikan, kesihatan, serta bantuan kewangan yang diperlukan. Segala-galanya telah digariskan oleh syarak melalui batas-batas tanggungjawab dan hak yang telah ditentukan dalam agama. Apa-apa kajian dan penyelidikan semasa untuk golongan khunsa dan mukhannas adalah semestinya dalam kerangka ini. Dengan cara ini, kita akan membina masyarakat yang lebih aman dan harmoni. Wallahua’lam.

 

 Nota Hujung 

[1] Surat Menjawab Kecaman Pas Terhadap Penyelidikan Gender Ketiga oleh Suhakam, Malaysiakini, https://www.malaysiakini.com/letters/579406diakses pada 20 Jun 2021

[2] English Dictionary.com, https://www.dictionary.com/browse/gender

[3] World Health Organization, Gender and Health, https://www.who.int/health-topics/gender#tab=tab_1, diakses pada 19 Jun 2021.

[4] Ibid

[5] Eckert, Penelope and McConnel Ginet, Sally, ‘Language and Gender’, Cambridge and New York: Cambridge University Press, hlmn 20.

[6] LGBT Foundation, Gender Spectrum and Non-Binary, https://lgbt.foundation/smirnoff/gender-spectrum,

diakses pada 20 Jun 2021.

[7] Surah al-Hujurat : 13

[8] https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/4134-irsyad-al-fatwa-siri-ke-407-hukum-mukhannas-masuk-tandas-perempuan

[9] Abu Zakariya al-Nawawi, Yahya bin Syaraf, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (t.t), Dar al-Fikr, Beirut, j.2 h.46. Beliau menyebut : الخنثى ضربان...

[10] Abu Zakariya al-Nawawi, Yahya Bin Syaraf, Raudhah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin (1991), al-Maktab al-Islami, Beirut, j.1 h.78 ; al-Suyuti, Abdurrahman Bin Abu Bakar, al-Asybah wa al-Nazair fi Qawaid wa Furu’ Fiqh al-Syafi’iyah (1983), Dar al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut, h. 241.

[11] Ibid.

[12] Al-Sahranfuri, Khalil Bin Ahmad, Bazl al-Majhud fi Sunan Abi Daud (2006), Markaz Sheikh Abu Hasan Ali al-Nadwi li al-Buhuth wa al-Dirasat al-Islamiyah, India, j.12 h.135.

[13] Ibid. j.7 h.37 no 5235.

[14] Ibid. j.7 h.361.

[15] Abu Abdullah al-Bukhari, Muhammad Bin Ismail, Sahih al-Bukhari (2001), Dar Tuq al-Najah, Beirut, j. 7 h.159 no 5886.

[16] Badruddin al-‘Aini, Mahmud Bin Ahmad, ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari (t.t), Dar Ihya’ Turath al-‘Arabiy, Beirut, j.22 h.41. Beliau menyebut : وَيدل على ذَلِك ذكر اللَّعْن فِي حَدِيث الْبَاب وتشبه الرِّجَال بِالنسَاء فِي اللبَاس والزينة الَّتِي تخْتَص بِالنسَاء مثل لبس المقانع والقلائد والمخانق والأسورة والخلاخل والقرط وَنَحْو ذَلِك مِمَّا لَيْسَ للرِّجَال لبسه، وتشبه النِّسَاء بِالرِّجَالِ مثل لبس النِّعَال الرقَاق وَالْمَشْي بهَا فِي محافل الرِّجَال وَلبس الأردية والطيالسة والعمائم وَنَحْو ذَلِك مِمَّا لَيْسَ لَهُنَّ اسْتِعْمَاله، وَكَذَلِكَ لَا يحل للرِّجَال التَّشَبُّه بِهن فِي الْأَفْعَال الَّتِي هِيَ مَخْصُوصَة بِهن كالانخناث فِي الْأَجْسَام والتأنيث فِي الْكَلَام وَالْمَشْي، وَأما من كَانَ ذَلِك فِي أصل خلقته فَإِنَّهُ يُؤمر بتكلف تَركه والإدمان على ذَلِك بالتدريج،