Irsyad al-Hadith Siri ke-41: Status doa berkenaan Rejab, Syaaban dan Ramadan

Soalan

Apabila memasuki bulan Rejab maka para imam atau ustaz akan selalu berdoa dengan doa ini. Apakah status doa ini:

 اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَارِكْ (وَبَلِّغْنَا) لَنَا فِي رَمَضَانَ

Maksudnya: “Ya Allah, Kau berkatilah kepada kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan Kau berkatikanlah (pertemukan kami dengan bulan Ramadhan) kepada kami pada bulan Ramadhan”.

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berdasarkan persoalan yang diajukan, pertamanya kami akan menyatakan daripada mana sumber doa itu diambil, adakah ia disebut di dalam kitab-kitab hadith ataupun sebaliknya:

 

Takhrij lafaz “doa” tersebut

Antara kitab-kitab yang menyebut lafaz doa seperti di atas adalah:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ رَجَبٌ، قَالَ: "اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَارِكْ لَنَا فِي رَمَضَانَ". وَكَانَ يَقُولُ: " لَيْلَةُ الْجُمُعَةِ غَرَّاءُ، وَيَوْمُهَا أَزْهَرُ".

Maksudnya: “Ya Allah, Kau berkatilah kepada kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan Kau berkatikanlah kepada kami pada bulan Ramadhan”. Baginda SAW bersabda lagi: “Malam Jumaat adalah mulia dan harinya terang benderang”. [Musnad Imam Ahmad, no. Hadith 2228]

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ رَجَبٌ قَالَ: "اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَلِّغْنَا شَهْرَ رَمَضَانَ". قَالَ: وَكَانَ يَقُولُ: "إِنَّ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ لَيْلَةٌ غَرَّاءُ، وَيَوْمَهَا يَوْمٌ أَزْهَرُ".

Maksudnya: “Ya Allah, Kau berkatilah kepada kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan Kau pertemukan kami dengan bulan Ramadhan”. Baginda SAW bersabda lagi: “Malam Jumaat adalah mulia dan harinya terang benderang”. [Ibn Sunni, Amal al-Yaum wa al-Lailah, 1:610, al-Baihaqi, Syu’ab al-Iman, 5:348, no. Hadith 3534, al-Bazzar, Musnad al-Bazzar, 13:117, no. Hadith 6496 dan Abu Nu’aim, Hilyah al-Awliya’, 6:269]

 

Ulasan ringkas

Berdasarkan hadith berikut, terdapat sedikit perbezaan antara riwayat pertama oleh Imam Ahmad dan juga riwayat yang kedua iaitu pada lafaz ( وَبَارِكْ لَنَا ) dan juga ( وَبَلِّغْنَا ) walaupun kedua-dua riwayat ini datang daripada jalur Anas bin Malik RA.

 

Hukum Hadith

Hadith ini dihukum dhaif pada sanadnya oleh para ulama’ hadith. Antaranya ialah:

 

Di dalam sanad hadith ini terdapat dua kecacatan sebagaimana yang dinyatakan oleh ahli hadith:

 

 

Tarjih

Setelah kami melihat dan menekuni pendapat para ulama’ berkaitan kesahihan hadith ini, maka cenderung untuk mengatakan bahawa hadith ini sanadnya teramat lemah kerana padanya terdapat dua orang perawi yang bermasalah serta dalam masa yang sama kita tidak boleh menyandarkannya kepada Rasulullah SAW. Walaubagaimanapun, matan atau teks hadith tersebut tidak mempunyai masalah jika kita ingin berdoa dengannya. Ini kerana di dalam berdoa, kita dituntut untuk berdoa dan meminta apa sahaja kepada Allah SWT selagimana perkara yang diminta itu tidak bertentangan dengan syariat Islam.

 

Penutup

Sebagaimana yang kita ketahui, Islam sangat menuntut kita agar sentiasa berdoa dalam apa jua keadaan sekalipun, berdasarkan firman Allah SWT dan hadith-hadith Nabi SAW. Lebih-lebih lagi pada waktu yang mustajab untuk berdoa atau pada bulan-bulan yang mempunyai kelebihannya yang tertentu seperti bulan Ramadhan. Akhirnya, semoga Allah SWT menerima dan memakbulkan doa kita dan memberi kita peluang untuk berada di dalam bulan Ramadhan yang akan datang. Amin.

 

Wallahua'lam.