IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 525: KEFAHAMAN HADIS “SESIAPA YANG SOLAT SUBUH MAKA DIA DALAM JAMINAN ALLAH SWT”

KEFAHAMAN_HADIS_SESIAPA_YANG_SOLAT_SUBUH_MAKA_DIA.png

Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya apakah maksud dan tafsiran hadis ini kerana ayat terakhir hadis ini tidak saya fahami. Apa yang saya faham, Allah SWT menjanjikan keselamatan kepada orang yang menunaikan solat Subuh berjemaah, namun kenapa dikaitkan dengan dilemparkan ke dalam neraka. Sekian.

Anas b. Sirin reported: I heard Jundab b. Qasri saying that the Messenger of Allah (peace be upon him) said: He who observed the morning prayer (in congregation), he is in fact under the protection of Allah and it never happens that Allah should make a demand in connection with the protection (that He guarantees and should not get it) for when he asks for anything in relation to His protection, he definitely secures it. He then throws him flatly in the Hell-fire. (Narrated by Muslim)

Ringkasan Jawapan

Hadis ini mengkhabarkan berkenaan kelebihan solat subuh iaitu sesiapa yang menunaikan solat subuh maka dia akan berada dalam perlindungan Allah SWT. Maka tidak boleh sesiapapun mengancam dan memberi kecelakaan pada dirinya. Sesiapa yang melakukan hal tersebut (mengancam), maka Allah akan menuntut (membalas pelaku itu) dengan hak (orang yang mengerjakan solat tersebut) dan sesiapa yang dituntut oleh Allah, tidak ada jalan keluar dan tempat lari (untuk pelaku itu).

Huraian Jawapan

Kebanyakan terjemahan hadis ini diterjemahkan secara perkataan demi perkataan. Oleh itu, penting untuk melihat kepada kitab-kitab syarah hadis dalam menterjemahkan sesuatu hadis. Hal ini kerana, untuk mendapatkan gambaran yang jelas berkenaan sesuatu hadis. Berdasarkan penelitian terhadap beberapa syarahan bagi hadis berkenaan maka terjemahan yang lebih tepat adalah seperti berikut:

Jundab bin Abdullah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى صَلَاةَ الصُّبْحِ فَهُوَ فِي ذِمَّةِ اللهِ، فَلَا يَطْلُبَنَّكُمُ اللهُ مِنْ ذِمَّتِهِ بِشَيْءٍ، فَإِنَّهُ مَنْ يَطْلُبْهُ مِنْ ذِمَّتِهِ بِشَيْءٍ يُدْرِكْهُ، ثُمَّ يَكُبَّهُ عَلَى وَجْهِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ

Maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan solat subuh maka dia berada dalam jaminan Allah. Allah tidak sesekali menggugurkan daripada jaminan-Nya dengan sesuatu. Oleh yang demikian, sesiapa yang menggugurkan daripada dirinya jaminan Allah, pasti dia akan mendapatkannya (balasan). Kemudian wajahnya akan ditelangkupkan dalam Neraka.”

Riwayat Muslim (657)

Hal ini sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh Muhammad al-Amin al-Harari. (Rujuk al-Kawkab al-Wahhaj Syarh Sahih Muslim, 9/108)

Secara umumnya hadis ini menceritakan berkenaan kelebihan solat subuh iaitu sesiapa yang menunaikan solat subuh maka dia akan berada dalam perlindungan keamanan di sisi Allah SWT. Maka, tidak ada sesiapa yang boleh memberi ancaman dan kecelakaan kepadanya.

Oleh itu, Syeikh Abu al-Abbas al-Qurtubi ketika mensyarahkan hadis ini beliau menyebutkan bahawa:

وقوله من صلّى الصبح فهو في ذمّة الله؛ أي في أمان الله وفي جواره، أي قد استجار بالله تعالى والله تعالى قد أجاره، فلا ينبغي لأحد أن يتعرض له بضر أو أذى، فمن فعل ذلك فالله يطلب بحقه، ومن يطلبه لم يجد مفرًّا ولا ملجأ، وهذا وعيد شديد لمن يتعرض للمصلين وترغيب في حضور صلاة الصبح، ويكبه في النار يقلبه فيها على وجهه

Maksudnya: Sabda Nabi SAW “Sesiapa yang menunaikan solat subuh maka dia dalam perlindungan Allah”. Perkara ini bermaksud dia berada dalam perlindungan keamanan di sisi Allah. Maka tidak boleh sesiapapun mengancam dan memberi kecelakaan pada dirinya. Sesiapa yang melakukan hal tersebut (mengancam), maka Allah akan menuntut (membalas pelaku itu) dengan hak (orang yang mengerjakan solat tersebut) dan sesiapa yang dituntut oleh Allah, tidak ada jalan keluar dan tempat lari (untuk pelaku itu). Ini merupakan janji yang pedih bagi sesiapa yang mengancam/memerangi orang yang mengerjakan solat, serta galakan untuk hadir mengerjakan solat subuh. Allah akan melontarnya (pelaku itu) dan membalikkannya ke dalam neraka.

(Rujuk al-Mufhim lima Asykala min Talkhis Kitab Muslim, 2/282)

Kesimpulan

Berdasarkan hadis di atas, sesiapa yang menunaikan solat subuh maka dia akan berada dalam perlindungan Allah SWT. Oleh itu, tidak boleh sesiapapun mengancam dan memberi kecelakaan pada dirinya. Sesiapa yang melakukan hal tersebut (mengancam), maka Allah akan menuntut (membalas pelaku itu) dengan hak (orang yang mengerjakan solat tersebut) dan sesiapa yang dituntut oleh Allah, tidak ada jalan keluar dan tempat lari (untuk pelaku itu). Wallahua’lam

Print