IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-536: WAHAI ALI! KAMU SEPERTI NABI ISA

ih536

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Saya harap saya tak menganggu ustaz. Saya ada persoalan. Saya pernah dengar satu hadis dalam ceramah yang sebut Nabi samakan Saidina Ali RA macam Nabi Isa AS.  Apakah sumber hadis ini ustaz? Mohon pencerahan ustaz.

Ringkasan jawapan :

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Nasaie (w.303 H) dalam kitab al-Sunan al-Kubra dan Khasais ‘Ali (kelebihan Ali),  Ibn Abi ‘Asim (w.287 H) di dalam karya beliau al-sunnah, Abu Sa’id Ibn al-‘Arabi (w.340 H) di dalam kitab al-Mu’jam, al-Hakim al-Nisaburi (w.405 H) di dalam al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain, Ibn al-Maghazili (w.483 H) di dalam kitab Manaqib Ali, Imam Al-Aajuri (w.360 H) di dalam kitab beliau al-Syari’ah. Ia juga turut diriwayatkan oleh al-Bazzar dalam al-Bahr al-Zakhar.

Hadis ini juga dengan makna yang hampir sama oleh Ibn al-Jauzi (w.597 H) di dalam al-‘Ilal al-Mutanahiyah fi al-Ahadith al-Wahiyah dan Ibn Hibban(w.354 H) di dalam al-Majruhin min al-Muhaddithin wa al-Dhu’afa wa al-Matrukin.

Justeru, hadis ini adalah hadis munkar disebabkan beberapa sebab :

Tidak dinafikan bahawa Saidina Ali RA adalah antara sahabat yang paling hampir dengan Nabi SAW. Beliau adalah antara Khulafa Rasyidin dan merupakan sahabat yang dijanjikan syurga oleh Nabi SAW. Bahkan banyak kelebihan beliau yang disebutkan oleh Nabi SAW seperti mana di dalam hadis-hadis yang sahih.

Huraian jawapan :

Matan asal hadis tersebut adalah seperti berikut :

قَالَ لِي النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:  فِيكَ مَثَلٌ مِنْ عِيسَى أَبْغَضَتْهُ الْيَهُودُ حَتَّى بَهَتُوا أُمَّهُ ‌وَأَحَبَّتْهُ ‌النَّصَارَى ‌حَتَّى ‌أَنْزَلُوهُ بِالْمَنْزِلَةِ الَّتِي لَيْسَ بِهِ

Maksudnya : “ Ali berkata : Nabi SAW bersabda kepada saya : Kamu seumpama Isa. Orang Yahudi membenci Baginda sehingga mereka sanggup memfitnah ibu Baginda (melakukan perbuatan terkutuk) manakala orang Nasrani pula mencintai Baginda sehingga meletakkan Baginda di kedudukan yang tidak selayaknya bagi Baginda.”

Hadis ini diriwayatkan dalam beberapa kitab hadis. Antaranya Imam al-Nasaie (w.303 H) dalam kitab al-Sunan al-Kubra[1]. Beliau menukilkan sanad dan matan seperti berikut :

أخبرنا محمد بن عبد الله بن المبارك قال: حدثنا يحيى بن معين قال: حدثنا أبو حفص الأبار عن الحكم بن عبد الملك، عن الحارث بن حصيرة، عن أبي صادق، عن ربيعة بن ناجد عن علي قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: يا علي فيك مثل من عيسى، أبغضته يهود حتى بهتوا أمه، ‌وأحبته ‌النصارى حتى أنزلوه بالمنزل الذي ليس به

“Muhammad bin Abdullah bin al-Mubarak telah memberitahu kepada kami, beliau berkata : Yahya bin Ma’in telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Abu Hafs al-Abar telah menceritakan kepada kami, beliau meriwayatkan daripada al-Hakam bin Abdul Malik daripada al-Harith bin Hasirah daripada Abu al-Sadiq daripada Rabi’ah bin Najid daripada Ali, beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda : “Wahai Ali! Kamu seumpama Isa. Orang Yahudi membenci Baginda sehingga mereka sanggup menuduh ibu Baginda (melakukan perbuatan terkutuk) manakala orang Nasrani pula mencintai Baginda sehingga meletakkan Baginda di kedudukan yang tidak selayaknya bagi Baginda.”

Beliau juga menukilkan hadis ini di dalam kitab Khasais Ali[2] dengan sanad dan matan yang sama. Ibn Abi ‘Asim (w.287 H) juga turut meriwayatkan hadis ini di dalam karya beliau al-sunnah dengan jalan periwayatan al-Hakam bin Abdul Malik daripada al-Harith bin Hasirah daripada Abi Sadiq daripada Rabi’ah Bin Najid daripada Ali RA[3].

Abu Sa’id Ibn al-‘Arabi (w.340 H) juga meriwayatkan hadis ini dalam kitab al-Mu’jam[4]. Beliau menukilkan sanad dan matan seperti berikut  :

نا علي بن عبد العزيز نا أبو غسان نا الحكم بن عبد الملك عن الحارث بن حصيرة عن علي بن أبي طالب قال: دعاني رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال: يا علي إن فيك من عيسى مثلا أبغضته يهود حتى بهتوا أمه، ‌وأحبته ‌النصارى حتى أنزلوه بالمنزل الذي ليس به قال علي: وإنه يهلك في محب مفرط، ومبغض مفرط يحمله على أن يبهتني، ألا وإني لست بنبي، ولا يوحى إلي، ولكن أعمل بكتاب الله فما أمرتكم من طاعة بحق، عليكم طاعتي فيما أحببتم وكرهتم وما أمرتكم به أو غيري من معصية الله فلا طاعة في معصية الطاعة في المعروف الطاعة في المعروف

“Ali bin Abdul Aziz telah memberitahu kami, beliau berkata : Abu Ghassan telah memberitahu kami, beliau berkata : al-Hakam bin Abdul Malik telah menceritakan kepada kami, beliau meriwayatkan daripada al-Harith bin Hasirah daripada Ali bin Abi Talib, beliau berkata : Rasulullah SAW memanggil saya lalu Baginda bersabda : Wahai Ali, kamu seperti Isa. Orang Yahudi marah sehingga menuduh ibunya. Manakala orang Nasrani pula mencintainya sehingga meletakkan Baginda di kedudukan yang tidak selayaknya bagi Baginda. Ali berkata : Orang yang mencintai secara melampau akan binasa. Orang yang membenci secara melampau akan menyebabkan dia menuduh saya dengan tuduhan palsu. Ketahuilah bahawa saya bukan Nabi dan tidak diberikan apa-apa wahyu kepada saya. Akan tetapi saya beramal dengan Al-Quran.Apa yang saya perintahkan kepada kalian adalah ketaatan dengan cara benar. Kamu wajib mentaati saya dalam perkara yang kamu suka atau benci. Saya tidak memerintahkan kalian atau diri saya sendiri melakukan maksiat. Tiada ketaatan pada perkara maksiat dan ketaatan hanya pada perkara kebaikan.”

Lafaz yang dinukilkan oleh Abu Sa’id Ibnu al-‘Arabi turut diriwayatkan oleh al-Hakim al-Nisaburi (w.405 H) di dalam al-Mustadrak. Beliau meriwayatkan hadis ini juga melalui periwayatan al-Hakam Bin Abdul Malik daripada al-Harith bin Hasirah daripada Abi Sadiq daripada Rabi’ah Bin Najid daripada Ali RA[5]. Ibn al-Maghazili (w.483 H) di dalam kitab beliau Manaqib Ali[6] juga meriwayatkan dengan jalan periwayatan yang sama. Imam Al-Aajuri (w.360 H) juga menukilkan perkara yang sama di dalam kitab beliau al-Syari’ah[7].

Imam al-Bukhari (w.256 H) turut memuatkan hadis ini di dalam kitab al-Tarikh al-Kabir dengan sanad yang sama[8] melalui nukilan Malik bin Ismail. Perkara yang sama dinukilkan oleh Ibnu ‘Asakir (w.571 H) di dalam Tarikh Dimasyq[9].

Perbincangan sanad

Jika diteliti kesemua sanad ini tertumpu kepada al-Hakam bin Abdul Malik. Beliau meriwayatkan daripada al-Harith bin Hasirah daripada Abi Sadiq daripada Rabi’ah Bin Najid daripada Ali RA. Beliau dikritik oleh ulama hadis. Imam al-Nasaie mengkritik hafalan al-Hakam. Beliau menyebut :

‌الحكم ‌بن ‌عبد ‌الملك ليس بالقوي

“al-Hakam bin Abdul Malik bukan perawi yang kuat (hafalan).”[10]

Imam Yahya bin Ma’in turut mengkritik al-Hakam. Beliau menyatakan beliau tiada kelayakan dalam periwayatan hadis[11]. Tambahan pula, Abu Hatim mengkritik al-Hakam dengan begitu keras. Beliau menyatakan :

الحكم بن عبد الملك مضطرب الحديث جدا وليس بقوي في الحديث

“al-Hakam bin Abdul Malik terlalu banyak kekeliruan dalam periwayatan hadis dan tidak kuat (hafalan) dalam periwayatan.”[12]

Ibn Hibban juga mengritik kredibiliti al-Hakam dalam periwayatan hadis. Beliau mengatakan bahawa al-Hakam banyak bersendirian meriwayatkan hadis daripada perawi thiqah.[13]

Bahkan satu perkara yang menunjukkan kelemahan al-Hakam bin Abdul Malik adalah beliau menggugurkan perawi antara al-Harith dan Ali RA. Sedangkan dalam riwayat lain, beliau menyatakan perawi-perawi yang berada di antara al-Harith dan Ali RA. Perkara ini menunjukkan bahawa beliau tidak konsisten dalam periwayatan. Tidak konsisten dalam periwayatan adalah tanda sanad bermasalah.

Namun begitu, dalam riwayat hadis ini, al-Hakam bin Abdul Malik tidak bersendirian meriwayatkan hadis ini. Riwayat beliau daripada al-Harith bin Hasirah disokong (mutaba’at) oleh riwayat Muhammad bin Kathir al-Mulaie. Riwayat ni dinukilkan oleh al-Bazzar (w.292 H) di dalam al-Musnad[14]. Beliau menukilkan sanad seperti berikut :

حدثنا الحسن بن يونس الزيات قال: نا محمد بن كثير الملائي قال: نا الحارث بن حصيرة عن أبي صادق عن ربيعة بن ناجد عن علي بن أبي طالب رضي الله عنه

“al-Hasan bin Yunus al-Zayyat telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Muhammad bin Kathir al-Mulaie telah memberitahu kami, beliau berkata : al-Harith bin Hasirah telah memberitahu kami, beliau meriwayatkan daripada Abu Sadiq daripada Rabi’ah bin Najid daripada Ali bin Abi Talib RA…”

Abu Ishak Muhammad bin Kathir al-Mulaie al-Qurasyi adalah antara perawi yang meriwayatkan hadis daripada al-Harith bin Hasirah[15]. Beliau banyak dikritik oleh para ulama hadis. Imam al-Bukhari  menyatakan bahawa Muhammad bin Kathir banyak melakukan kesilapan dalam meriwayatkan hadis. Beliau  berkata :

منكر الحديث.

“Banyak melakukan kesilapan dalam periwayatan hadis.”[16]

Abu Hatim meninggalkan periwayatan beliau sehingga beliau mengatakan bahawa beliau akan mengoyakkan periwayatan hadis Muhammad Bin Kathir. Ini adalah seperti mana yang dinukilkan oleh anak beliau sendiri, Ibn Abi Hatim. Perkara ini merupakan satu petanda bahawa Abu Hatim meninggalkan riwayat hadis Muhammad bin Kathir[17].

Selain daripada itu, hadis ini juga diriwayatkan daripada Ali melalui jalan periwayatan yang lain iaitu riwayat Isa bin Abdullah bin Muhammad bin Ali daripada ayahnya daripada datuknya daripada Ali RA. Riwayat ini dinukilkan oleh Ibn al-Jauzi dalam kitab al-‘Ilal al-Mutanahiyah[18] dan Ibn Hibban dalam kitab al-Majruhin[19]. Mereka meriwayatkan dengan lafaz :

جئت رسول الله صلى الله عليه وسلم يوما في ملأ من قريش فنظر إلي وقال: يا علي إنما مثلك في هذه الأمة كمثل عيسى بن مريم أحبه قوم فأفرطوا فيه وأبغضه قوم فأفرطوا فيه

“Pada satu hari, saya pergi bertemu Rasulullah SAW yang sedang berada di tengah-tengah pemimpin Quraisy. Lantas Baginda memandang saya dan bersabda : Wahai Ali! Dalam kalangan umat ini, kamu seperti Isa bin Maryam. Ada kumpulan yang mencintai Baginda dan melampau dalam mencintainya. Ada pula kumpulan yang membenci Baginda dan melampau dalam membenci.”

Dalam sanad hadis ini terdapat Isa bin Abdullah. Beliau juga merupakan perawi yang dikritik oleh para ulama hadis. Abu Hatim menjelaskan beliau :

لم يكن بقوي الحديث

“Isa bin Abdullah bukan perawi yang kuat (hafalan) hadis.”[20]

Ibnu Hibban mengatakan bahawa beliau banyak meriwayatkan hadis-hadis daripada ayah beliau secara palsu. Riwayat hadis beliau tidak boleh digunakan sebagai hujah. Beliau juga banyak melakukan kesilapan sehingga meriwayatkan hadis palsu[21].

Justeru, hadis ini adalah hadis munkar disebabkan beberapa sebab :

Tidak dinafikan bahawa Saidina Ali RA adalah antara sahabat yang paling hampir dengan Nabi SAW. Beliau adalah antara Khulafa Rasyidin dan merupakan sahabat yang dijanjikan syurga oleh Nabi SAW. Abdurrahman bin ‘Auf meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

‌أبو ‌بكر ‌في ‌الجنة وعمر في الجنة وعثمان في الجنة وعلي في الجنة وطلحة في الجنة والزبير في الجنة وعبد الرحمن بن عوف في الجنة وسعد في الجنة وسعيد في الجنة وأبو عبيدة بن الجراح في الجنة

Maksudnya : “Abu Bakar di syurga, Umar di syurga, Uthman di syurga, Ali di syurga, Talhah bin Ubaidullah di syurga, al-Zubair bin al-Awwam di syuga, Abdurrahman bin ‘Auf di syurga, Sa’ad di syurga, Sa’id di syurga dan Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah

NOTA HUJUNG:

[1] Abu Abdurrahman, Ahmad Bin Syuaib al-Nasaie, al-Sunan al-Kubra (2001), Muassasah al-Risalah, Beirut, j.7 h.446 no. 8434.

[2] Abu Abdurrahman al-Nasaie, Ahmad bin Syu’aib, Khasais ‘Ali (1985), Maktabah al-Mu’alla, Kuwait, h.121 no. 103.

[3] Abu Bakar bin Abi ‘Asim, Ahmad bin ‘Amru, al-Sunnah (1980), al-Maktab al-Islamiy, Beirut,j.2 h.484 no. 1004. Beliau berkata : ثنا محمد بن إدريس أبو حاتم حدثنا أبو غسان ثنا الحكم بن عبد الملك، عن الحارث بن حصيرة عن أبي صادق عن ربيعة بن ناجد عن علي رضي الله عنه قال: دعاني رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال:  يا علي إن فيك من عيسى مثلا: أبغضته يهود حتى بهتوا أمه ‌وأحبته ‌النصارى حتى أنزلته بالمنزلة التي ليس بها

[4]

[5] Abu Abdullah al-Hakim, Muhammad Bin Abdullah, al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain (1990), Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah, Beirut, j.3 h.132 no. 4622.

[6] Ibn al-Maghazili, Ali bin Muhammad, Manaqib Amir al-Mu’minin Ali Bin Abi Talib (2003), Dar al-Athar, Sanaa, h.124 no.104.

[7] Abu Bakar Al-Aajuri, Muhammad bin al-Husain, al-Syariah (1999), Dar al-Watan, Riyadh, j. 5 h.2531.

[8] Abu Abdullah, Muhammad bin Ismail, al-Tarikh al-Kabir (2019), al-Nasyir al-Mutamayyiz, Riyadh,j.4 h.176

[9] Ibn ‘Asakir, Ali bin al-Hasan, Tarikh Dimasyq (1995), Dar al-Fikr, Beirut, j.42 j.293.

[10] Abu Abdurrahman al-Nasaie, Ahmad bin Syu’aib, al-Dhu’afa wa al-Matrukin (1976), Dar al-Wa’i, Aleppo, h.30

[11] Ibn Abi Hatim, Abdurrahman Bin Muhammad, al-Jarh wa al-Ta’dil (1952), Dairah Ma’arif al-Uthmaniyah, India, j.3 h.122.

[12] Ibid.

[13] Ibn Hibban, Muhammad bin Hibban, al-Majruhin min al-Muhaddithin wa al-Dhu’afa wa al-Matrukin (1976), Dar al-Wa’i, Aleppo, j.1 h.248. Beliau menyatakan : ينفرد عن الثقات بما لا يتابع عليه حتى أكثر منه

[14] Abu Bakar al-Bazzar, Ahmad bin ‘Amr, al-Bahr al-Zakhar (2009), Maktabah al-‘Ulum wa al-Hikam, Madinah Munawwarah, j.3 h.11.

[15] Abu Jaafar al-‘Uqaili, Muhammad bin ‘Amr, al-Dhu’afa al-Kabir (1984), Dar al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut, j.4 h.129.

[16] Ibid. j.1 h.575

[17] Ibid. j.8 h.68-69. Ibn Abi Hati berkata :  سألت أبي عن محمد بن كثير الذي يحدث عن ليث والحارث بن حصيرة فقال: خرقنا حديثه ولم نرضه 

[18] Abu al-Farj Ibn al-Jauzi, Abdurrahman bin Ali, al-‘Ilal al-Mutanahiyah fi al-Ahadith al-Wahiyah (1981), Idarah al-Ulum al-Athariyah, Pakistan, j.1 h.224.

[19] Ibid. j.2 h.122

[20] Ibid. j.6 h.280

[21] Ibid. j.2 h.121-122. Beliau menyebut : يروي عن أبيه عن آبائه أشياء موضوعة لا يحل الاحتجاج به كأنه كان يهم ويخطيء حتى كان يجيء بالأشياء الموضوعة عن أسلافه