IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-550: PENCERAHAN KEFAHAMAN ISTILAH KEPALA WANITA SEPERTI BONGGOL UNTA DALAM HADIS

BONGGOL.jpg

Soalan

Assalamualaikum admin, bolehkah jelaskan maksud hadis yang sebut tentang larangan memakai pakaian seperti sanggul bonggol unta bagi wanita? Adakah jika terdapat sedikit benjolan pun dah termasuk dalam larangan tersebut? Mohon penjelasan.

Ringkasan Jawapan

Maksud “kepala mereka seperti bonggol unta yang senget” dari dalam hadis boleh difahami dalam dua bentuk. Pertama, sanggul itu bukan daripada rambut tetapi adalah daripada lilitan kain tudung atau serban yang terletak di atas kepala ataupun sedikit senget. Bahkan, terdapat tambahan huraian oleh Majid al-Humawi bahawa sanggul itu juga merujuk kepada fesyen rambut yang terdapat pada zaman ini. Kedua, sanggul itu dibuat terus daripada rambut sehingga nampak tinggi di atas kepala. Bentuk pertama dan kedua menunjukkan kedudukan sanggul tersebut di atas kepala bukannya di bahagian belakang kepala. Bahkan, termasuk juga fesyen rambut wanita zaman ini yang berbentuk tinggi yang melampau sehingga nampak seperti bonggol unta.

Maka, lebih tepatnya larangan tersebut ditujukan kepada golongan yang sanggulnya di bahagian atas kepala bukannya di belakang kepala dan termasuk juga fesyen rambut atau sanggul yang melampau pada zaman ini. Jika hanya membuat ikatan sanggul rambut disebabkan rambutnya yang panjang dan kemudiannya memakai tudung dan ternampak sedikit bentuk sanggul yang menjadi kebiasaan masyarakat di Malaysia maka ia dibolehkan. Islam menggalakkan umatnya memulakan setiap perbuatan dengan niat yang baik agar perbuatan itu terpandu dengan sebaiknya oleh Allah SWT.

Huraian Jawapan

Hadis yang dimaksudkan dalam persoalan di atas adalah hadis yang terdapat dalam Sahih Muslim. Imam Muslim meriwayatkan hadis ini melalui jalur Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيلَاتٌ مَائِلَاتٌ رُءُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ لَا يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ وَلَا يَجِدْنَ رِيحَهَا وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا

Maksudnya: Dua golongan daripada penghuni neraka yang belum pernah aku melihatnya lagi iaitu satu kaum yang memegang cemeti seperti ekor lembu untuk mereka memukul manusia dengannya dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang (memakai pakaian tetapi tidak menutup aurat dengan sempurna), yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepadanya (mengoda lelaki ke arah melakukan zina). Kepala mereka mempunyai sanggul seperti bonggol unta yang senget (supaya orang kagum kepada mereka). Mereka tidak akan dapat masuk syurga dan tidak akan menghidu baunya walaupun bau syurga itu mampu untuk dihidu dari jarak perjalanan tertentu.[1]

Riwayat Muslim (2128)

Berpandukan kepada hadis di atas, terdapat dua golongan yang tidak akan mauk ke syurga Allah SWT iaitu:

Dalam perbincangan kali ini, fokus akan diberikan kepada golongan kedua iaitu wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang dengan maksud mereka tidak menutup aurat dengan sempurna. Rentetan daripada perbuatan tersebut akhirnya membawa kepada kemungkaran yang lebih besar. Selepas dinyatakan golongan tersebut lalu disebutkan pula dalam hadis bahawa kepala mereka mempunyai sanggul seperti bonggol unta yang senget. Justeru, untuk memahami kiasan ini memerlukan kepada huraian dan syarahan daripada para ulama hadis.

Dalam hal ini, Imam al-Nawawi memberikan tajuk bab kepada hadis ini dengan nama (النساءالكاسيات العاريات المائلات المميلات) yang bermaksud bab wanita-wanita berpakaian tetapi telanjang yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan menarik perhatian orang lain kepadanya.[2] Imam al-Nawawi mensyarahkan perihal sanggul seperti bonggol unta dalam hadis ini dengan berkata:

ومعنى رؤوسهن كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ أَنْ يُكَبِّرْنَهَا وَيُعَظِّمْنَهَا بِلَفِّ عِمَامَةٍ أو عصابة أونحوها

Maksudnya: Maksud kepala mereka seperti bonggol unta adalah yang membesarkan kepala mereka dengan serban atau lilitan atau seumpamannya.[3]

Secara umumnya, bentuk bonggol unta yang dimaksudkan oleh Imam al-Nawawi adalah sesuatu kain yang dililit di atas kepala kaum wanita ketika itu yang seolah-olah nampak seperti bonggol unta. Lilitan kain tudung adalah sesuatu yang terpisah daripada anggota badan seseorang bererti bukan rambut yang dibuat sanggul di bahagian belakang kepala, kemudian disarungkan tudung bagi menutupi bahagian kepala tersebut.

Kemudian, Imam al-Munawi menyebutkan bahawa:

(رؤوسهن كأسنمة البخت المائلة) أي يعظمن رؤوسهن بالخمر والعمائم التي يلففنها على رؤوسهن حتى تشبه أسنمة الإبل

Maksudnya: (kepala mereka seperti bonggol unta yang senget) iaitu dibesarkan di atas kepala mereka dengan kain tudung dan serban yang dililitkannya di atas kepala mereka sehingga menyerupai bonggol unta.[4]

Kemudian, Imam al-Munawi menyebutkan lagi bahawa perkara tersebut dilakukan oleh nisa’ al-‘ulama’ (wanita-wanita ulama) pada zaman tersebut. Mereka melilit kepala mereka dengan kain tudung menjadi besar sehingga menjadi seperti serban. Perkara tersebut dilakukan bertujuan untuk membezakan mereka (nisa’ al-‘ulama’) dengan wanita kebiasaan (nisa’ al-balad) dan ia menjadi suatu kebanggaan dan kesombongan.[5]

Manakala, al-Qadi ʻIyad pula mensyarahkan maksud “kepala mereka seperti bonggol unta” sebagai menyikat rambut mereka dan mengikatnya sehingga menjadi tinggi di atas kepala mereka, lalu ia nampak seperti bonggol unta”. [6]

Selain itu, Muhammad Fu’ad ʻAbd al-Baqi juga memberikan komentar yang sama dengan al-Munawi dan al-Qadi ʻIyad.[7] Bahkan, Majid al-Humawi menambahkan lagi bahawa yang dimaksudkan dengan “kepala mereka seperti bonggol unta yang senget” juga termasuk fesyen rambut yang wujud pada zaman ini.[8]

Berdasarkan kepada ulasan dan syarahan ulama di atas, maka dapat difahami bahawa yang dimaksudkan dengan “kepala mereka seperti bonggol unta” boleh diperincikan kepada dua bentuk:

Pertama: Sanggul itu bukan daripada rambut tetapi adalah daripada lilitan kain tudung atau serban yang terletak di atas kepala ataupun sedikit senget. Selain itu ia juga termasuk fesyen rambut yang terdapat pada zaman kini yang meninggi di atas kepala.

Kedua: Sanggul itu dibuat terus daripada rambut sehingga nampak tinggi di atas kepala.

Sekiranya diperhatikan kepada bentuk pertama dan kedua, ia menunjukkan kedudukan sanggul tersebut di atas kepala bukannya di bahagian belakang kepala. Namun terdapat pertambahan huraian terhadap bentuk pertama iaitu fesyen rambut wanita zaman ini yang berbentuk tinggi yang melampau sehingga nampak seperti bonggol unta juga termasuk dalam larangan tersebut. Oleh itu, lebih tepatnya larangan tersebut ditujukan kepada golongan yang sanggulnya di bahagian atas kepala bukannya di belakang kepala.

Walaupun demikian, Islam melarang umatnya terutama golongan wanita untuk berpakaian dan berhias dengan cara yang melampau. Hal ini kerana, perbuatan tersebut boleh mendatangkan tarikan kepada yang bukan ajnabi. Manakala, membuat ikatan sanggul rambut dan kemudiannya memakai tudung dan ternampak sedikit bentuk sanggul yang menjadi kebiasaan masyarakat di Malaysia adalah dibolehkan. Oleh itu, Islam mengajarkan kepada umatnya untuk memulakan setiap perbuatan yang dilakukan dengan niat yang baik seperti niat untuk menutup aurat, mengikut sunnah dan lain-lain. Mudah-mudahan Allah SWT memberikan kefahaman yang baik kepada seluruh umat-Nya. Wallahua’lam.

[1] Muslim bin al-Hajjaj, al-Musnad al-Sahih al-Mukhtasar bi Naql al-ʻAdl ʻan al-ʻAdl ila Rasulillah SAW, ed. Muhammad Fu’ad ‘Abd al-Baqi (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-ʻArabi, t.t.), 4: 2192.

[2]    Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-ʻArabi, 1392), 14: 109.

[3]    Ibid., 14: 110.

[4]    ʻAbd al-Rauf al-Munawi, Faid al-Qadir Syarh al-Jamiʻ al-Saghir, cet. ke-3 (Beirut: Dar al-Maʻrifah, 1972), 4: 209.

[5]    Ibid.

 فقد كان ذلك سيما في نساء علماء زماننا فإنهن لم يزلن في ازدياد من تعظيم رؤوسهن حتى صارت كالعمائم وكلما فعلن ذلك تأسى بهن نساء البلد فيزدن نساء العلماء لئلا يساووهن فخرا وكبرا

[6]    Abu al-Fadl ʻIyad bin Musa, Ikmal al-Muʻlim bi Fawa’id Muslim, ed. Yahya Ismaʻil (Mesir: Dar al-Wafa’, 1998), 8: 387.

فدل أن المشطة الميلاء هى ضفر الغذائر، وشدها إلى فوق وجمعها أعلا الرأس، فيأتى كأسنمة البخت وهذا يدل أن يشبهه بأسنمة البخت

[7]    Rujuk komentar beliau pada hadis tersebut, Muslim bin al-Hajjaj, al-Musnad al-Sahih al-Mukhtasar bi Naql al-ʻAdl ʻan al-ʻAdl ila Rasulillah SAW, ed. Muhammad Fu’ad ‘Abd al-Baqi, 4: 2192.

[8]    Rujuk komentar beliau di ʻAbd al-Rauf al-Munawi, Faid al-Qadir Syarh al-Jamiʻ al-Saghir (Mesir: Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 1356), 4: 208.

Print