IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 570: NABI SAW MELARANG UMATNYA MEMIKIRKAN PERKARA YANG SUDAH BERLAKU?

WhatsApp_Image_2022-11-14_at_10.03.11_AM.jpeg

 

Soalan

Assalamualaikum, saya ada terbaca satu poster katanya Nabi SAW melarang seseorang daripada memikirkan masa lalunya. Benarkah hadis tersebut? Ini kerana seringkali perkara yang sudah berlaku kembali bermain dalam fikiran dan menimbulkan penyesalan terhadap tindakan tersebut. Benarkah ada hadis sebegitu? Mohon pencerahan. Tq

Ringkasan Jawapan

Terdapat satu hadis Nabi SAW yang boleh dijadikan sebagai panduan iaitu Rasulullah SAW bersabda:

وَإِنْ أَصَابَكَ شَيْءٌ، فَلا تَقُلْ لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا، وَلَكِنْ قُلْ قَدَرُ اللهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ، فَإِنَّ لَوْ تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ

Maksudnya: Sekiranya sesuatu menimpa kamu maka janganlah kamu ucap “kalau” aku buat seperti itu dan ini tetapi ucaplah Allah telah menetapkan apa yang Dia kehendaki dan lakukan. Sesungguhnya perkataan “kalau” membuka peluang kepada syaitan untuk merosakkan akidah.

Justeru yang dilarang oleh Rasulullah SAW berkaitan dengan memikirkan masa silam ialah memikirkan dalam erti mempertikaikan ketentuan yang telah Allah SWT aturkan pada dirinya. Ia adalah perkara sia-sia dan boleh mendatangkan kegusaran dalam hati sehingga menyebabkan seseorang mula mempertikaikan Qada dan Qadar. Perkara ini bersandarkan kepada pandangan al-Qadi ‘Iyad dan juga Imam al-Nawawi.

Walaupun begitu, penyesalan terhadap perkara-perkara yang telah berlaku dalam erti kata bermuhasabah terhadap kesalahan merupakan antara prasyarat taubat yang digalakkan.

Huraian Jawapan

Baru-baru ini kami menerima satu panggilan yang bertanyakan berkenaan adakah terdapat hadis Nabi SAW yang melarang memikirkan perkara yang telah berlaku? Kerana terkadang ingatan terhadap perkara yang sudah berlaku tersebut seringkali kembali bermain dalam fikirannya dan seterusnya menimbulkan penyesalan dengan tindakan yang diambil.

Mengenai hal ini terdapat  hadis yang boleh dirujuk , iaitu Rasulullah SAW bersabda:

وَإِنْ أَصَابَكَ شَيْءٌ، فَلا تَقُلْ لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا، وَلَكِنْ قُلْ قَدَرُ اللهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ، فَإِنَّ لَوْ تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ

Maksudnya: Sekiranya sesuatu menimpa kamu maka janganlah kamu ucap “kalau” aku buat seperti itu dan ini tetapi ucaplah Allah telah menetapkan apa yang Dia kehendaki dan lakukan. Sesungguhnya perkataan “kalau” membuka peluang kepada syaitan untuk merosakkan akidah.[1]

Imam al-Nawawi menukilkan pandangan al-Qadi ‘Iyad yang mensyarahkan hadis ini, kata beliau:

قَالَ بَعْضُ الْعُلَمَاءِ هَذَا النَّهْيُ إِنَّمَا هُوَ لِمَنْ قَالَهُ مُعْتَقِدًا ذَلِكَ حَتْمًا وَأَنَّهُ لَوْ فَعَلَ ذَلِكَ لَمْ تُصِبْهُ قَطْعًا فَأَمَّا مَنْ رَدَّ ذَلِكَ إِلَى مَشِيئَةِ اللَّهِ تَعَالَى بِأَنَّهُ لَنْ يُصِيبَهُ إِلا شاء ما اللَّهُ فَلَيْسَ مِنْ هَذَا

Maksudnya: Sebahagian ulama menyebutkan bahawa larangan tersebut adalah bagi mereka yang beriktikad dengan ucapan tersebut semata-mata seperti kalaulah dia tidak melakukan seperti itu pasti dia tidak ditimpa musibah. Manakala bagi mereka yang menyerahkan segalanya kepada Allah SWT seperti tidaklah seseorang itu ditimpa musibah melainkan itu merupakan kehendak Allah SWT, maka mereka ini tidak termasuk dalam larangan tersebut.[2]

Al-Qadi ‘Iyad juga menyebutkan bahawa:

قَوْلُهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِنَّ لَوْ تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ أَيْ يُلْقِي فِي الْقَلْبِ مُعَارَضَةَ الْقَدَرِ وَيُوَسْوِسُ بِهِ الشَّيْطَانُ

Maksudnya: Sabdaan Nabi SAW “Sesungguhnya perkataan “kalau” membuka peluang kepada syaitan untuk merosakkan akidah” bermaksud diletakkan dalam hati perkara-perkara yang bertentangan dengan ketentuan Allah SWT dan syaitan mewaswaskan seseorang dengan perkara itu.[3]

Kemudian, Imam al-Nawawi mengatakan bahawa penggunaan perkataan “kalau” dilarang dalam agama kerana perkara tersebut tidak mendatangkan apa-apa faedah.[4]

Kesimpulan

Daripada penjelasan di atas maka dapat difahami bahawa yang dilarang oleh Rasulullah SAW berkaitan dengan memikirkan masa silam ialah memikirkan dalam erti mempertikaikan ketentuan yang telah Allah SWT aturkan pada dirinya. Adapun penyesalan terhadap perkara-perkara yang telah berlaku pada masa lalu dalam erti kata bermuhasabah dan bertaubat adalah perkara yang digalakkan dan dituntut kerana ia boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT. Wallahuaʻlam.

[1] Muslim bin al-Hajjaj. (t.t.). Sahih Muslim. ed. Muhammad Fu’ad ‘Abd al-Baqi. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi. no. hadis 2664. 4: 2052.

[2] Yahya bin Syaraf al-Nawawi. (1392). Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi. 16: 216.

[3] Ibid.

[4] Ibid.