IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-199: BACAAN DI DALAM SOLAT WITIR

 

Soalan: Apakah bacaan yang disunnah di dalam solat sunat witir?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Solat witir merupakan salah satu solat sunat yang amat dituntut di dalam agama kita. Di dalam Mazhab al-Syafie, disunatkan kita solat sunat witir secara berjemaah di bulan Ramadhan. Ini kerana, ia mempunyai kelebihan yang besar sebagaimana yang dinyatakan di dalam beberapa buah hadith, antaranya:

 

 

مَنْ خَافَ أَنْ لاَ يَقُومَ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ فَلْيُوتِرْ أَوَّلَهُ وَمَنْ طَمِعَ أَنْ يَقُومَ آخِرَهُ فَلْيُوتِرْ آخِرَ اللَّيْلِ فَإِنَّ صَلاَةَ آخِرِ اللَّيْلِ مَشْهُودَةٌ وَذَلِكَ أَفْضَلُ

 

Maksudnya: “Sesiapa yang takut tidak terbangun pada saat akhir malam, dia hendaklah bersolat Witir lebih awal, dan sesiapa yang bersungguh-sungguh untuk bangun pada akhir malam dia hendaklah bersolat witir pada akhir malam. Sesungguhnya solat pada akhir malam disaksikan  (dihadiri oleh para malaikat) dan itu adalah yang afdhal”. [Riwayat Muslim (755)]

 

Tambahan pula, Nabi SAW pernah mewasiatkan kepada Abu Hurairah RA akan melazimi solat sunat witir ini sebelum beliau melelapkan mata. Ini dinyatakan sendiri oleh Abu Hurairah RA:

 

أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ: صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَيِ الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ

 

Maksudnya: “Kekasihku (iaitu Muhammad SAW) mengingatkanku supaya melakukan tiga perkara iaitu: Berpuasa tiga hari pada setiap bulan, dua rakaat Dhuha dan melakukan solat Witir sebelum tidur”. [Riwayat al-Bukhari (1981)]

 

Bacaan Di Dalam Solat Sunat Witir

Antara bacaan di dalam solat sunat witir berdasarkan hadith Nabi SAW adalah:

 

 

أَنَّهُ كَانَ يَقْرَأُ فِي الْوِتْرِ بِسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى وَقُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ وَقُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ، فَإِذَا سَلَّمَ قَالَ: سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ، سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ، سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ، وَرَفَعَ بِهَا صَوْتَهُ

Maksudnya: “Nabi SAW membaca di dalam witir “سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى”, “قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ” dan “قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ”. Apabila Baginda SAW memberi salam, Baginda SAW bersabda: “سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ”, “سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ”, “سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ” dalam keadaan Baginda SAW mengangkat suaranya ketika membacanya”. [Riwayat Ahmad (15354)][Hadith ini sanadnya sahih berdasarkan syarat al-Bukhari dan Muslim berdasarkan penilaian Syeikh Syuaib al-Arna’outh]

 

Berdasarkan hadith ini, kita memahami bahawa Nabi SAW membaca surah al-A’la, al-Kafirun dan al-Ikhlas di dalam solat witir Baginda SAW. Selain itu juga, di dalam hadith yang lain dinyatakan bahawa Nabi SAW membaca surah al-Ikhlas, al-‘Alaq dan juga al-Nas pada rakaat terakhir solat sunat witir. Ini dinyatakn di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi:

 

Aisyah RA ditanya berkenaan bacaan Nabi SAW di dalam solat sunat witir. Lalu Beliau menyatakan:

 

كَانَ يَقْرَأُ فِي الأُولَى: بِسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى، وَفِي الثَّانِيَةِ بِقُلْ يَا أَيُّهَا الكَافِرُونَ، وَفِي الثَّالِثَةِ بِقُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ، وَالمُعَوِّذَتَيْنِ

Maksudnya: “Adapun Nabi SAW membaca pada rakaat pertama “سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى”. Manakala pada rakaat kedua “قُلْ يَا أَيُّهَا الكَافِرُونَ” dan pada rakaat ketiga “قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ” berserta “المُعَوِّذَتَيْنِ” (iaitu surah al-‘Alaq dan al-Nas)”. [Riwayat al-Tirmizi (463)][Hadith ini dinilai Hasan Gharib oleh Imam al-Tirmizi]

 

Antara perkara yang sunat dilakukan selepas solat sunat witir adalah mengucapkan “سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ” sebanyak tiga kali. Ini kerana ia dilakukan oleh Rasulullah SAW dan terdapat penambahan di dalam satu riwayat bahawa Nabi SAW meninggikan suaranya pada kali yang ketiga. Setelah itu, Baginda SAW berdoa:

 

اللهُمَّ أَعُوذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ، وَبِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوبَتِكَ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْكَ لَا أُحْصِي ثَنَاءً عَلَيْكَ أَنْتَ كَمَا أَثْنَيْتَ عَلَى نَفْسِكَ

Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan kami, aku berlindung dengan redha-Mu daripada kemarahan-Mu, aku berlindung dengan kesejahteraan-Mu daripada hukuman-Mu dan aku berlindung dengan-Mu daripada tindakan-Mu, tiada daya aku ini untuk menghitung pujian kepada-Mu, Engkau itu wahai Allah sepertimana yang Engkau puji diri-Mu ”. [Riwayat Muslim (486)] [Lihat: al-Muktamad Dalam Mazhab al-Syafie, 374/1]

 

Penutup

Kesimpulannya, solat sunat witir merupakan salah satu solat sunat yang amat dituntut untuk kita amalkan dan laziminya dalam kehidupan seharian kita. Akhirnya, semoga Allah SWT menerima segala amalan kebaikan dan ibadah kita di dalam bulan yang mulia ini. Amin.

 

Wallahua'lam