IRSYAD AL-FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI KE-38: ADAKAH DIKENAKAN DAM SEKIRANYA SYAK RAMBUT GUGUR

IFHK 38

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ saya mempunyai satu masalah. Rambut gugur di atas katil lebih daripada 3 helai tetapi saya tidak pasti semasa membuka serkup kepala ketika itu rambut itu gugur lebih dari 3 helai atau tidak. Adakah saya dikenakan dam atau tidak.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Dalam melakukan ibadah haji dan umrah, ihram merupakan rukun yang pertama ketika melakukan kedua ibadah tersebut. Ihram dimaksudkan sebagai niat ketika hendak menunaiikan ibadah haji dan umrah sama seperti rukun yang asas di dalam solat.

Oleh itu, bagi memahami perkara yang berkaitan dengan ihram, kami nukilkan apa yang dinyatakan di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, perkara yang berkaitan dengan hukum-hukum yang dibincangkan semasa berihram terdapat tiga jenis iaitu miqat, cara berihram dan pengharaman semasa ihram. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/129)

Larangan ketika Ihram

Semasa berihram seseorang itu wajib mematuhi apa yang dilarang ketika berihram sama ada ihram ketika melakukan ibadah haji, umrah atau kedua-duanya.

Dr Muhammad Zuhaili menyebut wajib bagi seseorang itu tidak melakukan larangan ihram tanpa keuzuran dan sekiranya melakukannya maka dikenakan fidyah mengikut apa yang dilakukannya. Dan larangan ihram terdapat sebelas perkara dan sepuluh perkara mengikut al-Fiqh al-Manhaji. Di antaranya adalah memakai baju berjahit, memakai wangian, memburu binatang dan memotong atau mencabut rambut dan bulu (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/317; al-Fiqh al-Manhaji, 2/133)

Dalam membahaskan hal berkenaan dengan larangan mencukur dan mencabut rambut serta bulu, kami datang firman Allah SWT:

وَلَا تَحْلِقُوا رُءُوسَكُمْ حَتَّىٰ يَبْلُغَ الْهَدْيُ مَحِلَّهُ ۚ

Maksudnya:  dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya.

(Surah al-Baqarah, 196)

Imam Khatib Syarbini menyatakan ayat (وَلا تَحْلِقُوا رُءُوسَكُمْ) iaitu rambutnya dan bulu pada seluruh jasad (Lihat, al-Mughni al-Muhtaj, 2/297)

Dr Wahbah Zuhaili juga menyebut, larangan ayat di atas dikiaskan dalam larangan mencabut bulu atau mencukurnya pada seluruh badan dan larangan ini merupakan sepakat para ulama’. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa adillatuhu, 3/2300)

Dr Muhammad Zuhaili menyatakan pengharaman dan larangan ini tertakluk kepada lelaki dan perempuan yang berihram. Begitu juga wajib ke atas wali seorang budak yang sedang berihram untuk menghalangnya daripada menggugurkan rambutnya... larangan ini juga termasuk pada rambut di kepala, janggut, misai, bulu ketiak, bulu roma dan bulu diseluruh badan sama ada dihilangkannya dengan mencukur, memendekkannya, mencabut, membakarnya atau selain daripadanya. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/321)

Di dalam hal ini, sekiranya ia syak atau tidak pasti sama ada rambut atau bulunya tercabut dengan ikhtiar atau tidak maka ia tidak dikenakan fidyah ini seperti yang dinyatakan oleh Imam Khatib Syarbini di dalam kitabnya. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/298)

Dr Muhammad Zuhaili menyebut, kalau sekiranya seseorang yang berihram itu melihat rambut yang gugur dan ia syak adakah rambut itu gugur disebabkan ia menyikat rambutnya atau gugur dengan sendiri, maka tidak dikenakan fidyah ke atasnya. Kerana rambut yang tercabut itu, ia tidak meyakini sebab gugurnya. Ini kerana (الاصل براءة الذمة) maksudnya keadaan asal seseorang itu bebas daripada tanggungan. (Lihat, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/321)

Dalam kitab al-Taudih menyatakan jika rambut gugur dan syak adakah dengan sebab sisir atau gugur sendirinya, maka tiada fidyah baginya mengikut pendapat yang asah. (Lihat al-Taudih al-Idhoh fi Manasik al-Haj wa al-Umrah terjemahan Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Hlm.116)

Bayaran Fidyah Mencabut Rambut

Fidyah atau dam kerana mencabut, menggunting atau mencukur rambut dikenakan kepada mereka yang melakukannya dengan ikhtiar dan meyakininya sama ada dengan keuzuran atau tidak. Begitu juga dikenakan ke atas mereka yang melakukannya bukan bertujuan untuk bertahallul.

Para ulama membahaskan berkenaan kadar yang dikenakan. Dr. Muhammad Zuhaili menyebut, sekiranya sehelai rambut gugur dikenakan sebanyak satu mud makanan asasi (setengan kilo atau lebih). Dan sekiranya dua helai rambut gugur maka diwajibkan ke atasnya dua Mud dan sekiranya melebihi tiga helai rambut maka dikenakan dam iaitu puasa tiga hari atau beri makan enam orang miskin atau menyembelih seekor kambing. (Lihat Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/321)

Imam Khatib al-Syarbini menjelaskan bahawa dikenakan dam mengikut keadaan, tempat dan masa, sekiranya gugur tiga helai pada waktu dan keadaan yang berasingan maka dikenakan dam bagi setiap helai itu satu mud daripada makanan asasi. Namun sekiranya tercabut tiga helai atau lebih pada satu masa dan tempat, maka dikenakan dam seperti berikut iaitu puasa tiga hari atau beri makan enam orang miskin atau menyembelih seekor kambing. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/297-298)

Kesimpulan

Bedasarkan persoalan yang diajukan dan perbahasan ulama’ yang diberikan, dapat disimpulkan bahawa tidak dikenakan dam sekiranya tidak pasti adakah rambut yang gugur itu kepunyaan dirinya atau bukan disebabkan ikhtiarnya atau syak adakah rambut itu gugur dengan sendirinya atau dengan usahanya,

Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa berdasarkan persoalan di atas, ianya tidak dikenakan dam disebabkan bukan daripada usahanya atau ikhtiar daripadanya. Ini seperti yang dinyatakan di dalam buku soal jawab ibadah Haji bahawa tidak dikenakan dam kecuali jika ia yakin rambut itu rambutnya dan gugurnya adalah hasil daripada perbuatannya seperti ia menggosok-gosok kepala ketika mandi. (Lihat Soal Jawab Ibadah Haji, Umrah dan Ziarah cetakan Tabung Haji, hlm. 159)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agamaNya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’atNya dengan sebaiknya.