IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADAN SIRI KE-188: ADAKAH BATAL PUASA BAGI ORANG YANG GILA DALAM TEMPOH SEMENTARA?

huhu.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum ustaz, memandangkan Ramadan semakin hampir dengan kita, saya terdapat satu kemusykilan berkenaan adakah dikira batal puasa seseorang yang mempunyai penyakit gila dalam tempoh singkat. Sebagai contoh, dia telah berniat puasa di pagi hari semasa sahur dan kemudiannya dia menjadi gila di tengahari sehingga petang. Mohon penjelasan, Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Status puasa orang yang gila dalam tempoh yang singkat di siang hari di bulan Ramadan mahupun bukan bulan Ramadan adalah batal kerana telah terangkat kewajipan berpuasa darinya pada masa dia gila disebabkan hilangnya akal.

Huraian Jawapan

Sebagai orang Islam sudah pasti apabila tibanya bulan Ramadan mereka menginginkan kesempurnaan di dalam ibadah puasa yang dilakukan. Namun, terkadang terdapat halangan yang mengganggu kesempurnaan puasa tersebut seperti datang darah haid, nifas, gila dan lain-lain.

Dalam menjawab persoalan di atas, mari merenung suatu riwayat yang diriwayatkan di dalam Sunan Abi Daud, Ali RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ، وَعَنِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ

Maksudnya: Tiga golongan yang tidak tercatat dosa dan pahala: orang yang tidur sehingga dia bangun tidur, kanak-kanak sehingga dia mimpi basah dan orang yang gila sehingga dia kembali berakal.[1]  

Riwayat Abu Daud

Berdasarkan hadis di atas, jelas menunjukkan bahawa orang yang hilang akalnya maka telah hilang kewajipan berpuasa baginya. Tetapi, bagaimana jika gila tersebut hanya berlaku dalam tempoh yang sementara dan singkat? Dalam hal ini, Imam ‘Abd al-Hamid al-Syarawani menyebutkan bahawa:

فَلا يَصِحُّ صَوْمُ الْمَجْنُونِ وَالطِّفْلِ لِفِقْدَانِ النِّيَّةِ

Maksudnya: Maka tidak sah puasa orang yang gila dan kanak-kanak kerana tidak berniat.[2]

Jika dilihat dalam al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masa’il al-Mufidah, Syeikh Hasan bin Ahmad al-Kaf menyebutkan bahawa di antara syarat sah puasa ialah:

العَقْلُ، فَيُشْتَرَطُ أَنْ يَكُوْنَ عَاقِلا مُمَيِّزًا جَمِيْعَ النَّهَارِ، فَلَوْ جُنَّ وَلَوْ لَحْظَةً وَاحِدَةً بَطَلَ صَوْمُهُ

Maksudnya: Berakal, maka disyaratkan untuk orang berpuasa itu berakal, tamyiz sepanjang hari. Jika dia gila walaupun sebentar maka puasanya batal.[3]

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa hukum puasa orang yang gila dalam tempoh yang singkat di siang hari di bulan Ramadan mahupun bukan bulan Ramadan adalah batal kerana telah terangkat kewajipan berpuasa darinya pada masa dia gila disebabkan hilangnya akal. Oleh itu, sesiapa sahaja yang telah hilang akalnya walaupun sementara ketika dia sedang berpuasa maka perkara tersebut membatalkan puasa. Wallahuaʻlam.

[1] Abu Daud Sulaiman bin al-Asyʻath, Sunan Abi Daud, ed. Muhammad Muhy al-Din ʻAbd al-Hamid (Beirut: al-Maktabah al-ʻAsriyyah, t.t), no. hadis 4403, 4: 141. Hadis ini juga direkodkan dalam Sunan al-Tirmizi dan Sunan Ibn Majah.

[2] Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj wa Hawasyi al-Syarwani wa al-‘Ibadi (t.tp: t.p, 1983), 3: 414.

[3] Hasan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaf, al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masa’il al-Mufidah – Qism al-‘Ibadah (Hadramaut: Dar al-Mirath al-Nabawiyyah, 2003), 438.