IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADAN SIRI KE-208: NIAT UNTUK BERBUKA, ADAKAH MEMBATALKAN PUASA?

Screenshot 2022 04 30 at 5.56.46 PM

 

Soalan

Pernah pada suatu hari ketika saya sedang berpuasa, saya merasa dahaga yang amat sangat dan berniat untuk membatalkan puasa, sehingga ke tahap saya telah menuangkan air ke dalam gelas untuk diminum. Namun setelah lama berfikir, saya membatalkan niat tersebut dan meneruskan puasa. Saya berasa ragu-ragu, adakah puasa saya itu masih sah, atau sebenarnya telah terbatal?

Ringkasan Jawapan

Qaul muktamad dalam mazhab Syafie menetapkan bahawa jika seseorang itu berniat untuk membatalkan puasanya tapi tidak meneruskan niatnya itu, puasanya tidak terbatal.

Huraian Jawapan

Persoalan sama ada berniat untuk membatalkan puasa itu menyebabkan puasa terbatal atau tidak sememangnya menjadi perbahasan para ulama. Dalam mazhab Syafi’e sendiri ada dua pandangan dalam isu ini.

Menurut Imam al-Syirazi:

وَمَنْ نَوَى الخُرُوجَ مِن الصَّومِ بَطَلَ صَومَهُ وَقيلَ لَا يَبْطُلُ

Maksudnya: Sesiapa yang berniat untuk keluar daripada puasa, terbatallah puasanya; ada juga pandangan yang menyatakan bahawa tidak batal.[1]

Dalam permasalahan ini, Sheikh al-‘Imrani menjelaskan bahawa terdapat dua pendapat (fatwa) Imam al-Syafi’i tentang isu ini, salah satunya puasa terbatal jika berniat untuk membatalkannya, kerana puasa ialah ibadah yang perlu kepada penentuan jenis puasa (ta’yin) dalam niat, dan ia akan terbatal jika berniat untuk keluar daripadanya.[2]

Selain itu, para ulama Syafi’i mutaqaddimin(terdahulu) juga berselisih pendapat dalam perkara ini sama ada batal atau tidak. Namun begitu Imam Nawawi telah mentarjih salah satu daripada pandangan tersebut sebagai pandangan yang muktamad dalam mazhab, kata beliau:

وَلَوْ جَزَمَ نِيَّةَ الْخُرُوجِ مِنْهُ، لَمْ يَبْطُلْ عَلَى الْأَصَحِّ.

Maksudnya: Jika seseorang itu berniat secara pasti untuk keluar daripada puasa, menurut pendapat yang lebih sahih, puasanya tidak batal.[3]

Perkara ini juga dijelaskan oleh ulama mutakhir mazhab Syafi’i, antaranya Sheikh Zakariyya al-Ansari yang menyatakan:

(وَلَوْ نَوَى الصَّائِمُ تَرْكَ الصَّوْمِ) مُنَجِّزًا أَوْ مُعَلِّقًا كَأَنْ قَالَ تَرَكْت صَوْمِي أَوْ خَرَجْت مِنْهُ أَوْ إذَا جَاءَ فُلَانٌ تَرَكْت صَوْمِي أَوْ خَرَجْت مِنْهُ (أَوْ) نَوَى (قَلْبَهُ نَفْلًا) أَوْ فَرْضًا آخَرَ (لَمْ يَضُرَّ كَالْحَجِّ)

Maksudnya: Jika seseorang yang berpuasa itu berniat untuk meninggalkan puasa secara pasti atau menggantungnya, contohnya dengan berkata “aku tinggalkan puasa” atau “aku keluar daripada puasa” atau “jika si fulan datang, aku tinggalkan / keluar daripada puasa” atau jika dia berniat untuk menukar niat puasa itu kepada puasa sunat atau puasa fardu yang lain, puasanya tidak batal, sepertimana haji.[4]

 

Kesimpulan

Kesimpulannya, qaul muktamad dalam mazhab Syafie menetapkan bahawa jika seseorang itu berniat untuk membatalkan puasanya tapi tidak meneruskan niatnya itu, puasanya tidak terbatal.

Wallahu a’lam.

 

[1] Rujuk al-Tanbih fi al-Fiqh al-Syafi’e oleh Abu Ishaq al-Syirazi (t.t) ‘Alam al-Kutub, hlm. 66.

[2] Rujuk al-Bayan fi Mazhab al-Imam al-Syafi’e oleh Abu al-Husain Yahya al-‘Imrani (2000) Jeddah: Dar al-Minhaj, Cetakan Pertama, tahqiq: Qasim Muhammad al-Nuri 3/494

وإن نوى الصائم الخروج من الصوم.. ففيه وجهان:

أحدهما: لا يبطل؛ لأنها عبادة تجب الكفارة بجنسها، فلا تبطل بنية الخروج منها، كالحج، وفيه احتراز من الصلاة.

والثاني: يبطل، وهو الأظهر؛ لأنها عبادة تفتقر إلى تعيين النية، فتبطل منه بنية الخروج منها

[3] Rujuk Raudhah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin oleh Abu Zakariyya Muhyiddin bin Syaraf al-Nawawi (1991) Beirut: al-Maktab al-Islami, Cetakan Ketiga, tahqiq: Zuhair al-Syawisy, 1/225 dan al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab oleh Abu Zakariyya Muhyiddin bin Syaraf al-Nawawi (t.t) Dar al-Fikr, 2/384-385

[4] Rujuk Asna al-Matalib fi Syarh Raudh al-Talib oleh Abu Yahya Zakariyya al-Ansari (t.t) Dar al-Kitab al-Islami 1/414