IRSYAD AL-FATWA SIRI KE 391 : WAS-WAS TAHAP TERUK

IF 391

Soalan :

Assalamualaikum Datuk.Saya selama ini mengalami was-was yang sangat teruk dimana saya pernah terpijak sesuatu sewaktu saya berada di hadapan sebuah klinik yang seakan-akan menyerupai najis ataupun tanah lumut . Tetapi saya tidak pasti itu najis atau bukan. Yang paling saya takut adalah bagaimana jika yang saya pijak itu najis anjing sebab ia terkena dihujung selipar dan tumit kaki saya . Saya amat bimbang kerana saya hanya membasuh kaki dan selipar saya menggunakan air sahaja. Dan juga saya asyik fikir bagaimana jika yang saya pijak itu najis anjing dan seluar yang saya guna pun saya tidak pasti sama ada kena atau tidak. Saya hanya membasuh dan meletaknya dalam mesin basuh .Selepas dari hari itu saya amat fobia kerana dimana-mana saya pergi saya takut saya terkena najis atau percikan air yang mengandungi najis. Bagaimana jika kalau laluan yang saya lalu tu ada najis anjing. Kadang-kadang sampai pakaian yang saya jemur pun saya bimbang bagaimana jika ada najis atau ada anjing yang tiba-tiba main dekat tempat saya jemur baju sedangkan saya tidak melihatnya dan hanya mengandai-andai. Ia membuat saya terfikir sehingga ke tahap mengganggu kerja harian saya dan saya amat tertekan. Bagaimana ya Datuk. Saya harap Datuk dapat menyelesaikan kekusutan dan masalah yang sedang saya alami.

Jawapan :

Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Perkara pertama yang ingin kami jelaskan dan perlu diambil perhatian adalah berkenaan was-was. Ini ada perkara yang sering menjadi masalah sehingga seolah-olah menjadi batu penghalang untuk melakukan apa sahaja pekerjaan. Kesemua ini berlaku adalah kerana kekurangan ilmu dan tidak melakukan persediaan secukupnya agar penyakit was-was ini boleh dijauhi.

Di dalam Al-Quran, perkataan was-was selalu digandingkan dengan syaitan. Ini memberikan isyarat bahawa was-was itu adalah merupakan bisikan daripada syaitan. Bisikan dan hasutan ini sedaya mungkin dilakukan oleh syaitan sehingga pada satu tahap ia boleh membawa kepada keraguan. Di antara ayat Al-Quran tersebut ialah :

فَوَسْوَسَ إِلَيْهِ ٱلشَّيْطَـٰنُ قَالَ يَـٰٓـَٔادَمُ هَلْ أَدُلُّكَ عَلَىٰ شَجَرَةِ ٱلْخُلْدِ وَمُلْكٍ لَّا يَبْلَىٰ

Maksudnya : “Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: "Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?"

وَلَقَدْ خَلَقْنَا ٱلْإِنسَـٰنَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِۦ نَفْسُهُۥ ۖ وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ ٱلْوَرِيدِ

Maksudnya : “Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.”

Sheikh Mustafa Al-Maraghi menyebut bahawa Maha Mampu untuk membangkitkan kembali manusia. Ini kerana Allah lah yang menciptakan kesemuanya sehingga Dia Maha Mengetahui apa yang dibisikkan ke hati manusia sama ada baik atau jahat. (Rujuk Tafsir Al-Maraghi, 1/4811)

ٱلَّذِى يُوَسْوِسُ فِى صُدُورِ ٱلنَّاسِ

Maksudnya : “Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia

Imam Al-Syaukani menukilkan perkataan Qatadah bahawa syaitan mempunyai belalai sebagai mana anjing (kiasan kepada buruknya dan jahatnya perangai) yang mana terlekat pada dada anak Adam. Jika ada anak Adam yang lalai maka ia akan membisikkan kepada ana kadam agar terus lalai dan jika anak Adam mengingati Allah maka syaitan akan menghasutnya agar meninggalkan perkara itu. (Rujuk Fath Al-Qadir Al-Jami’ Baina Fannay Al-Riwayah Wa Al-Dirayah Fi Ilmi Al-Tafsir, 8/91)

Oleh kerana itu, penyakit was-was adalah mainan syaitan yang mana ia mendorong manusia agar melakukan kejahatan dan sering mendatangkan keraguan. Di dalam sebuah hadis Nabis SAW pernah menyatakan bahawa syaitan ini sentiasa mendorong manusia melakukan kejahatan dan menjebakkan mereka ke dalam lembah keraguan. Nabi SAW bersabda :

إنَّ لِلشَّيْطَانِ لَمَّةً بِابْنِ آدَمَ، وَلِلْمَلَكِ لَمَّةً فَأَمَّا لَمَّةُ الشَّيْطَانِ، فَإِيعَادٌ بِالشَّرِّ، وَتَكْذِيبٌ بِالحَقِّ، وَأَمَّا لَمَّةُ المَلَكِ، فَإِيعَادٌ بِالخَيْرِ، وَتَصْدِيقٌ بِالحَقِّ، فَمَنْ وَجَدَ ذَلِكَ فَلْيَعْلَمْ أَنَّهُ مِنَ اللَّهِ، فَلْيَحْمَدِ اللَّهَ، وَمَنْ وَجَدَ الأُخْرَى فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Maksudnya : “Syaitan itu adalah pendorong dan malaikat adalah pendorong. Syaitan sentiasa mendorong untuk melakukan kejahatan dan membohongi perkara yang benar. Adapun malaikat sentiasa mendorong untuk melakukan kebaikan dan membenarkan perkara yang betul. Barangsiapa yang mendapati dorongan melakukan kebaikan maka ketahuilah itu adalah dari Allah dan pujilah Allah. Barangsiapa yang mendapati dorongan selain dari itu maka mintalah perlindungan pada Allah daripada syaitan yang direjam.”

Riwayat Al-Tirmizi (2988). Beliau mengatakan bahawa hadis ini hasan ghorib.

Ada beberapa cara untuk mengelakkan dari merasa was-was. Di antaranya ialah :

  1. Mengambil sikap tidak peduli. Iaitu tidak melayan atau menuruti was-was yang sedang dialami. Inilah yang dinyatakan oleh Ibnu Hajar Al-Haitami bahawa jika seseorang tidak mempedulikan was-was yang sedang dialaminya maka ia kan hilang selepas beberapa ketika. Akan tetapi jika dia terus melayan maka itulah yang akan menyusahkannya. (Rujuk Fatawa Al-Fiqhiyah Al-Kubra,1/149)
  2. Mempelajari cara ibadah yang betul dan sentiasa meningkatkan ilmu dari semasa ke semasa. Inilah di antara cara yang paling mujarab untuk menghilangkan was-was. Was-was itu pada dasarnya adalah disebabkan kejahilan dan ketidak arifan tentang sesuatu perkara. Seseorang yang melakukan sesuatu tanpa didasari dengan ilmu maka ianya akan mengelirukannya.
  3. Memohon perlindungan daripada Allah. Ini perkara yang paling penting untuk mengelakkan serta menjauhkan diri dari penyakit was-was.

Kami pernah mengulas dan mengemukakan pandangan buah fikiran berkenaan penyakit was-was di dalam beberapa ruangan artikel. Di antaranya :

  1. Bayan Linnas siri ke 103 : Was-was : cara penyelesaiannya[1]
  2. Irsyad Al-Fatwa siri ke 158 : Cara mengubati penyakit was-was[2]
  3. Al-Kafi nombor 235 : Was-was di dalam ibadah[3]
  4. Sedikit perbincangan seputar was-was dan bisikan syaitan di dalam ruangan Bayan Linnas siri ke 138 : Halusinasi Pandangan para ulama[4]

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, jika ragu-ragu sama ada yang dipijak itu najis anjing ataupun sekadar lumut maka para ulama telah memberikan garis panduan berkenaan perkara ini. Di antaranya adalah kaedah yang masyhur iaitu :

الْأَصْلُ بَقَاءُ مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ

Maksudnya : “Asal bagi satu hukum adalah mengekalkan dia sepertimana hukum sebelumnya.”

Berdasarkan kaedah ini, apabila tiada bukti yang yang jelas sama ada yang dipijak itu adalah najis ataupun sekadar lumpur atau lumut maka kasut yang digunakan itu kekal suci. Inilah yang dinyatakan oleh Imam Al-Nawawi agar asal bagi hukum adalah beramal dengan hukum asal dan keraguan tidak memberikan kesan. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 1/220)

Ini juga adalah berdasarkan kepada sebuah hadis di mana seorang lelaki bertanya kepada Nabi SAW bahawa dia merasakan ada sesuatu yang keluar daripadanya ketika solat. Lalu Nabi SAW menjawab :

لَا يَنصَرِفُ حَتَّى يَسْمَعْ صَوتًا أَوْ يَجِدُ رِيحًا

Maksudnya : “Jangan dia berpaling sehingga dia mendengar bunyi ataupun mencium bau.”

Riwayat Al-Bukhari (137)

Berdasarkan hadis ini lelaki tersebut ingin keluar dari solatnya kerana pada sangkaannya ada sesuatu yang keluar daripada duburnya yang mana ianya boleh membatalkan solat. Akan tetapi Nabi SAW tidak membenarkannya sehinggalah dibuktikan dengan bau ataupun bunyi. Maka dapat kita fahami daripada sabdaan Nabi bahawa selagi mana tiada bukti adanya perkara yang boleh membatalkan solat maka tidak perlu keluar untuk mengambil wuduk semula. Begitu juga halnya dengan keadaan yang sedang dialami oleh saudari. Jika tiada bukti yang dipijak itu adalah najis anjing dan Kawasan tersebut adalah Kawasan yang jarang dilalui oleh binatang tersebut maka kasut yang dipakai oleh saudari adalah kekal suci dan dibasuh seperti biasa.

Begitu juga dengan perkara-perkara yang lain seperti ragu sama ada pakaian yang dijemur adakah ada anjing yang bermain-bermain berdekatan dengan pakaian, ini semua adalah sangkaan yang memerlukan kepada bukti. Selagi tidak nampak anjing bermain-main di kawasan tersebut maka ianya kekal suci. Berkenaan terpercik air yang diragui kesuciannya seperti yang dialami oleh saudari, kami pernah menjawabnya di dalam ruang Al-Kafi siri ke 1458.[5]

Satu perkara yang perlu diketahui, setiap hukum dibina berdasarkan perkara kebiasaan yang terjadi. Bukan perkara yang diragukan atau yang tidak berlaku.Inilah yang dinyatakan oleh Al-Sarakhsi ulama bermazhab Hanafi. Beliau menyebut :

الحكم ينبني على العام الغالب دون الشاذ النادر

Maksudnya : Hukum terbina di atas perkara am yang menjadi kebiasaan dan tidak dibina di atas perkara yang syaz yang jarang-jarang berlaku. (Rujuk Al-Mabsut Fi Fiqh Al-Hanafi, 2/3).

Oleh kerana itu, ketiadaan bukti adanya najis atau tidak, tidak membolehkan kita untuk menyatakan kasut , pakaian yang dipakai adalah bernajis. Bahkan kaedah lain menyebut :

اليقين لا يزال

Maksudnya : “ Keyakinan tidak boleh dihilangkan”

Kesimpulannya, selagi mana tiada bukti bahawa yang dipijak adalah najis dan tiada bukti anjing bermain-main di sekitar pakaian yang disidai maka hukumnya adalah kekal suci. Hukum dibina atas bukti yang nyata bukan andaian semata-mata. Kami menasihatkan agar saudari yang bertanya sentiasa berdamping dengan majlis ilmu khususnya kuliah-kuliah yang melibatkan ibadah harian. Bertanyalah kepada mereka yang berkelayakan. Banyakkan minta perlindungan kepada Allah daripada penyakit was-was.

Semoga Allah memandu kita ke jalan yang lurus dan yang diredhai-Nya. Wallahu’alam.

[1] https://muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-linnas/748-irsyad-al-fatwa-ke-203-was-was-cara-penyelesaiannya

[2] https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/1038-irsyad-al-fatwa-ke-158-cara-mengubati-penyakit-was-was

[3] http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1757-was-was-dalam-ibadat

[4] https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/2485-bayan-linnas-siri-ke-138-halusinasi-pandangan-para-ulama

[5] https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3851-al-kafi-1458-terkena-percikan-air-diragui-kesuciannya