IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-394: HUKUM MEMINTA SEDEKAH TANPA KEPERLUAN

 

IF394.PNG

 

SOALAN

Assalamualaikum Ustaz. Persoalan saya adalah, apakah hukum meminta sedekah? Mohon penjelasan. Terima kasih.

JAWAPAN

Waalaikumussalam wrm. wbt.

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Amalan meminta sedekah atau mengemis dilihat sebagai satu trend yang semakin menjadi-jadi di negara kita. Amalan ini dijadikan profesion dalam kalangan pengemis itu sendiri pada masa kini. Sememangnya agama Islam itu sendiri tidak menggalakkan amalan meminta-minta melainkan jika sekiranya terdapat keperluan dan darurat. Islam menyuruh umatnya untuk sentiasa berusaha dalam mencapai cita-cita dan kejayaan. Gejala ini jika sekiranya tidak dibendung dengan segera akan menjadikan umat Islam itu dipandang rendah dan lemah seterusnya akan menyukarkan dalam membentuk masyarakat Islam yang berdaya saing.

Selain dari itu, umat Islam juga disuruh untuk sentiasa berinfaq dan bersedekah terhadap rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada sebahagian yang lain. Namun, suruhan kebaikan seperti ini bukanlah satu lesen atau pendorong kepada amalan mengemis atau meminta sedekah. Allah SWT berfirman:

وَأَنفِقُوا مِن مَّا رَزَقْنَاكُم مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِيَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ

Maksudnya: “Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: " Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh.”

(Surah al-Munafiqun: 10)

Syeikh al-Maraghi menafsirkan, nafkahkanlah sebahagian kurniaan harta yang Kami berikan kepadamu sebagai tanda syukur terhadap nikmatNya dan kasih kepada hambaNya yang fakir. Simpanlah nafkah itu untuk hari perhitungan supaya kamu boleh memetik hasil daripada apa yang kamu telah amalkan. Janganlah kamu menyimpannya dalam peti-petimu kamu tinggalkan untuk ahli warismu. Ini disebabkan ahli warismu mungkin akan menghabiskannya pada jalan yang tidak akan mendatangkan kepujian dan sanjungan kepadamu, malah mendatangkan cacian dan makian kepadamu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 14/7032)

Dalam satu ayat yang lain pula, kita digalakkan untuk memberikan sedekah kepada mereka yang tidak meminta-minta. Firman Allah SWT:

لِلْفُقَرَاءِ الَّذِينَ أُحْصِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ لَا يَسْتَطِيعُونَ ضَرْبًا فِي الْأَرْضِ يَحْسَبُهُمُ الْجَاهِلُ أَغْنِيَاءَ مِنَ التَّعَفُّفِ تَعْرِفُهُم بِسِيمَاهُمْ لَا يَسْأَلُونَ النَّاسَ إِلْحَافًا

Maksudnya: “Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka: orang kaya - oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak.”

(Surah al-Baqarah: 273)

Syeikh al-Maraghi menyebut mereka ialah golongan yang tidak mahu meminta kepada orang lain dengan cara mendesak sebagaimana yang dilakukan oleh para pengemis. Atau dapat juga diertikan mereka tidak mahu meminta kepada orang lain seperti yang dilakukan oleh pengemis yang biasanya mendesak. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/626)

Menjawab kepada persoalan di atas, hukum meminta sedekah tanpa sebarang keperluan yang darurat adalah haram dan dilarang di dalam Islam. Larangan tersebut dinyatakan berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi SAW telah bersabda:

لاَ تَحِلُّ الصَّدَقَةُ لِغَنِيٍّ وَلاَ لِذِي مِرَّةٍ سَوِيٍّ

Maksudnya: “Tidak halal menerima sedekah bagi orang kaya dan orang yang sihat tubuh badannya (untuk bekerja).”

Riwayat al-Nasaei (2597) Ibn Majah (1839) dan Abu Daud (1634)
Syeikh Syu’aib al-Arnaout menghukumkan sanad hadith ini sebagai qawiy (kuat).

Demikian juga larangan tersebut dalam satu hadith yang lain diriwayatkan oleh Sahl Ibn Hanzaliyyah R.A yang menceritakan perbualan Nabi SAW bersama sahabatnya:

مَن سأَل وعندَه ما يُغنيه فإنَّما يستكثِرُ مِن جمرِ جهنَّمَ ) قال: يا رسولَ اللهِ وما يُغنيه ؟ قال:)

( ما يُغدِّيه ويُعشِّيه)

Maksudnya: “Barangsiapa yang meminta-meminta, padahal dia mempunyai sesuatu cukup untuk dirinya, maka beerti hanya memperbanyak bara api neraka Jahannam.” Lalu para sahabat bertanya: “Bagaimanakah yang dikatakan cukup baginya?” Baginda menjawab: “Sesuatu yang mencukupi untuk makan siang dan malam.”

Riwayat Abu Daud (1629)
Syeikh Syu’aib al-Arnaout menghukumkan sanad hadith ini adalah sahih dengan syarat yang digunakan oleh Imam al-Bukhari.

Demikian satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ سَأَلَ اَلنَّاسَ أَمْوَالَهُمْ تَكَثُّرًا, فَإِنَّمَا يَسْأَلُ جَمْرًا, فَلْيَسْتَقِلَّ أَوْ لِيَسْتَكْثِرْ

Maksudnya: “Barangsiapa yang meminta harta kepada manusia untuk memperkayakan dirinya, maka bererti hanya meminta bara api neraka. Oleh sebab itu, terserahlah kepadanya untuk meminta sedikit atau meminta banyak.”

Riwayat Muslim (1041)

Maksud ‘meminta harta kepada manusia’ di sini ialah seseorang yang meminta bagi tujuan mengumpulkan harta dan kekayaan dirinya tanpa sebarang keperluan kepadanya. (Lihat Fath al-Mun‘in, 4/395)

Imam Nawawi menaqalkan kata-kata Qadi ‘Iyadh bahawa yang dimaksudkan dengan ‘meminta bara api’ adalah diazabkan dengan api neraka. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/130)

KESIMPULAN

Tuntasnya, amalan mengemis dan meminta sedekah tanpa keperluan dan darurat adalah haram dan dilarang di dalam Islam. Namun, sekiranya terdapat keperluan yang mendesak maka ianya adalah dibolehkan. Kita juga digalakkan untuk memberi sedekah dan menginfaqkan harta kepada golongan yang memerlukan, namun tidak meminta-minta seperti pengemis. Ajaran agama Islam itu sendiri menyuruh umatnya sentiasa bekerja dan berusaha dalam meneruskan kehidupan. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi SAW telah bersabda:

لأَنْ يَغْدُوَ أَحَدُكُمْ فَيَحْطِبَ عَلَى ظَهْرِهِ فَيَتَصَدَّقَ بِهِ وَيَسْتَغْنِيَ بِهِ مِنَ النَّاسِ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَسْأَلَ رَجُلاً أَعْطَاهُ أَوْ مَنَعَهُ ذَلِكَ فَإِنَّ الْيَدَ الْعُلْيَا أَفْضَلُ مِنَ الْيَدِ السُّفْلَى وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ

Maksudnya: “Salah seorang daripada kamu yang keluar pada waktu pagi lalu memikul kayu di atas belakangnya untuk dijual, lalu dia mengeluarkan sedekah sebahagian daripada jualan kayu dan dengan (baki wang) itu dapat mencukupkan dirinya sehingga dia tidak perlu meminta kepada orang lain, adalah lebih baik baginya daripada meminta kepada seseorang (yang tidak pasti) diberi ataupun ditolak. Demikian itu, tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang dibawah. Mulai dengan orang-orang yang ada dalam tanggunganmu.”

Riwayat Muslim (1042)

Semoga penjelasan ini memberi kefahaman kepada kita semua untuk berubah ke arah yang lebih baik dalam kehidupan ini. amin.

Wallahu‘alam.