IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-416 : CARA MEMBERSIHKAN AIR KENCING DI ATAS TILAM TEBAL DAN BERAT

IF 416 sucikan

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu kemusykilan. Bagaimana cara untuk membersihkan najis  air kencing anak (najis mutawassitah) di atas tilam tebal dan berat serta susah untuk diangkat? Cukupkah sekadar direnjis air mutlak di atasnya atau perlu dibasuh pada bahagian terkena najis? Harap Datuk Mufti dapat memberi pencerahan.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW :

الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ

Maksudnya : “Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan.”

Riwayat Muslim (223)

Islam sangat mengambil berat dalam hal bersuci dan kebersihan. Begitu juga, manusia cenderung kepada kebersihan dan secara tabi’i manusia tidak suka serta menjauhkan diri daripada kekotoran. Oleh sebab Islam adalah agama fitrah, maka secara tabi’i ia memerintahkan manusia supaya bersuci dan menjaga kebersihan.

Pembahagian najis

Najis terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu Najis Mukhaffafah (ringan), Najis Mutawassitah (sederhana) dan Najis Mughallazah (berat).

(Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/40-41)

Cara membersihkan Najis Mutawassitah

Sebelum itu, kita mesti ketahui bahawa setiap jenis najis tersebut berbeza cara membersihkannya. Mengenai cara membersihkan najis Mukhaffafah, kami telah membahaskannya secara panjang lebar di dalam artikel kami :

Manakala najis Mughallazah hendaklah dibersihkan dengan tujuh kali basuhan dan salah satunya adalah dengan air yang bercampur tanah. Bagi mendapatkan perbahasan lanjut mengenai perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami di dalam :

Mengenai najis Mutawassitah Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff ada menyatakan bahawa ia terbahagi kepada dua kategori iaitu hukmiyyah (حكمية) dan ‘ainiyyah (عينية). Hukmiyyah ialah yang tidak kelihatan najisnya secara jelas kerana tiada tanda-tanda seperti bau,rasa dan juga warna. Cara membersihkannya adalah cukup sekadar mengalirkan air pada tempat yang terkena najis tersebut. Manakala ‘ainiyyah pula ialah  najis yang kelihatan dan ada sifat-sifatnya sama ada bau atau rasa atau warna. Cara membersihkannya ialah dengan air sehingga hilang semua sifat-sifat tersebut (bau, rasa dan warna). Sekiranya najis tersebut dapat dihilangkan bersama sifat-sifatnya dengan sekali basuhan sahaja, ia sudah mencukupi. Akan tetapi sunat untuk dia membasuhnya pada kali kedua dan ketiga.

Begitu juga, sekiranya najis itu tidak dapat dihilangkan dengan sekali basuhan, maka wajib membasuhnya kali kedua. Dan sekiranya masih belum lagi hilang, wajib membasuhnya buat kali ketiga. Sekiranya najis itu masih belum lagi dapat dihilangkan sifat-sifatnya dengan tiga kali basuhan bersama bahan bantuan seperti sabun dan lain-lain, maka keadaan ini dinamakan sebagai keadaan yang susah (حالة التعسر).

(Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 135)

Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari menyebutkan bahawa contoh najis hukmiyyah adalah seperti air kencing yang telah kering serta tidak dilihat padanya kesan atau sifat-sifatnya. Maka, cara membersihkannya, cukup dengan hanya mengalirkan air padanya sekali. Adapun ‘ainiyyah, maka wajib dihilangkan sifat-sifatnya yang terdiri daripada bau, rasa dan warna, melainkan ada kesukaran bagi menghilangkan salah satu antara dua sifat iaitu sama ada warna atau bau. Maka, dalam hal ini tidak wajib menghilangkannya, bahkan ia telah pun dikira sebagai suci. Akan tetapi, sekiranya terhimpun kedua-duanya sekali (bau dan warna) pada tempat tersebut, maka wajib untuk dihilangkan kedua-dua sifat tersebut kerana ia adalah merupakan bukti yang kuat bahawa ‘ain najis itu masih ada sepertimana ciri atau sifat yang ditunjukkan oleh rasa. (Lihat Fath al-Wahhab, 1/25 dan Kasyifah al-Saja, hlm. 182-184)

Begitu juga, belum lagi dikira suci (masih najis), jika masih ada sifat najis daripada segi rasa kerana kebiasaannya ia mudah untuk dihilangkan. Oleh itu, sekiranya masih berbaki sifat rasa, maka wajib untuk dihilangkan sekalipun dengan mengikis atau menggosok sebanyak 3 kali. Cara mengikis adalah dengan mengikis tempat terkena najis itu menggunakan batu atau lain-lain, manakala menggosok pula adalah dengan menggunakan jari jemari dengan gosokan yang kuat dan kemudian menjiruskan air ke atasnya sehingga hilang ‘ain dan kesan najis itu. Selain itu, tidak disyaratkan menggunakan bahan bantuan seperti sabun dan usynan (sejenis pokok) bagi menghilangkan najis melainkan setelah terhimpun baud an warna sekali atau hanya daripada segi rasa sahaja. Maka, dalam situasi ini wajib menggunakan bahan bantuan tersebut. (Lihat Kasyifah al-Saja, 182-183)

Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff telah meringkaskan berkenaan hukum bagi keadaan susah (حالة التعسر) kepada dua, iaitu :

Akan tetapi, sekiranya orang yang berkepakaran (Ahl al-Khibrah) menyatakan najis tersebut, tidak akan dapat dihilangkan melainkan hanya dengan memotongnya (membuangnya), maka dinamakan bagi keadaan atau situasi ini sebagai situasi yang ada keuzuran (حالة التعذر). Hukumnya, ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan dan sah solat dengannya. Walau bagaimanapun, jika dia mampu untuk menghilangkannya pada masa akan datang, wajib untuk dia menghilangkannya.

(Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 136)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada persoalan di atas, setelah diteliti dalil-dalil serta pandangan para ulama, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :

لو أحمى حديد ثُمَّ صَبَّ عَلَيْهَا سُمًّا أَوْ غَسَلَهَا فِيهِ فَشَرِبَتْهُ ثُمَّ غُسِلَتْ بِالْمَاءِ طَهُرَتْ لِأَنَّ الطَّهَارَاتِ كُلَّهَا إنَّمَا جُعِلَتْ عَلَى مَا يَظْهَرُ فِيهِ لَيْسَ عَلَى الْأَجْوَافِ

Maksudnya : “Sekiranya dipanaskan sekeping besi dan kemudian besi tersebut disiram dengan racun (najis) atau dibasuh dengannya. Dan kemudian, racun tersebut telah meresap masuk ke dalam besi tersebut. Kemudian, besi tersebut dibasuh dengan air, maka ia kembali menjadi suci kerana kesucian itu adalah berdasarkan apa yang zahir (dilihat) dan bukannya pada apa yang ada di dalam rongga (tidak nampak). (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/600) 

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

 

[1] Lihat https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/3899-irsyad-al-fatwa-siri-ke-348-bayi-lelaki-yang-diberi-makan-ubat-adakah-air-kencingnya-masih-mukhaffafah-dan-bagaimana-cara-membersihkannya.

[2] Lihat https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/997-irsyad-al-fatwa-siri-ke-172-persoalan-berkaitan-samak.

[3] Lihat https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/2365-irsyad-al-fatwa-siri-ke-221-hukum-sertu-menggunakan-sabun-taharah.