IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-479 : HUKUM MEMAKAN DAGING CAPYBARA (BABI AIR)

IF 479 capybara

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu persoalan. Adakah capybara atau babi air halal dimakan? Haiwan ini banyak terdapat di Amerika serta hanya makan tumbuh-tumbuhan dan tidak memakan daging langsung. Dan sifatnya juga berbeza dengan babi yang biasa kita kenali.  Harap dapat pencerahan mengenai perkara ini.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya : “dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A`raf : 157)

Menurut al-Maraghi (الطَّيِّبَاتِ) ialah makanan yang dirasakan baik oleh perasaan manusia, bahkan yang berguna sebagai makanan yang berzat dan berkhasiat. Manakala perkataan (الْخَبَائِثَ) bermaksud melarang daripada memakan makanan yang hati sesiapa pun akan berasa jijik untuk memakannya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 5/2420)

Definisi Capybara dan habitatnya

Capybara (Hydrochoerus hydrochaeris) ialah rodensia yang paling besar daripada semua rodensia. Ia membesar sehingga panjangnya 1.2 meter dan beratnya mungkin melebihi 45 kilogram. Ia tinggal di timur Panama dan di Amerika Selatan di timur pergunungan Andes. Capybara kelihatan seperti babi kecil atau tikus belanda besar. Badannya yang besar diliputi bulu kasar yang berwarna perang kemerahan atau kelabu di bahagian atasnya dan perang kekuningan di bahagian bawahnya. Kepala haiwan ini besar, muncungnya dempak dan ekornya pendek. Kaki belakangnya agak lebih panjang daripada kaki depannya. Kakinya mempunyai jari renang dan boleh berenang dengan baik. Ia meragut dekat tasik dan sungai, dan terjun ke dalam sungai sekiranya ada tanda bahaya. Sesetengah orang menamakannya babi air. Capybara adalah makanan kegemaran jaguar, buaya dan manusia. (Lihat Ensiklopedia Dunia, Terj. DBP, 5/95)

Capybara adalah satu-satunya spesies dari famili Hydrochoeridae. Rupanya mirip cavy dan tikus belanda (guinea pig) dari famili Caviidae.[1] Ia tergolong dalam haiwan herbivor yang mana hanya memakan tumbuh-tumbuhan bagi memperoleh semua nutrien yang diperlukannya. Pemakanan capybara kebanyakannya adalah rumput dan tumbuhan akuatik. Ia juga memakan buah-buahan serta sekali sekala mengunyah kulit kayu lembut.[2] Selain itu, capybara juga boleh berada di dalam air (menyelam) sehingga 5 minit dalam satu masa bagi bersembunyi daripada musuhnya.[3]

Hukum memakan capybara

Para ulama silam telah membahaskan hukum memakan babi air (خنزير الماء) di dalam kitab-kitab mereka. Namun, adakah babi air yang dimaksudkan mereka ini sama seperti babi air yang dikenali pada hari ini, iaitu capybara? Kamaluddin al-Damiri menukilkan di dalam kitabnya bahawa Malik pernah ditanya mengenainya dan mengatakan :

أنتم تسمونه خنزيرا يعني أن العرب لا تسميه بذلك لأنها لا تعرف في البحر خنزيرا والمشهور أنه الدلفين

Maksudnya : “Kalian telah menamakannya sebagai babi yakni sedangkan orang Arab tidak  pun menamakannya demikian kerana tidak diketahui di dalam laut adanya babi. Dan yang masyhurnya ia dikenali sebagai dolphin (ikan lumba-lumba).” (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/429)

Perkara ini dikuatkan lagi, apabila Dr. Muhammad al-Zuhaili memasukan babi air ini sebagai hidupan air yang tidak menyerupai ikan sebagaimana kebiasaannya dan menyebutkan bahawa ia adalah halal serta tidak perlu kepada sembelihan sebagaimana ikan-ikan yang lain. (Lihat al-Mu’tamad di al-Fiqh al-Syafie, 2/548)

Oleh itu, babi air yang dimaksudkan oleh ulama silam sebenarnya adalah salah satu hidupan air dan bukannya capybara yang dikenali sekarang kerana ia bukan hidupan air tetapi adalah hidupan darat.

Secara umumnya, asal hukum bagi haiwan darat adalah ianya diharuskan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT :

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

Maksudnya : “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”

(Surah al-Maidah : 1)

Jika dilihat kepada sifat capybara ini, ia adalah haiwan herbivor yang hanya makan rumput, tumbuh-tumbuhan akuatik dan buah-buahan. Bukannya seperti haiwan buas yang memburu haiwan lain sebagai makanan. Begitu juga, menamakannya sebagai babi, sama sekali tidak memberi kesan (hukum) ke atasnya kerana kaedah ada menyebutkan :

العبرة بحقائق الأشياء لا بأسمائها

Maksudnya : “Hukum sesuatu itu diambilkira berdasarkan kepada hakikatnya dan bukan pada namanya.”

Capybara menjadi perumah kepada parasit

Namun, capybara atau Hydrochoerus hydrochaeris ini adalah merupakan ejen penyebar pathogen zoonosis, dan membawa penyakit seperti hemoparasite dan gut parasit (meyebabkan kanser usus atau penyakit usus kepada manusia), perumah kepada kutu amblyomma (penyebab kepada penyakit demam Brazil, leptospirosis). Selain itu, capybara boleh menjadi penyebab secara tidak langsung kepada pembawakan virus rabies, dan  toxoplasma sp. Selain itu juga, capybara yang dijangkiti parasit tidak akan menunjukkan sebarang simtom atau tanda-tanda kesakitan. Parasit yang dibawa oleh capybara ini boleh berjangkit kepada haiwan lain terutamanya babi dan lembu. Salah satu kajian telah mengeluarkan amaran dan cadangan agar tidak melakukan sebarang kontak dengan haiwan ini.[4]

Sekalipun, sebahagian masyarakat setempat menjadikannya sebagai makanan terutamanya di Venezuela[5] tidak menafikan ia tetap dianggap sebagai jijik oleh masyarakat yang lain. Lebih-lebih lagi, rupanya yang seakan-akan tikus belanda yang besar. Imam Fakhruddin al-Razi menyebut semua benda yang dianggap kotor pada tabiat manusia dan dirasakan jijik pada jiwa adalah diharamkan kerana ia menjadi sebab kepada sakit, sedangkan apa sahaja yang memudaratkan hukum asalnya adalah haram. Maka setiap yang jijik pada tabiat manusia pada asalnya adalah haram, melainkan terdapat dalil yang menyatakan hukum berbeza. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381)

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, kami cenderung kepada pendapat yang menyatakan bahawa capybara haram dimakan kerana ia termasuk dalam haiwan yang memudaratkan pemakannya. Firman Allah SWT :

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya : “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah : 195)

Perkara ini juga bertepatan dengan hadis Nabi SAW agar kita menjauhi dari sebarang bentuk kemudaratan sebagaimana sabdanya :

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya : “Tidak boleh mudarat dan tidak boleh memudaratkan.”

Riwayat Ibn Majah (2341)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa capybara haram dimakan kerana memudaratkan pemakannya. Agama Islam selalu mengingatkan penganutnya agar menjauhi semua perkara yang boleh memudaratkan diri. Kaedah ada menyebutkan :

وَالْأَصْلُ فِي الْمَضَارِّ الْحُرْمَةُ

Maksudnya : “Hukum asal pada setiap sesuatu yang memudaratkan adalah haram.” (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381)

Selain itu, perkara ini juga adalah selaras dengan perintah Allah SWT yang menuntut kita supaya bukan sahaja perlu memilih makanan yang halal tetapi juga mesti berkualiti.

Akhir kalam kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

 

 

[1] Lihat Encyclopedia Britannica, https://www.britannica.com/animal/capybara. Telah diakses pada 26 Mac 2020.

[2] Lihat AZAnimals, https://a-z-animals.com/animals/capybara/. Telah diakses pada 26 Mac 2020.

[3] Lihat San Diego Zoo Animals & Plants, https://animals.sandiegozoo.org/animals/capybara. Telah diakses pada 26 Mac 2020.

[4] Lihat Journal of Wildlife Diseases, bertajuk Health Evaluation And Survey Of Zoonotic Pathogens In Free-Ranging Capybaras (Hydrochoerus hydrochaeris) oleh Rosely Gioia-Di Chiacchio, Fabiola Eloisa Setim Prioste et al. https://www.jwildlifedis.org/doi/full/10.7589/2013-05-109. Telah diakses pada 29 Mac 2020.

[5] Lihat artikel bertajuk 5 Things to Know About the Capybara, the World's Largest Rodent, https://people.com/pets/5-things-to-know-about-the-capybara-the-worlds-largest-rodent/. Telah diakses pada 26 Mac 2020.