IRSYAD AL-FATWA SIRI KE- 488 : ADAKAH MEMBERUS GIGI BOLEH DISAMAKAN DENGAN TUNTUTAN BERSIWAK?

siwak

 

SOALAN

Amalan memberus gigi sebelum mengambil wuduk menjadi rutin saya. Persoalannya, adakah bersugi tanpa kayu  siwak tidak mendapat pahala sunnah  seperti tuntutan bersiwak ?

Mohon pencerahan. Terima kasih 

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda  SAW hingga ke hari kiamat

Kami mulakan dengan riwayat daripada Abu Hurairah RA anhu, Rasulullah SAW bersabda:

لَوْلَا أنْ أشُقَّ علَى أُمَّتي أوْ علَى النَّاسِ لَأَمَرْتُهُمْ بالسِّوَاكِ مع كُلِّ صَلَاةٍ

Maksudnya: Kalaulah tidak menyusahkan umatku nescaya aku akan perintahkan mereka bersiwak pada setiap sembahyang.

Riwayat al-Bukhari (887)

Hadis ini menunjukkan bahawa bersiwak  bukan kewajipan seperti mengambil wuduk untuk solat (Lihat Fath al-Bari Ibn Rejab (8/122). Imam Ibn Hajar ‘Asqalani mendatangkan pendapat daripada Imam Syafie  ketika mensyarahkan hadis diatas:

وَقَالَ الشَّافِعِيُّ فِيهِ دَلِيلٌ عَلَى أَنَّ السِّوَاكَ لَيْسَ بِوَاجِبٍ لِأَنَّهُ لَوْ كَانَ وَاجِبًا لَأَمَرَهُمْ شَقَّ عَلَيْهِمْ بِهِ أَوْ لَمْ يَشُقَّ اه وَإِلَى الْقَوْلِ بِعَدَمِ وُجُوبِهِ صَارَ أَكْثَرُ أَهْلِ الْعِلْمِ

“ Berkata Imam Syafie  hadis tersebut menyatakan bahawa  siwak sebelum solat  tidak wajib kerana sekiranya hukumnya wajib nescaya Baginda SAW tetap menyuruh umatnya bersugi sama ada menyusahkan atau tidak menyusahkan mereka. Kebanyakan ulama berpegang pendapat tersebut ” (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari (2/375).

Oleh itu, bersiwak hukumnya sunat yang disukai ( مُسْتَحَب )  setiap kali sebelum solat  fardhu mahupun nawafil (sunat). (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari (2/376).

Matan hadis " kalaulah tidak menyusahkan umatku  "  menunjukkan  ianya  perkara sunat yang disukai (مُسْتَحَب) kerana kelebihannya dapat menghilangkan bau mulut serta sentiasa bersih ketika hendak bermunajat kepada Allah SWT. Antara sunat-sunat hari jumaat ialah berwangi-wangian, memakai pakaian yang terbaik  termasuklah amalan bersiwak (Lihat: Syarh Sahih al-Bukhari lbn Battal (2/486).  

Seterusnya,  hadis tersebut menunjukkan bersiwak disunatkan sebelum  solat. Maka  fuqaha  mazhab membahaskan  waktu disunatkan  bersiwak berdasarkan kalimah dalam  hadis  بالسِّوَاكِ مع كُلِّ صَلَاةٍ seperti berikut:

Walaubagaimapun, bersiwak tidak  terikat pada waktu tertentu mahupun keadaan bahkan pada bila-bila masa. Sementara waktu bersiwak yang sangat digalakan oleh muslim adalah ketika ingin mendirikan solat, ketika sedang berwuduk, ketika ingin membaca al-Quran, ketika gigi berubah kekuningan  mahupun ketika  berubah berbau busuk kerana makan sesuatu atau mulut berbau kerana meninggalkan makanan mahupun terlalu lama berdiam diri dan ketika bangun tidur. ( Lihat al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie (1/60)

Hadis yang diriwayatkan daripada Huzaifah RA anhu:

كانَ النبيُّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ إذَا قَامَ مِنَ اللَّيْلِ، يَشُوصُ فَاهُ بالسِّوَاكِ.

Maksudnya:  Rasulullah SAW apabila bangun di malam hari Baginda SAW mengosok mulutnya dengan siwak".

Riwayat al-Bukhari ( 245)

Fuqaha  sepakat  menyatakan Baginda SAW akan mengosok gigi selepas bangun tidur (Lihat Syarh Riyadh al-Solihin (5/525). 

Namun, makruh  bagi orang berpuasa  bersiwak setelah zohor waktu gelincir matahari kebarat. (Lihat Faidh al-Ilahi al-Malik (1/22: Lihat Hasyiyah al-Baijuri (1/83); (Lihat: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu (1/300-301)

Bagi persoalan yang diajukan  berkaitan tanggapan memberus gigi (bersugi) tidak sunnah kerana bersiwak khusus menggunakan kayu siwak ( أراك )  sahaja. Maka, perkara yang perlu diperhalusi ialah  pengertian siwak serta jenis alat-alatnya

Siwak menurut bahasa ialah  perbuatan mengosok dan alatnya, sementara definisi menurut syarak ialah penggunaan kayu atau  seumpamanya dan ubat gigi untuk mengosok gigi agar menghilangkan perubahan (bau atau warna) dan seumpamanya disusuli niat kerana Allah  (Lihat : al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab (1/270); (Lihat: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu (1/300). Pengarang kitab al-Mu’tamad menghuraikan maksud siwak menurut syarak  dengan  memberi contoh berus gigi yang digunakan pada zaman sekarang adalah seumpama alat  siwak  yang bertujuan membersihkan gigi dan sekitarnya seperti gusi dan lidah bagi menghilangkan kesan bau makanan. (Lihat al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie (1/59). Sementara, pengarang kitab al-Taqrirat al-Sadidah memperluaskan maksud siwak  kerana tidak merujuk hanya pada   kayu siwak bahkan menyatakan bersiwak dengan segala alat yang bersifat kesat. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah (84).

Alat untuk bersugi

Ciri-ciri alat yang sesuai  bersugi adalah  yang suci dan kesat seperti, kayu siwak atau dikenali kayu ( أراك ), dahan zaiton,  kayu yang berbau  menyegarkan, pelepah kelapa  dan kain. Namun,  akar pokok arak ( أراك ) merupakan alat sugi yang lebih afdhal kerana Baginda SAW bersugi mengunakan akar pokok arak. Ini  berdasarkan riwayat  daripada Abdullah bin Mas’ud RA anhu berkata:

كنتُ أجتَني لرسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم سِواكًا من أراكٍ

MaksudnyaAku telah memotongkan untuk Rasullullah SAW alat mengosok gigi daripada akar pokok arak.

Pengarang kitab Faidh al-Ilah al-Maliki  menyebutkan bahawa :

ذكر المصنف محال التي يطلب لها سواك شرع يبين ما يحصل به سنية الاستياك  بكل خشن طاهر يزيل القلح أى صفرة الاسنان وقد سبق الكلام عليه  ولو بنحو خرقة خشنة

“seseorang dikatakan menunaikan tuntutan  sunat  bersiwak sekiranya menggunakan  segala sesuatu yang bersifat kesat (خَشِنَة) dengan syarat suci dan dapat menyingkirkan warna kuning gigi sekalipun hanya secarik kain perca yang kesat”.  (Lihat : Faidh al-Ilah al-Maliki (1/22).

Adapun jari sendiri tidak dikira sebagai alat bersugi bagi mazhab Syafie yang asah (paling kuat). Namun sekiranya tiada alat untuk bersugi, maka boleh menggunakan jari sendiri mengikut pandangan imam Nawawi (Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab (1/282). Justeru, bersugi mahupun mengosok gigi  menunjukkan perbuatan membersihkan gigi dan keseluruhan rongga mulut sama seperti tujuan bersiwak. Oleh yang demikian, memberus gigi dianggap tuntutan sunnah kerana menepati maksud bersiwak. Walaubagaimanapun penggunaan akar pokok arak sangat digalakkan kerana Rasullullah SAW menggunakan akar pokok arak ( أراك ).

Tatacara bersugi

Kaedah mengosok gigi yang sempurna dan afdhal  memulakan dengan niat lintasan hati  sunat bersugi " نَوَيْتُ سُنَّةُ الاِسْتِيَاكِ " . Seterusnya menggunakan tangan kanan  kerana  bersiwak merupakan sesuatu kemuliaan (لِتَّكْرِمَة).  Mula mengosok gigi daripada kanan  kekiri dengan cara melintang   dari  gigi  geraham  hingga ke gigi kacip  atas dan bawah. Kemudian  gigi geraham  kiri hingga ke gigi kacip atas dan bawah. Seterusnya bahagian sebelah  dalam  bahagian atas dan bawah bermula kanan dan diikuti sebelah kiri. Sementara lidah digosok dari pankgal lidah kehujung sama ada melintang  atau membujur. (Lihat: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu (1/30).

Sebahagian ulama  menyatakan sebaiknya diserta pada awalnya doa berikut:

اللَّهُمَّ بَيِّضْ بِهِ أَسْنَانِي وَشُدَّ بِهِ لَثَاتِي وَثَبِّتْ بِهِ لَهَاتِي وَبَارِكْ لِي فِيهِ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ

Maksudnya: Ya Allah putihkanlah  gigiku dengan sebab bersiwak ini, mantapkanlah gusiku, kukuhkan dengan sebab anak tekakku dan berkatilah aku padanya. Wahai Tuhan yang Maha Penyayang (Lihat : al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab (1/283)

Faedah dan Hikmah  Bersugi

Ulama menyenaraikan antara faedah siwak ialah membersihkan mulut, memutihkan gigi, menghilangkan bau, mengukuhkan gusi,  kesegaran mulut, menajamkan  penglihatan, kecergsan fikiran, membersihkan hati dan kemuliaan untuk mengucap syahadah ketika menghadapi kematian. Bersiwak  termasuk dalam sunat fitrah dalam agama  kerana  membersihkan mulut membawa keredhaanNya. (Lihat: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu (1/300).Ini berdasarkan riwayat  daripada ‘Aisyah  RA‘anha Rasulullah bersabda:

السِّواكُ مَطهَرةٌ للفمِ مرضاةٌ للرَّب

Maksudnya , “Siwak itu menyucikan mulut dan mendatangkan keredhaan Rabb.”

Riwayat Nasa’ie (4)

Antara hikmah bersiwak yang dinukilkan oleh Imam Hajar ‘Asqalani  dalam kitab Fath al-Bari:

قَالَ بن دَقِيقِ الْعِيدِ الْحِكْمَةُ فِي اسْتِحْبَابِ السِّوَاكِ عِنْدَ الْقيام إِلَى الصَّلَاة كَونهَا حَالا تَقَرُّبٍ إِلَى اللَّهِ فَاقْتَضَى أَنْ تَكُونَ حَالَ كَمَالٍ وَنَظَافَةٍ إِظْهَارًا لِشَرَفِ الْعِبَادَةِ

“Berkata Ibn Daqiq al-‘Eid: Hikmah disunatkan bersiwak  mendirikan solat  kerana waktu solat merupakan waktu mendekatkan diri kepada Allah SWT, maka seseorang perlu dalam keadaan sempurna dan bersih  untuk mezahirkan kemuliaan ibadah. ( Lihat   Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari (2/376).

Penutup

Konklusinya, berdasarkan perbahasan fuqaha  yang telah  dibentangkan, membersihkan gigi menggunakan alat  berus gigi adalah untuk menghilangkan bau  mulut dan kekuningan  yang  sama fungsinya dengan  penggunaan kayu siwak selain sifatnya kesat.  Seseorang boleh dikatakan  menunaikan tuntutan  bersiwak sekiranya menggunakan sesuatu alat yang bersifat kesat (خَشِنَة) dan suci disertakan  dengan niat, membaca doa dan  dimulakan dengan sebelah kanan.  Namun, penggunaan kayu siwak  lebih afdhal dan perlu diberikan keutamaan  kerana  cara Rasulullah  SAW bersiwak menggunakan  kayu siwak atau dikenali akar pokok arak  (أراك).

Akhir kalam, semoga mendapat pahala  amalan sunat dan mendapatkan keredhaanNya. Ameen