IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-516 : HUKUM MINYAK WANGI MENGANDUNGI AMBERGRIS DAN MUSK

if516 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt.,

Saya ingin bertanya tentang hukum pemakaian perfume yang mengandungi ambergris dan musk? Adakah halal?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah ﷻ, selawat serta salam ke atas Junjungan Mulia, Nabi Muhammad ﷺ, ke atas Ahli Bait, serta Para Sahabat baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.

 

Mukadimah

Rujukan kepada Ensiklopedia Pusat Rujukan Persuratan Melayu yang disediakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, “ambergris” ditakrifkan sebagai “Ambergris ialah bahan berlilin yang terdapat dalam usus sesetengah ikan paus sperma. Ia berbau kuat apabila dikeringkan dan digunakan dalam minyak wangi yang mahal.” Manakala, “musk” pula merujuk kepada kasturi. Rujuk Kamus Inggeris-Melayu Dewan.

Hukum tentang kasturi telah kami huraikan dalam artikel Al-Kafi #486: Hukum Memakai Wangian Yang Dihasilkan Daripada Darah Kijang/Antelop. Ringkasannya, kasturi ialah bahan yang suci, bukan najis dan boleh digunakan sebagai manfaat kepada manusia berdasarkan pembenaran daripada al-Quran dan Hadis, sekalipun dikatakan ia berasal daripada darah dalam pundi kijang, yang sudah berubah sifatnya kepada bahan yang suci.

 

Ambergris ialah ambar

Manakala ambergris itu dalam bahasa Melayu dipanggil ambar. Ambar ialah perkataan yang berasal daripada kalimah Arab merujuk kepada sejenis barang yang harum baunya; ada yang berasal dari perut ikan laut, dan ada dari sejenis damar. Rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat.

Dalam Bahasa Arab, Anbar juga merujuk kepada ikan paus. Daripada Jabir bin Abdillah RA:

بَعَثَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثَ مِائَةِ رَاكِبٍ أَمِيرُنَا أَبُو عُبَيْدَةَ بْنُ الْجَرَّاحِ نَرْصُدُ عِيرَ قُرَيْشٍ فَأَقَمْنَا بِالسَّاحِلِ نِصْفَ شَهْرٍ فَأَصَابَنَا جُوعٌ شَدِيدٌ حَتَّى أَكَلْنَا الْخَبَطَ فَسُمِّيَ ذَلِكَ الْجَيْشُ جَيْشَ الْخَبَطِ فَأَلْقَى لَنَا الْبَحْرُ دَابَّةً يُقَالُ لَهَا الْعَنْبَرُ فَأَكَلْنَا مِنْهُ نِصْفَ شَهْرٍ وَادَّهَنَّا مِنْ وَدَكِهِ حَتَّى ثَابَتْ إِلَيْنَا أَجْسَامُنَا

Maksudnya: “Rasulullahmengutus kami dengan bilangan tiga ratus penunggang kuda dan pemimpin kami ketika itu adalah Abu Ubaidah bin Jarrah untuk mengintip unta milik orang Quraisy. Kemudian kami bermukim di pantai selama setengah bulan. Hingga kami merasa sangat lapar. Akhirnya kami memakan daun-daunan yang gugur sampai pasukan kami dinamai pasukan Khabat (daun yang gugur). Tiba-tiba laut melemparkan seekor haiwan (dalam riwayat lain disebut Hut, yakni ikan paus) yang dipanggil al-Anbar. Kami pun makan dari ikan tersebut selama setengah bulan. Dari tubuhnya yang penuh lemak, kami lumurkan ke tubuh kami hingga tubuh kami segar kembali.”

Riwayat al-Bukhari (no.4361) dan Muslim (no.1935)

Berkata Syeikh Yahya al-Imrani:

“Anbar itu ialah tumbuhan yang tumbuh di dalam laut kemudian ditelan oleh ikan paus.”

Rujuk al-Bayan fi Madzhab al-Imam al-Syafie (4/160)

Dalam Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (37/288), ambar ditakrifkan seperti berikut:

“Bahan pepejal yang tiada rasa dan tiada bau melainkan jika dihancurkan atau dibakar. Dikatakan bahawa ia adalah tinja haiwan laut. Manakala menurut istilah, diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Ahuma bahawa ambar itu ialah sesuatu yang diluahkan oleh laut. (Riwayat Abdurrazzaq dalam Musannaf-nya (no.6977).”

Nilai ambar ini begitu berharga sehingga sebahagian ulama selain Imam al-Syafie, mewajibkan zakat satu perlima daripadanya. Berkata Imam al-Nawawi:

“Ibn al-Mundzir menghikayatkan, begitu juga selain beliau, daripada al-Hasan al-Basri, Umar bin Abdul Aziz, al-Zuhri, Abu Yusuf, Ishak bin Rahwaih, bahawa mereka mewajibkan khums pada ambar.”

Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab (6/6)

Ambar ini sinonim dengan pewangi, justeru daripada sudut hukum, jika ambar dipakai oleh orang yang sedang berihram, maka dikenakan fidyah. Berkata al-Nawawi:

“Jika kasturi digesek, atau ambar, atau kafur, pada hujung bajunya, atau perempuan meletakkannya pada jubahnya, atau perempuan itu memakai perhiasan yang diisikan dengan bahan-bahan tadi, wajib dikenakan fidyah, kerana itu perbuatan menggunakan.”

Rujuk Raudoh al-Tolibin (3/132)

Dalam kesusasteraan moden, ambergris merujuk kepada keluaran sampingan semula jadi dari ikan paus sperma yang mempunyai diet memakan sotong. Ambergris mengandungi Ambrein, sejenis alkohol yang tidak berbau, yang digunakan dalam penghasilan minyak wangi supaya baunya lebih kekal lama. Rujuk What Is Ambergris?  oleh Emily Osterloff dari Natural History Museum, United Kingdom.

 

Ambar adalah suci

Dalam tradisi Islam, alkohol yang wujud di dalam ambar tidak menjadikannya najis, sekalipun memabukkan, kerana sifatnya dalam bentuk pepejal. Berkata Imam Ibn Hajar al-Haitami:

“Dalam hadis menyebut, “Setiap yang memabukkan itu adalah arak”, justeru tidak termasuk daripada jenis cecair, bahan seperti daun banj, ganja, opium, buah pala, ambar yang banyak, za`faran. Semua ini memabukkan tetapi sifatnya pepejal maka ia adalah suci.”

Rujuk Tuhfah al-Muhtaj (1/289)

Oleh kerana asalnya berlumur dengan bahan yang bernajis kerana tinggal di dalam perut, maka Imam al-Syafie, tanpa menghukumkan ambar sebagai najis, mengajarkan cara untuk membersihkannya supaya boleh digunakan. Kata beliau:

“Hendaklah ambar dibasuh agar dibuang apa yang mengotorkannya kemudian jadilah ia halal, boleh dijual beli, dan digunakan sebagai pewangi, disebabkan ia adalah bahan pepejal yang berat, tidak busuk, tidak bercampur dengan bahan yang boleh merosakkannya secara keseluruhan, sebaliknya hanya luarannya sahaja, seperti kotoran yang berada pada luaran kulit yang jika dibasuh maka jadi suci, begitu juga kotoran pada emas, perak, tembaga, plumbum, dan besi. Apabila dibasuh ia menjadi bersih dan kekal sebegitu.”

Rujuk al-Umm (3/115)

Justeru, ambar adalah suci, sekalipun berlumur dengan kotoran.

 

Kesimpulan

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami cenderung untuk mengatakan bahawa bahan atau minyak wangi yang mengandungi ambergris dan musk adalah suci dan boleh digunakan pada badan dan baju, termasuk ketika solat, selagi mana tidak ada bahan lain yang boleh menjadikannya bernajis.

Wallahua`lam.

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada pihak yang bertanya. Kita berdoa agar Allah ﷻ mengurniakan kita harta dan perhiasan yang baik lagi suci supaya kita menjadi hamba-Nya yang bersyukur. Amin.

Disediakan oleh,

Unit Buhuth,
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.